Portfolio

KPPB: Merungkai Kurikulum ‐ Konsep dan Kepentingan dalam Perancangan Pengajaran

KPPB: Merungkai Kurikulum ‐ Konsep dan Kepentingan dalam Perancangan Pengajaran

 

Oleh Muhaimi Suhaili

 

Pengenalan

Perancangan pengajaran yang berkesan memerlukan kefahaman yang jelas terhadap kandungan kurikulum serta pendekatan pedagogi yang sistematik. Dalam konteks pendidikan moden, guru tidak lagi sekadar menyampaikan kandungan pelajaran, tetapi perlu memastikan bahawa pembelajaran yang berlaku membawa kepada kefahaman mendalam dan bermakna dalam kalangan murid. Oleh itu, proses merungkai kurikulum menjadi amat penting dalam perancangan pengajaran.

Merungkai kurikulum membolehkan guru mentafsir standard pembelajaran kepada komponen pengetahuan dan kemahiran yang jelas, manakala pendekatan Understanding by Design menyediakan kerangka sistematik untuk merancang pengajaran yang berfokus kepada hasil pembelajaran. Gabungan kedua-dua pendekatan ini kemudiannya diaplikasikan dalam proses KMR (Merungkai dan Merancang Interdisiplin) bagi menghasilkan pembelajaran yang lebih holistik dan bermakna.

Konsep Merungkai Kurikulum

Merungkai kurikulum merujuk kepada proses menganalisis dan memperincikan standard kurikulum bagi mengenal pasti pengetahuan, kemahiran dan konsep utama yang perlu dipelajari oleh murid. Yang dirungkai ialah Hasil Pembelajaran Kursus (HPK) di Institut Pendidikan Tinggi dan Standard Pembelajaran dalam konteks sekolah. Di Institut Pendidikan Guru (IPG), aktiviti merungkai adalah diwajibkan yang merupakan salah satu teras utama sebelum menghasilkan tugasan Pentaksiran Berterusan (PB). Dokumen kurikulum biasanya ditulis dalam bentuk standard yang ringkas dan padat, justeru guru perlu mentafsir dan memperincikan kandungan terutama tajuk-tajuk yang diajar sebelum merancang pengajaran.

Menurut Heidi Hayes Jacobs (1977), analisis kurikulum merupakan langkah penting dalam membantu guru memahami hubungan antara kandungan, kemahiran dan pentaksiran dalam kurikulum. Melalui proses ini, guru dapat mengenal pasti struktur pengetahuan serta memastikan kesinambungan pembelajaran antara topik atau tahap persekolahan.

Proses merungkai kurikulum melibatkan beberapa langkah di bawah ini.

  1. Menyatakan HPK/CLO/SK/SP bagi kursus/mata pelajaran. 
  2. Mencerakin kemahiran dan pengetahuan yang terdapat dalam HPK/CLO/SK/SP bagi kursus/mata pelajaran. 
  3. Menyatakan Pengetahuan/Fakta iaitu merujuk tajuk-tajuk yang diajar.
  4. Mentransfomasikan (menukar) Pengetahuan/Fakta kepada konsep Mikro dan Makro.
  5. Menghasilkan The Big Idea (TBI) untuk setiap HPK/CLO/SK/SP bagi kursus/mata pelajaran berdasarkan konsep-konsep mikro dan makro.
  6. Menghasilkan TBI keseluruhan yang memayungi semua HPK/CLO/SK/SP bagi kursus/mata pelajaran.
  7. Membina Essential Question (EQ) atau Soalan Pencetus Idea.
  8. Menyatakan urutan perkembangan pembelajaran berdasarkan tajuk-tajuk yang diajar sesuai dengan Tugasan Pentaksiran Berterusan (PB) dan Peperiksaan.
  9. Menyatakan Hasrat Pembelajaran dan Kriteria Kejayaan yang perlu dicapai oleh murid/pelajar.

Borang merungkai adalah seperti contoh di bawah ini.

Mulai semester ini, para pensyarah mula melaksanakan perancangan kurikulum bagi kursus masing-masing sebelum interaksi bersama-sama pelajar.

Aktiviti merungkai dan merangkai itu sekurang-kurangnya telah dilaksanakan dua minggu sebelum aktivti kuliah dilaksanakan. 

