Portfolio

KPPB: Suatu Pengenalan

KPPB: Suatu Pengenalan

 

Artikel ini dimulakan dengan tayangan tentang MyDigital  dalam mentransformasikan Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi yang berpacukan pendigitalan dan sebagai peneraju serantau dalam ekonomi digital. Bagaimanakah aspirasi kerajaan ini selari dengan wajah dunia pendidikan generasi masa depan Malaysia sekarang?

 

Oleh Muhaimi Suhaili*

 

Pengenalan

KAPASITI Pedagogi Pembelajaran Bermakna (KPPB) ialah satu pendekatan yang menyeluruh, bersepadu dan  sistematik bagi melaksanakan kurikulum dari peringkat perancangan, pelaksanaan sehinggalah ke peringkat showcase sama ada di sekolah atau di Institusi Pendidikan Tinggi, khususnya di Institut Pendidikan Guru di 27 buah kampus di seluruh Malaysia.

Pendekatan ini telah dibangunkan oleh Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan  pelaksanaan fasa pertama  telah dimulakan pada tahun 2018 melibatkan tiga IPG Kampus sebagai projek rintis.

IPG tersebut ialah IPG Kampus Pendidikan Teknik, IPG Kampus Ipoh dan IPG Kampus Pulau Pinang.

 

Gambar: IPG Kampus Pendidikan Teknik merupakan salah sebuah daripada tiga kampus yang melaksanakan KPPB pada fasa pertama

 

Pada fasa kedua pula sebanyak 14 IPG Kampus mula melaksanakan KPPB dalam kursus-kursus pendidikan yang ditawarkan bermula pada tahun 2019.

Fasa ketiga pula, menjelang tahun 2020, 10 lagi IPG Kampus melaksanakan KPPB dalam kurikulum menjadikan seluruh 27 IPG Kampus di Malaysia melaksanakannya sepenuhnya.nia

 

Malaysia di peta dunia

Pelaksanaan KPPB dalam sistem Pendidikan di seluruh IPG selari dengan  Transformasi Sekolah 2025 (TS25) dan sesuai dengan peranan IPGM sebagai peneraju Modul 7 Digital Tools and Resourse (DTR).

Pelaksanaan KPPB di Malaysia telah meletakkan namanya di peta dunia mengamalkan New Pedagogy for Deep Learning (NPDL) yang telah disesuaikan dalam konteks Malaysia yang dikenali sebagai KPPB itu.

KPPB yang diadaptasikan daripada NPDL telah melalui proses perubahan yang besar sehinggalah pasukan Task Force IPGM telah menghasilkan suatu Model KPPB IPGM 2022 yang menjadi harta intelek IPGM. 

Rajah: Model KPPB IPGM (2022)

 

Model ini menjadi panduan kepada seluruh warga kampus melaksanakan kurikulum di kampus masing-masing.

Model ini amat sesuai dalam konteks iklim pembelajaran di Malaysia dengan mengambil kira gerakan perubahan besar yang berlaku masa kini terutama kemaraan gelombang dunia digital dan perkembangan pesat penggunaan AI (Artificial Intelligence) atau Kecerdasan Buatan  serta mengambil kira pedagogi kontemporari.

Malaysia kini menyertai pergerakan sinergi ini dan tidak mahu jauh ketinggalan dengan negara-negara lain.

"Lebih daripada 20 negara telah menyertai pergerakan global, membawa bersama-sama mereka ratusan sekolah, ribuan guru dan ratusan ribuan murid dari seluruh pelosok dunia. Rakan perkongsian ini bersama-sama berusaha untuk mengubah pendidikan untuk setiap murid dengan memupuk kecekapan pembelajaran yang bermakna dalam setiap diri individu, menghubungkan pembelajaran dengan kehidupan sebenar, dan menggunakan kuasa digital untuk membolehkan murid menerokai minat, bakat dan kekuatan mereka sendiri." - New Pedagogy for Deep Learning, A GLOBAL PARTNERSHIP

Sumber: NPDL, A GLOBAL PARTNERSHIP 

Rajah: Malaysia berada dalam peta dunia yang mengamalkan NPDL dan juga dalam kalangan rantau Asia, termasuklah Singapura, Vietnam, Hong Kong dan Taiwan

 

Pelaksanaan KPPB Dalam Kurikulum

KPPB dilaksanakan melalui kursus-kursus yang ditawarkan oleh semua Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) di seluruh 27 Kampus di Malaysia.

