Program Simpulan Kasih Menjadi Serampang Dua Mata dalam Memenuhi Hasrat dan Wawasan Pendidikan Manusiawi

Program Simpulan Kasih Menjadi Serampang Dua Mata dalam Memenuhi Hasrat dan Wawasan Pendidikan Manusiawi


 

 

Oleh Muhaimi Suhaili

PROGRAM Simpulan Kasih menjadi serampang dua mata dalam memenuhi hasrat dan wawasan kedua-dua pihak ke arah kemenjadian murid dan pendidikan manusiawi.

Demikian dinyatakan oleh Encik Mohd Izan bin Haji Yusop dalam ucapan penutupan Program Simpulan Kasih yang mewakili Pengarah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Raja Melewar bertempat di Makmal Komputer SePPriS, Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Seri Pagi, hari ini.

Menurut beliau, program seumpama itu bukan sahaja dapat membina rakan strategik antara kedua-dua pihak tetapi dapat mencapai hasrat ke arah kemenjadian murid dari aspek kognitif, emosi dan pembinaan karakter.

Gambar: Dari kiri ke kanan ialah Puan Siti Khadijah Binti Ibrahim (GPK HEM), Encik Mohd Syahrul Miza bin Muslim (Peserta NPQEL, IAB), Encik Amir Fikri bin Ithnin (Guru Besar), Encik Mohd Izan bin Haji Yusop (Ketua Jabatan, Jabatan Pengajian Melayu, IPGM KRM, Encik Muhaimi bin Suhaili (Pensyarah Akademik JPM), dan Puan Salwah Binti Omar (GPK Pentadbiran)

“Program ini dapat memupuk sikap prihatin terhadap pembelajaran murid dan dalam masa yang sama membina karakter guru yang bertanggungjawab dalam memenuhi hasrat dan wawasan pendidikan manusiawi”, tambah beliau.

Dalam ucapan perasmian penutupan tersebut juga, beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak sekolah kerana mempelawa pihak IPGM untuk berkolaboratif dalam program yang banyak memberi manfaat kepada kedua-dua pihak terutama dalam usaha membantu murid meningkatkan kemahiran membaca dan menulis.

Beliau turut optimis bahawa program yang pernah dilaksanakan di Johor dan Melaka baru-baru ini dalam sesi lesson study dan teaching school oleh Jabatan Pengajian Melayu dapat diperluas di peringkat PPD Seremban untuk fasa yang berikutnya.

Gambar: Meningkatkan kemahiran membaca dan menulis dalam kalangan murid

Terdahulu dalam ucapan alu-aluan daripada Encik Amir bin Ithnin, Guru Besar SK Taman Seri Pagi mengatakan bahawa murid-murid hendaklah meningkatkan minat datang ke sekolah dan sentiasa ada disiplin mengulang kaji pelajaran apabila berada di rumah.

“Kalau murid berminat datang ke sekolah, mereka  akan menjadi pandai berbanding dengan murid yang jarang datang ke sekolah”, tambahnya.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Encik Mohd Syahrul Miza bin Muslim, iaitu peserta NPQEL, Institut Aminuddin Baki (IAB) Ambilan 1 (J) 2024 serta ahli jawatankuasa yang membantu bagi menjayakan program ini.

Gambar: Konsep Pembelajaran Al-Kahfi, belajar di luar bilik darjah

Beliau juga turut merakamkan ucapan penghargaan kepada IPGM Kampus Raja Melewar yang turut berkongsi kepakaran dengan pihak sekolah dalam menjayakan program ini.

Melalui program ini, menurut beliau, pelajar-pelajar IPGM dapat merasai sendiri pengalaman berada di lapangan sebenarnya di sekolah sebagai persediaan untuk menjadi guru apabila berkhidmat nanti.

Gambar: Pelajar IPGM Kampus Raja Melewar menjadi pembimbing kepada murid

Seramai 50 orang murid sekolah rendah menyertai Program Simpulan Kasih yang turut disertai oleh 30 orang pelajar daripada Jabatan Pengajian Melayu, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Raja Melewar yang berperanan sebagai guru pembimbing dalam memperkasakan program teaching school di sekolah.

Program ini ialah kerjasama antara Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Seri Pagi dengan Jabatan Pengajian Melayu, IPGM Kampus Raja Melewar.

Pelajar-pelajar pembimbing tersebut adalah terdiri daripada guru-guru pelatih dari opsyen Bahasa Melayu Tahun 2,  Ambilan Jun 2022/27 yang turut disertai dan dibimbing oleh dua orang pensyarah iaitu Encik Mohd Izan bin Haji Yusop, Ketua Jabatan Pengajian Melayu dan Encik Muhaimi bin Suhaili, Pensyarah Akademik di jabatan yang sama.

Gambar: Persekitaran Pembelajaran yang santai di luar bilik darjah

Murid yang menyertai program ini ialah 37 orang dari Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Seri Pagi, manakala selebihnya adalah dari sekolah yang berdekatan iaitu SK Lavender, SK Heights, SK Senawang, dan SK Taman Tasik Jaya.

Program ini diadakan untuk membantu murid-murid meningkatkan kemahiran membaca dan menulis dengan baik agar mereka terus bersemangat untuk belajar bagi menghadapi sukatan pelajaran yang lebih mencabar pada masa akan datang.

Gambar: Memupuk sikap bertanggungjawab dalam kalangan guru pelatih terhadap pembelajaran murid

Program ini berkonsepkan sekolah pengajar (teaching school) iaitu pelajar-pelajar menjadikan sekolah sebagai lokasi untuk mengaplikasikan dan menguji inovasi serta kaedah yang dipelajari sepanjang mengikuti program di IPGM sekali gus membantu sekolah meningkatkan kemahiran membaca dan menulis dalam kalangan murid.

Gambar: Sesi foto di satu lokasi luar bilik darjah sebaik sahaja aktiviti pengajaran dan pembelajaran selesai

Aktiviti pengajaran tersebut mengaplikasi konsep pembelajaran Al-Kahfi iaitu murid-murid belajar di luar bilik darjah dan mengintegrasikan pelbagai elemen dalam pengajaran dan pembelajaran.

*****

GARAPAN MINDA

Kita mungkin tidak dapat mengubah dunia, tetapi kita dapat melahirkan generasi yang akan mengubah dunia. - muna

 

Disclaimer

Kami menyediakan bahan dan maklumat berdasarkan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman kami. Pengguna dinasihatkan untuk memilih dan menilai sendiri mana-mana maklumat yang sesuai dan autentik, serta memasukkan daripada sumber mana dipetik. Kami tidak bertanggungjawab atas kerosakan atau kemudaratan atau seumpama dengannya, yang berlaku akibat menggunakan bahan dan maklumat yang kami kongsikan. Semoga ilmu ini dapat dimanfaatkan bersama demi kemaslahatan sejagat.

Perkongsian

Pelawat

Hari Ini31
Semalam301
Minggu Ini332
Bulan Ini4438
Jumlah Pelawat181585

Who Is Online

1
Online

2024-09-17