Oleh Muhaimi Suhaili, Nur Raihan Md Ariani, Nur Ain Faresha Abdul Haqq, Nur Alifah Wardiah Syafie*
HALA tuju pendidikan negara hendaklah berpaksikan masa hadapan seiring dengan perkembangan dunia pendidikan dalam melaksanakan transformasi pengajaran dan pembelajaran.
Demikian dinyatakan oleh Dr. Abdul Hadi bin Mat Dawi, dalam ucapan alu-aluan dalam pembukaan Showcase OPD-KPPB Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kluster IV hari ini.

Gambar: Dr. Abdul Hadi bin Mat Dawi
Beliau yang menjadi Pemantau showcase kali ini yang juga Task Force KPPB turut menekankan bahawa pendekatan pengajaran masa kini perlu berubah seiring dengan perkembangan dunia pendidikan.
“Senario pengajaran dan pembelajaran perlu berasaskan pelajar, mengutamakan kerjasama rakan pembelajaran serta mengaplikasikan pembelajaran berasaskan reka bentuk,” ujar beliau ketika menyentuh tentang keperluan transformasi dalam pengajaran dan pembelajaran.
Menurut beliau lagi, pendekatan tersebut bukan sahaja mampu meningkatkan kefahaman pelajar, malah membantu membentuk pemikiran kritis dan kreatif dalam kalangan mereka.
Pembelajaran yang berasaskan reka bentuk dan kolaboratif menurutnya, mampu menyediakan pelajar dengan kemahiran sebenar yang diperlukan dalam dunia pendidikan dan kerjaya pada masa hadapan.
Justeru, pendidik perlu bersedia untuk berubah dan sentiasa terbuka terhadap inovasi dalam pengajaran, tambahnya.

Gambar janaan AI: Apakah pendidikan kita sudah mempunyai sifat futuristik?
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan penganjuran Showcase OPD-KPPB Peringkat Kluster VI IPGM bagi Semester Ogos hingga Disember 2025.
Beliau menyifatkan program ini sebagai satu platform yang amat signifikan dalam memperkukuh budaya profesionalisme warga pendidik.
Selain itu, menjadi medium perkongsian ilmu, pengalaman dan amalan terbaik dalam bidang pendidikan.

Gambar janaan AI: Bagaimanakah menangani cabaran guru untuk menghadapi Generasi Alfa?
Menurut beliau, penganjuran program seumpama ini mencerminkan komitmen berterusan IPGM dalam melahirkan pendidik yang berkualiti, progresif dan bersedia menghadapi cabaran pendidikan semasa.
Tambahnya lagi, penggunaan Objek Pembelajaran Digital (OPD) ini selari dengan keperluan semasa pendidikan yang menuntut guru sentiasa menambah baik amalan pengajaran dan pembelajaran melalui pendekatan reflektif dan kolaboratif.
“Penggunaan OPD ini memberi impak yang besar kepada pelajar, khususnya dari segi peningkatan kualiti pembelajaran, penglibatan aktif dalam pengajaran dan pembelajaran serta pembangunan kemahiran berfikir aras tinggi”, tambahnya.

Gambar: Penggunaan OPD memberi impak yang besar kepada pelajar
Menurutnya, showcase ini bukan sahaja memberi ruang kepada perkongsian dapatan serta pengalaman sebenar di bilik darjah, malah menjadi wadah untuk menilai keberkesanan strategi pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan.
Pendekatan ini secara tidak langsung membantu pendidik mengenal pasti kekuatan serta aspek penambahbaikan dalam usaha meningkatkan kualiti pembelajaran.
Hal ini secara tidak langsung membantu melahirkan pelajar yang lebih yakin, kreatif dan berdaya saing selaras dengan keperluan pendidikan abad abad ke-21.
__________________________________________________________________
*Profil penulis: Muhaimi Suhaili ialah Pensyarah dari Jabatan Pengajian Melayu, IPG Kampus Raja Melewar; manakala Nur Raihan Md Ariani, Nur Ain Faresha Abdul Haqq, dan Nur Alifah Wardiah Syafie ialah Pelajar PISMP BMMB SSM Ambilan Ogos 2025-2029.
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
|
Muhaimi Suhaili |
Nur Raihan Md Ariani | Nur Ain Faresha Abdul Haqq | Nur Alifah Wardiah Syafie |
___________________________________________________________________