Pelaksanaannya berdasarkan Model KPPB IPGM (2020) daripada proses merungkai sehingga Kefahaman melalui Reka Bentuk (KmR). Perkongsian pengalaman pembelajaran pensyarah dan pelajar juga diperoleh melalui Sokongan Profesional (SP) dan Showcase.

Ketika merungkai, aspek kejelasan amat ditekankan yang melibatkan Standard Kandungan/Hasil Pembelajaran Kursus (HPK) yang perlu dicerakinkan, mendapatkan The Big Idea (Idea Utama) daripada pengetahuan dan fakta pada tajuk melalui penghasilan konsep mikro dan makro, Essential Question (Soalan Pencetus Idea), perkembangan pelajaran, hasrat Pembelajaran dan kriteria kejayaan.

Dalam KmR pula, terdapat tiga Peringkat iaitu Peringkat 1: Hasil Diharapkan, Peringkat:  Bukti Pentaksiran dan Peringkat 3: Pelan Pembelajaran Bermakna sebelum interaksi kuliah yang sebenarnya dilaksanakan.

Pendekatan ini dikenali sebagainya backward design.

Dalam Pelan Pembelajaran tersebut, aspek WHERETO dan aplikasi kelima-lima model KPPB juga ditekankan.

Model-model tersebut ialah Model Kompetensi Global 6C, Model Reka Bentuk Pembelajaran, Model Pembelajaran Pelajar, Model 3E (Engagement, Enhancement, & Extension) dan Model 3R (Rigor, Relevance, & Relationship).

 

Rajah: Infografik gambaran menyeluruh tentang operasi pelaksanaan KPPB berdasarkan Model KPPB (IPGM, 2020) dan Model-model KPPB 

 

Model KPPB (IPGM, 2020)

Seiring dengan kepesatan perkembangan dunia digital yang tidak ada sempadan itu, KPPB menekankan pembelajaran yang disokong oleh penggunaan OPD melalui pelbagai platform.

Penghasilan OPD membantu pelajar merasai sendiri pengalaman pembelajaran berdasarkan Kerangka KPPB-OPD IPGM seperti di bawah ini.

Tatacara pelaksanaan KPPB adalah seperti yang terdapat dalam Rajah di atas, Model KPPB (IPGM, 2020).

Selain itu, IPGM telah menerbitkan sebuah buku iaitu Objek Pembelajaran Digital (OPD) Kapasiti Pedagogi Pembelajaran Bermakna (KPPB) sebagai panduan menghasilkan OPD KPPB yang diterbitkan pada tahun 2024 seperti rajah di bawah.

Rajah: Model KPPB (IPGM, 2020), panduan dalam menghasilkan OPD KPPB

 

Berikut ialah huraian model-model KPPB tersebut.

Aktiviti Merungkai dan KmR dilaksanakan dengan menggunakan Templat Merungkai dan KmR yang dibekalkan oleh IPGM iaitu dua minggu sebelum interaksi kuliah, tutorial dan amali dimulakan.

Aktiviti ini dijalankan sepanjang minggu Bimbingan Perancangan Kurikulum (BPK) di seluruh Kampus di Malaysia.

 

Rajah: Aktiviti Merungkai dan KmR (sama ada stand alone atau interdisiplinary) hendaklah dilaksanakan dua minggu sebelum interaksi pembelajaran dimulakan, pada sepanjang minggu Bimbingan Perancangan Kurikulum (BPK)

 

Perjalanan Bersama-sama itu Satu Proses

Perjalanan KPPB melalui satu proses daripada perancangan merungkai, KmR sehinggalah ke peringkat Sokongan Profesional (SP) dan Showcase.

Selain itu, semua IPG Kampus berkongsi pengalaman pembelajaran melalui sokongan Profesional dan showcase yang diadakan setiap semester ketika proses interaksi bermuda sehinggalah sesi pembelajaran berakhir. Peta Perjalanan di bawah menunjukkan aktiviti tersebut dilaksanakan sama ada di Peringkat IPG Kampus masing-masing hinggalah di Peringkat IPGM.

Sokongan Profesional KPPB OPD ialah perkongsian oleh pensyarah tentang perancangan pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan bagi kursus yang diajar pada semester tersebut daripada Peringkat merungkai sehinggalah pelaksanaan backward design mealalui KmR.