Dalam konteks IPGM, aktiviti ini dilaksanakan dalam minggu Bengkel Pengurusan Kurikulum (BPK).

Asas Pemikiran John Hattie tentang Effect Size

Effect size (saiz kesan) ialah satu ukuran statistik yang digunakan untuk menunjukkan kekuatan atau magnitud sesuatu kesan, perbezaan, atau hubungan dalam kajian. Ukuran ini bukan sekadar menunjukkan sama ada perbezaan itu wujud, tetapi sejauh mana besar atau bermaknanya kesan itu dalam konteks dunia sebenar. 

Dalam pendidikan, effect size digunakan untuk:

  1. Menilai keberkesanan intervensi pendidikan (contoh: penggunaan teknologi, strategi pengajaran dan pembelajaran, program bimbingan guru).
  2. Membandingkan impak pelbagai strategi pengajaran.
  3. Membuat keputusan berdasarkan bukti (evidence-based) — tidak hanya bergantung pada nilai p (ujian signifikan statistik), tetapi berapa besar manfaat kepada murid.

Menurut John Hattie, hinge point = 0.40 iaitu Nilai 0.40 dianggap sebagai: "kesan purata" yang biasanya dicapai oleh murid melalui pembelajaran biasa dalam tempoh setahun tanpa intervensi khas. Jadi, strategi dengan effect size > 0.40 dianggap memberi impak melebihi pembelajaran biasa.

Beliau tidak sekadar menggunakan tafsiran statistik klasik (Cohen), tetapi memperkenalkan garis penanda pendidikan (educational hinge point) untuk membuat keputusan pedagogi. 

Effect Size Tafsiran Hattie Makna dalam Pendidikan
<0.00 Kesan negatif Memburukkan pembelajaran
0.00 - 0.15 Sangat rendah Hampir tiada kesan
0.16 - 0.39 Rendah Di bawah jangkaan pembelajaran normal
0.40 HINGE POINT (Titik ambang) Kesan purata setahun pèmbelajaran
0.41 - 0.60 Sederhana Memberi kesan bermakna
0.61 - 1.00 Kesan tinggi Intervensi sangat berkesan
>1.00 Kesan sangat tinggi Impak luar biasa

 

 

Mengapa merungkai kurikulum penting?

Merungkai kurikulum (sering dirujuk sebagai “curriculum unpacking”) ialah proses meneliti, mentafsir dan memperincikan standard kurikulum supaya guru memahami dengan jelas pengetahuan, kemahiran dan nilai yang perlu diajar serta bagaimana ia harus dinilai. Proses ini penting kerana dokumen kurikulum biasanya bersifat umum dan memerlukan interpretasi profesional guru sebelum diterjemahkan ke dalam pengajaran bilik darjah.

Berikut ialah justifikasi kepentingan merungkai kurikulum berdasarkan pandangan tokoh akademik.

Menjamin kejelasan hasil pembelajaran
Menurut Grant Wiggins dan Jay McTighe (2005), dalam karya mereka Understanding by Design, perancangan kurikulum yang berkesan bermula dengan kejelasan hasil pembelajaran yang diharapkan (desired results).

Mereka menegaskan bahawa guru perlu menganalisis standard kurikulum secara mendalam untuk mengenal pasti:

i. idea besar (big ideas),
ii. soalan penting (essential questions), dan
iii. bukti pembelajaran yang diharapkan.

Tanpa proses merungkai kurikulum, guru mungkin hanya mengajar kandungan secara permukaan tanpa memahami makna pembelajaran yang sebenar.

Mengelakkan salah tafsir terhadap standard kurikulum
Heidi Hayes Jacobs (1997), menegaskan bahawa dokumen kurikulum sering bersifat padat dan memerlukan analisis profesional untuk memastikan guru memahami standard secara konsisten.

Dalam bukunya Mapping the Big Picture, beliau menjelaskan bahawa proses analisis kurikulum membantu guru:

i. mengenal pasti kandungan utama,
ii. membezakan antara pengetahuan fakta dan konsep,
iii. menyelaraskan pengajaran dengan standard.


Hal ini mengurangkan ketidakselarasan interpretasi kurikulum antara guru atau sekolah.

Menyelaraskan pengajaran, pembelajaran dan pentaksiran
Menurut John Hattie (2009), dalam Visible Learning, salah satu faktor penting yang meningkatkan keberkesanan pembelajaran ialah kejelasan guru tentang apa yang perlu dipelajari oleh murid (teacher clarity).

