Rentak Kita

Featured

Panduan Praktikum - Lima ciri soalan KBAT

Oleh Muhaimi Suhaili 

 

Ada lima ciri soalan yang mempunyai kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) iaitu mempunyai rangsangan atau stimulus, soalan pelbagai lapis pemikirannya, tidak berulang, dalam konteks yang bukan kebiasaan, dan dapat mengaitkan dalam situasi sebenar kehidupan. Berikut ialah huraian lima ciri tersebut seperti di bawah.

 

1. RANGSANGAN/STIMULUS

Soalan yang baik mempunyai rangsangan atau stimulus.

Kalau soalan tanpa rangsangan, tapi guru hendak capai yang tertinggi, ciri soalan berkualitinya tidak memenuhi kriteria.

Rangsangan akan bertindak sebagai alat untuk menghasilkan inferens dan penaakulan secara pengenalan, serta memberi situasi atau gambaran perkara yang berkaitan dengan apa yang hendak ditanya.

Rangsangan boleh dalam bentuk gambar, ilustrasi, infografik, pernyataan, situasi, kutipan kata-kata, pernyataan satu standard, laporan, dialog, ilustrasi dan sebagainya.

 

ilustrasi abstrak seperti ini boleh digunakan sebagai rangsangan jika berkaitan dengan soalan.

 

2. SOALAN PELBAGAI LAPIS PEMIKIRANNYA

Soalan pelbagai lapis akan mencabar cara murid berfikir. Dalam soalan tersebut mengandungi sekurang-kurang DUA LAPIS, atau lebih. Satu daripada lapis tersebut ialah pengetahuan yang telah dipelajari oleh murid ketika di dalam bilik darjah, sedangkan lapis yang berikutnya membawa satu konsep yang berkaitan dengan pengetahuan murid yang dapat dikaitkan dengan kehidupan sebenar murid.

Contoh pengetahuan yang dipelajari oleh murid: hujan. Hujan boleh menjadi satu lapis.

Contoh lapis kedua yang berkaitan dengan hujan ialah: Keseimbangan ekosistem. Keseimbangan ekosistem ialah satu konsep yang berkaitan dengan pengetahuan yang dipelajari oleh murid. Kalau kita kaitkan keseimbangan ekosistem dan hujan memang berkaitan. Ketidakseimbangan ekosistem boleh menyebabkan perubahan iklim yang tidak menentu. Hujan yang turun tanpa henti disebabkan perubahan iklim yang berlaku disebabkan oleh tangan manusia. Oleh itu, hujan lapis pertama (pengetahuan), dan ketidakseimbangan ekosistem, lapis kedua.

 

Contoh soalan:

Fenomena hujan yang turun tidak berhenti-henti berpunca daripada perubahan cuaca yang berlaku akibat aktiviti manusia yang tidak terkawal.

Sejauh manakah fenomena hujan yang turun tidak berhenti-henti ini dapat dikaitkan dengan ketidakseimbangan ekosistem yang berlaku di dunia ini.

 

Kesimpulannya, jika guru dapat menggabungkan beberapa lapis soalan dalam domain kognitif murid, impak yang diperoleh pelajar adalah pada tahap yang tertinggi. Jika soalan itu hanya pada peringkat pengetahuan sahaja seperti peringkat penghasilan hujan semata-mata (satu lapis sahaja), murid hanya dapat mengulang kembali atau mengingat proses-proses itu semula seperti yang dijelaskan oleh guru.

 

3. TIDAK BERULANG

Satu lagi ciri soalan KBAT ialah tidak berulang. Kalau soalan berulang, kita sudah dapat meramal giliran soalan yang keluar berdasarkan pola yang dapat diramalkan. Kalau keadaan ini berlaku maka kemahiran menghafal pula mengambil tempat. Soalan yang tidak berulang terhasil daripada "fikiran" kita sendiri tanpa menelek soalan dalam buku teks atau dalam modul yang telah disediakan. Guru kena dapat menghasilkan soalan sendiri bagi mengelak bergantung kepada soalan-soalan yang biasa digunakan oleh banyak orang dengan menghasilkan soalan yang tidak berulang dengan mengaitkannya dalam situasi yang baharu.

 

4. DALAM KONTEKS YANG BUKAN KEBIASAAN

Seperti mana dalam kriteria 2 iaitu soalan pelbagai lapis pemikirannya, ada menyarankan dua lapis soalan iaitu pengetahuan, dan satu lagi lapis ialah konsep yang berkaitan dengan pengetahuan tersebut. Dalam konteks yang bukan kebiasaan ini, lapis pada konsep terhadap pengetahuan itu hendaklah dalam konteks yang bukan kebiasaan kita dengar. Hujan (pengetahuan) + tangan-tangan manusia (konsep yang tidak biasa kita dengar kerana menggunakan frasa baharu selain aktiviti atau tindakan manusia). oleh itu, murid akan memperoleh dimensi baharu yang bukan kebiasaan bagi mereka untuk diterokai.

 

Gambar PPISMP BM2 Ambilan Jun 2022: Aktiviti merungkai (unpack) dapat meningkatkan kejelasan dalam menerokai konsep mikro dan makro dalam pengetahuan atau fakta yang dipelajari.

 

5. MENGAITKAN DALAM SITUASI SEBENAR KEHIDUPAN

 Soalan KBAT yang baik akan mengaitkan pengetahuan yang dipelajari dengan kehidupan sebenar murid. Belajar sesuatu pengetahuan tanpa mengaitkan dengan kehidupan yang sebenarnya akan meletakkan pengetahuan tersebut pada tahap permukaan semata-mata atau dilhat pada kulit sahaja. Oleh yang demikian, kaitkan soalan tersebut dalam konteks kehidupan sebenar pelajar kerana ilmu yang diperoleh buka bertujuan untuk tahu sahaja tetapi untuk digunakan dalam kehidupan seharian kita. Kalau boleh dapat menyelesaiakan masalah yang berlaku dalam kehidupan pelajar dan masyarakat secara keseluruhan. 

 

*****

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

GARAPAN MINDA

Kita mungkin tidak dapat mengubah dunia, tetapi kita dapat melahirkan generasi yang akan mengubah dunia. - muna

 

Disclaimer

Kami menyediakan bahan dan maklumat berdasarkan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman kami. Pengguna dinasihatkan untuk memilih dan menilai sendiri mana-mana maklumat yang sesuai dan autentik, serta memasukkan daripada sumber mana dipetik. Kami tidak bertanggungjawab atas kerosakan atau kemudaratan atau seumpama dengannya, yang berlaku akibat menggunakan bahan dan maklumat yang kami kongsikan. Semoga ilmu ini dapat dimanfaatkan bersama demi kemaslahatan sejagat.

Perkongsian

Pelawat

Hari Ini287
Semalam307
Minggu Ini1296
Bulan Ini2034
Jumlah Pelawat197763

Who Is Online

4
Online

2024-11-07