Showcase pula ialah perkongsian pengalaman pelajar telah dilalui sepanjang melaksanakan proses pembelajaran dari awal sehinggalah Kursus tersebut tamat.

Aspek-aspek yang dikongsikan oleh pelajar melalui showcace tersebut boleh dilihat melalui slaid sesi perkongsian pengalaman pembelajaran pelajar.

 

Kerangka Operasi Pembelajaran Bermakna

Dalam kerangka operasi pembelajaran bermakna, ada tiga perkara menjadikan pembelajaran itu benar-benar bermakna. 

  1. Yang pertama, pelajar dapat menguasai pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari.
  2. Yang kedua, berdasarkan pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari, pelajar dapat menghasilkan pengetahuan dan kemahiran baharu. 
  3. Yang ketiga ialah pengetahuan dan kemahiran baharu yang dihasilkan itu dapat digunakan dalam kehidupan yang sebenarnya.

Rajah: Kerangka operasi bertunjangkan tiga perkara dalam KPPB

 

Rumusannya, pelajar tidak sekadar mengetahui dan mempelajari pengetahuan serta kemahiran, tetapi memberi peluang kepada pelajar mencipta sesuatu yang baharu berdasarkan pengetahuan dan kemahiran yang telah dipelajari. Apa yang paling bermakna ialah pengetahuan dan kemahiran baharu tersebut dapat digunakan dalam kehidupan sebenarnya.

 

Pedagogi Lama kepada pedagogi Baharu

 

Rajah: Adaptasi Michael Fullan & Maria Langworthy (2014)

 

Berdasarkan rajah di atas, pedagogi lama lebih menekankan penguasaan kandungan. Dalam menyampaikan pengetahuan kandungan, guru menggunakan Kapasiti Pedagogi dan ICT. Penguasaan kandungan turut ditekankan oleh guru yang lebih kepada penguasaan kemahiran daripada pengetahuan yang dipelajari oleh pelajar.

Akan tetapi, melalui Pedagogi Baharu, murid bersama-sama guru menguasai dan menerokai kandungan iaitu ke arah pembelajaran bermakna. Murid bersama-sama guru merancang kurikulum sebagai co-learner dan co-designer.

Selain itu, melalui pengetahuan dan kemahiran yang dikuasai, pelajar pula mencipta dan mengunakan pengetahuan dan kemahiran baharu yang digunakan dalam kehidupan sebenarnya.

Dalam pembelajaran bermakna, penggunaan teknologi digital amat ditekan. Guru atau pensyarah hendaklah menggunakan digital sebagai sebahagian daripada Bahan Bantu Belajar (BBB) atau Objek Pembelajaran Digital (OPD) dalam menghadapi Generasi Alfa dan Beta yang hidup dalam dunia digital.

Pelajar boleh belajar di mana-mana dan pada bila-bila masa melalui konsep Ubiquitous seperti rajah di atas.

Dalam KPPB, pembinaan OPD bagi setiap kursus adalah untuk memenuhi konsep Ubiquitous.

Penggunaan digital dalam Pembelajaran dapat ditunjukkan melalui Model Reka Bentuk Pembelajaran melalui elemen Pemanfaatan Digital dan Model 3E (Engagement, Enhancement, & Extension).

Pemanfaatan digital dalam KPPB selari dengan Dasar Pendidikan Digital oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Rajah: Infografik Dasar Pendidikan Digital oleh Kementerian Pendidikan Malaysia

 

Di IPG kampus, para pensyarah menggunakan OPD dalam membantu proses pembelajaran pelajar.

Berikut ialah contoh OPD KPPB yang dihasilkan oleh pensyarah.

 

Backward Design dalam KPPB

Berdasarkan Rajah 2: Model KPPB (IPGM, 2020), aktiviti merungkai dan merangkai merupakan elemen backward design iaitu menentukan dahulu hasil pembelajaran, menentukan bukti hasilan untuk dinilai dan merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran ke arah pelan pembelajaran bermakna.

Melalui konsep backward design, guru atau pensyarah menyediakan bahan penilaian (instrumen atau soalan atau item-item) terlebih dahulu sebelum murid atau pelajar belajar. Manakala kaedah tradisional pula, murid belajar dahulu, kemudian pada akhir sesi penilaian dan peperiksaan akan tiba, barulah bahan penilaian itu dibina.