Apabila kurikulum dirungkai dengan jelas:

i. objektif pembelajaran menjadi spesifik,
ii. strategi pengajaran dapat dipilih secara tepat,
iii. pentaksiran dapat direka untuk mengukur pembelajaran sebenar.

Kajian meta-analisis Hattie menunjukkan bahawa teacher clarity mempunyai effect size yang tinggi terhadap pencapaian murid.

Memudahkan perancangan pengajaran yang sistematik
Ralph Tyler (1949), dalam karya klasik Basic Principles of Curriculum and Instruction menekankan bahawa kurikulum perlu menjawab empat persoalan asas:

i. Apakah tujuan pendidikan?
ii. Apakah pengalaman pembelajaran yang sesuai?
iii. Bagaimana pengalaman itu disusun?
iv. Bagaimana menilai keberkesanannya?

Proses merungkai kurikulum membantu guru menterjemahkan tujuan pendidikan kepada pengalaman pembelajaran yang konkrit.

Menjamin keselarasan kurikulum (curriculum alignment)
John Biggs (2011), melalui konsep constructive alignment dalam Teaching for Quality Learning at University menegaskan bahawa tiga aspek di bawah perlu selaras antara satu sama lain iaitu:

i. hasil pembelajaran,
ii. aktiviti pembelajaran, dan
iii. pentaksiran

Merungkai kurikulum membantu guru mengenal pasti apa yang perlu diajar dan bagaimana ia harus dinilai, sekali gus memastikan keselarasan ini berlaku.

Kesimpulan

Aktiviti merungkai tujuannya untuk kejelasan. Effect size 0.62 untuk merungkai adalah tinggi. Hal ini menunjukkan aspek ini sangat penting dalam pembelajaran.

Merungkai kurikulum merupakan proses profesional yang penting kerana:

1. Menjelaskan hasil pembelajaran yang sebenar.
2. Mengelakkan salah tafsir standard kurikulum.
3. Menyelaraskan pengajaran, pembelajaran dan pentaksiran.
4. Membantu perancangan pengajaran yang sistematik.
5. Menjamin keselarasan kurikulum secara menyeluruh.


Pandangan tokoh seperti Wiggins, McTighe, Jacobs, Hattie, Tyler dan Biggs menunjukkan bahawa kejelasan kurikulum merupakan faktor kritikal dalam memastikan pengajaran guru benar-benar menghasilkan pembelajaran bermakna kepada murid.

 

Contoh Templat Merungkai dan Merangkai (dalam KmR)

 

Berikut ialah aktiviti merangkai dan merungkai berdasarkan contoh templat di atas.

 

Rujukan:

Wiggins, G., & McTighe, J. (2005). Understanding by Design (2nd ed.). ASCD.
Jacobs, H. H. (1997). Mapping the Big Picture: Integrating Curriculum and Assessment K–12. ASCD.
Hattie, J. (2009). Visible Learning: A Synthesis of Over 800 Meta-Analyses Relating to Achievement. Routledge.
Tyler, R. W. (1949). Basic Principles of Curriculum and Instruction. University of Chicago Press.
Biggs, J., & Tang, C. (2011). Teaching for Quality Learning at University (4th ed.). McGraw-Hill.

 

*****

Date

03 Ogos 2024

Tags

KPPB

GARAPAN MINDA

Kita mungkin tidak dapat mengubah dunia, tetapi kita dapat melahirkan generasi yang akan mengubah dunia. - muna

 

Disclaimer

Kami menyediakan bahan dan maklumat berdasarkan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman kami. Pengguna dinasihatkan untuk memilih dan menilai sendiri mana-mana maklumat yang sesuai dan autentik, serta memasukkan daripada sumber mana dipetik. Kami tidak bertanggungjawab atas kerosakan atau kemudaratan atau seumpama dengannya, yang berlaku akibat menggunakan bahan dan maklumat yang kami kongsikan. Semoga ilmu ini dapat dimanfaatkan bersama demi kemaslahatan sejagat.

Perkongsian

Pelawat

Hari Ini87
Semalam359
Minggu Ini2505
Bulan Ini10240
Jumlah Pelawat419823

Who Is Online

2
Online

2026-03-22