 

Rajah: Antara Pendekatan Tradisional dan Pendekatan Backward Design

 

Penyampaian kurikulum secara modular dan interdisiplinary

Kamus Cambridge mendefinisikan modular ialah perihal menerangkan kaedah pembuatan iaitu sesuatu proses dipisahkan kepada bahagian yang boleh dilakukan dalam susunan yang berbeza atau di tempat yang berbeza. 

Dalam pembelajaran bahasa, pendekatan modular bermaksud memecahkan kemahiran kepada unit-unit kecil yang dikenali sebagai modul (BPK, 2016).

Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran KPPB pula, modular ialah pembelajaran yang merujuk kepada kursus-kursus yang tidak bergabung atau melaksanakan interdisiplinary atau yang bersifat stand alone atau berdiri sendiri. 

 

Elemen Interdisiplinary dalam Pembelajaran Berasaskan Projek di sekolah

Dalam konteks sekolah, Pembelajaran Berasaskan Projek ada dilaksanakan secara interdisiplinary. Cumanya tidak disebut perkataan interdisiplinary itu. 

Contohnya, Pembelajaran Berasaskan Projek (PBP), menghasilkan Jet Terbang bagi Tahun 5 dengan menggabungkan mata pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi (RBT), Matematik, Sains dan Bahasa Melayu.

Contohnya melalui Pembelajaran Berasaskan Projek (PBP) pelajar menghasilkan satu projek.

Mata Pelajaran RBT: Bagi mata pelajaran RBT, murid akan menghasilkan reka bentuk Jet Terbang.

Mata Pelajaran Matematik: Dalam mata pelajaran Matematik pula, murid akan menggunakan ilmu matematik untuk membuat sebarang aktiviti pengiraan seperti kos yang dikeluarkan atau pengiraan yang melibatkan ujian-ujian tertentu tentang Jet Terbang mereka.

Mata Pelajaran Sains: Mata pelajaran Sains pula akan melihat dari aspek hubungan jisim dengan kelajuan Jet Terbang atau seumpama dengannya yang berkaitan dengan pergerakan.

Mata Pelajaran Bahasa Melayu: Bagi mata pelajaran Bahasa Melayu pula, murid diuji kemahiran komunikasi mereka melalui pembentangan projek Jet Terbang tersebut.

Satu tugasan tersebut telah mencapai empat projek yang dihasratkan menjadikan pembelajaran itu lebih bermakna. 

Guru bagi setiap mata pelajaran akan menilai tugasan berdasarkan kriteria dalam rubrik bagi mata pelajaran masing-masing.

Gambar: Murid-murid SK Teluk Kemang, Negeri Sembilan sedang membuat Showcase Projek Bot Stim dan Projek Jet Terbang

Apabila pelajar dapat melaksanakan projek yang dihasilkan melalui pengintegrasian disiplin pelbagai mata pelajaran, mereka akan  melalui proses pembelajaran bermakna.

 

Video Iklan: Projek Eid oleh Axiata Celcom ialah satu idea ke arah transformasi Pembelajaran Berasaskan Projek di sekolah ke arah pembelajaran bermakna

Melalui kurikulum persekolahan 2027 juga turut menekankan pembelajaran yang akan mengintegrasikan pelbagai disiiplin secara berpakej yang dikenali sebagai transdisiplin.

Di IPG, pelajar telah didedahkan dengan konsep interdisiplinary bagi menyediakan mereka dalam melaksanakan Kurikulum persekolahan 2027.

Bagi konteks IPGM, interdisiplinary pula ialah merujuk kepada kursus-kursus yang bergabung untuk melaksanakan aktiviti pembelajaran yang sesuai dalam mana-mana aktiviti pembelajaran yang bersesuaian seperti kuliah, tutorial atau pentaksiran berterusan.

Pelaksanaan kursus-kursus secara interdisiplinary di IPG merupakan salah satu daripada elemen yang paling unik dalam KPPB yang tidak dilaksanakan oleh mana-mana institusi pendidikan tinggi di Malaysia.

Di IPG, pelaksanaan penyampaian kurikulum menggunakan kedua-dua kaedah ini.

Dengan perkataan lain, IPG melaksanakan kaedah modular apabila sesuatu kursus itu tidak digabungkan atas sebab-sebab tertentu, atau digabungkan apabila didapati kursus ini sesuai dilaksanakan dengan kaedah interdisiplinary.

Sama ada sesuatu kursus itu dilaksanakan secara stand alone atau interdisiplinary, kedua-dua kaedah penyampaian kurikulum ini hendaklah melalui proses KPPB berdasarkan Modul KPPB (IPGM, 2020).

 

Didiklah murid sesuai dengan zamannya

"Didiklah anakmu sesuai dengan zamannya kerana mereka hidup bukan pada zamanmu [Ali bin Abi Thalib].

Ungkapan di atas memberinya pengajaran kepada kita bahawa zaman anak-anak belajar sekarang tidak sama dengan zaman ibu bapa belajar ketika mereka anak-anak.

Oleh itu, gunakan pendekatan yang sesuai berdasarkan perkembangan semasa sekarang.

Contohnya gaya pembelajaran generasi Builders dan Baby Boomers masing-masing menggunakan gaya formal dan berstruktur.

Generasi X dan Generation Y pula masing-masing menggunakan gaya pembelajaran bersifat penyertaan dan interaktif.

Generasi Z pula menggunakan gaya pembelajaran multi-modal dan Generasi Alpha pula menyukai gaya pembelajaran berbentuk virtual.

Apatah lagi Generasi Beta yang lahir mulai tahun 2025 ini.

Mereka sejak dalam kandungan lagi sudah mendengar maklumat di Youtube melalui bacaan ayat-ayat Quran atau lagu-lagu di sisi ibu mereka.

Adakah kita hendak menafikan ikatan alat digital yang sememangnya sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka?

Oleh sebab itu, idea pemanfaatan digital dan konsep Ubiquitous sangat ditekan sesuai dengan kemaraan dunia digital yang tidak ada sempadannya. 

 

Pedagogi Kontemporari sesuai dengan zaman

 

 Rajah: Infografik bersumberkan mccrindle

 

Cabaran dalam menghadapi Generasi Beta

Sumber: Linkedin

 

Video Iklan Petronas 2010: Kereta Buruk suatu contoh Pembelajaran Berasaskan Projek yang bermakna

 

Perjalanan KPPB - hendak ke mana?

Gambar: Pelajar-pelajar IPGM sedang bergraduasi (Sumber: Sinar Harian)

 

Kesimpulannya

Pemahaman yang mendalam tentang kerangka operasi KPPB haruslah dikuasai oleh guru-guru agar amalan dan tindakan sejajar dengan hasrat yang hendak dicapai. KPPB membentuk kemenjadian murid yang memenuhi kompetensi global 6C dan Pillar of Education oleh UNESCO, serta selari dengan Kurikulum Persekolahan 2027. Sifat-sifat KPPB yang dinamik dan fleksibel telah meletakkan produk IPGM ini benar-benar dapat menangani perubahan dalam dunia pendidikan global serta kalis masa depan.

*Muhaimi Suhaili ialah pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu, Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar

 

***

SUMBER TENTANG KPPB YANG BOLEH DIRUJUK:

Anda juga boleh memperoleh kedua-dua templat tersebut seperti di bawah serta maklumat yang boleh dijadikan panduan seperti pautan di bawah ini.

 

Selain itu, Puan Mimma Sayuti juga ada berkongsi dengan kita tatacara tentang menghasilkan Objek Pembelajaran Digital (OPD) melalui pautan penulisan beliau seperti di bawah.

 

IPGM turut menerbitkan sebuah buku tentang paduan membina OPD KPPB oleh Task Force.

 *****

 

 

 

Date

03 Ogos 2024

Tags

KPPB

GARAPAN MINDA

Kita mungkin tidak dapat mengubah dunia, tetapi kita dapat melahirkan generasi yang akan mengubah dunia. - muna

 

Disclaimer

Kami menyediakan bahan dan maklumat berdasarkan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman kami. Pengguna dinasihatkan untuk memilih dan menilai sendiri mana-mana maklumat yang sesuai dan autentik, serta memasukkan daripada sumber mana dipetik. Kami tidak bertanggungjawab atas kerosakan atau kemudaratan atau seumpama dengannya, yang berlaku akibat menggunakan bahan dan maklumat yang kami kongsikan. Semoga ilmu ini dapat dimanfaatkan bersama demi kemaslahatan sejagat.

Perkongsian

Pelawat

Hari Ini212
Semalam442
Minggu Ini3416
Bulan Ini5565
Jumlah Pelawat264551

Who Is Online

3
Online

2025-04-13