Wuthering Height: Pengkhianatan senyap dalam sebuah percintaan epik

Wuthering Height: Pengkhianatan senyap dalam sebuah percintaan epik

Oleh Muhaimi Suhaili

DI tanah tinggi yang tidak pernah benar-benar tenang, angin berdesir tanpa henti, seolah-olah memanggil nama yang sudah lama terkubur. Tajuknya sendiri sudah memberi amaran—Wuthering.

Dalam dialek Yorkshire, England, istilah ini merujuk kepada rumah di atas bukit yang sering dilanda angin kencang.

Seperti judul novel asal karya, versi 2026 ini mengangkat makna itu secara literal dan simbolik: angin di luar rumah sama kuatnya dengan ribut di dalam jiwa. 

Berikut ialah cebisan idea yang dapat digarapkan dalam ulasan sederhana ini.

 

Gambar: Saat-saat hubungan yang mula mekar

Pragarap dan pendokong filem

Filem ini menggarapkan latar Yorkshire yang muram dan dramatik. Penggunaan cahaya malap dan lanskap luas memperkukuh suasana kesunyian, obsesi dan keterasingan sejajar dengan tema cinta yang penuh gejolak.

Naskhah arahan Emerald Fennell ini merupakan adaptasi baharu daripada novel klasik karya Emily Bronte untuk filem versi ketiga. Versi ini menampilkan Margot Robbie sebagai Catherine Earnshaw dan Jacob Elordi sebagai Heathcliff.

Gambar: Jacob Elordi menampilkan watak Heathcliff

Margot Robbie membawa dimensi emosi yang kompleks sebagai Catherine—lembut tetapi memberontak. Jacob Elordi pula menampilkan Heathcliff yang lebih kontemporari: bukan sekadar pendendam, tetapi lelaki yang luka dan terperangkap dalam trauma masa lalu.

Sebagai pengarah, Emerald Fennell membawa pendekatan berani dengan memberikan sentuhan psikologi yang lebih mendalam. 

Pengisahan cerita ini menunjukkan bahawa hubungan cinta digambarkan bukan hanya romantik, tetapi toksik dan destruktif, namun tetap realistik kepada penonton masa kini.

 

Gambar: Hubungan yang dibina sejak kecil

Cinta berakar, walau berlumpur

Cinta antara dua jiwa ini dibina sejak akar. Cinta tidak lahir sebagai bunga yang mekar tiba-tiba, tetapi sebagai akar yang mencengkam tanah. Akar itu walau dihimpit lumpur, walau ditindas suasana yang kelam namun tetap utuh.

Seperti permata yang terjatuh ke dalam lumpur, sinarnya tidak pernah hilang. Cinta itu tetap bercahaya, walaupun dikelilingi dendam, salah faham dan pengkhianatan senyap.

Anehnya, pada awal kisah, status bukan isu yang menjerut. Percintaan antara si khadam dan anak majikan tidak dipersembahkan sebagai polemik sosial yang berlebihan. Tiada perdebatan panjang tentang kasta atau darjat. Halangan sebenarnya bukan harta, bukan agama, bukan prinsip tetapi diri pencinta itu sendiri.

Semuanya bermula dengan satu salah faham kecil.

Kecilnya tetapi berakar racun.

 

Gambar: Kehilangan yang tidak dapat ditebus

Pengkhianatan yang tidak bersuara

Filem ini sarat dengan konflik jiwa. Setiap keputusan lahir daripada bisikan kedengkian, cemburu dan tafsiran yang tersasar. 

Pengkhianatan di sini bukan dalam bentuk pengisytiharan dramatik, tetapi dalam diam, dalam kata yang tidak dijelaskan, dalam keputusan yang dibuat tanpa keberanian untuk memahami.

Dalam filem ini, Nelly Dean ialah pembantu rumah yang menjadi saksi kepada konflik dua pencinta. Dia juga menjadi narator yang membingkai keseluruhan cerita - menjadi suara moral serta pemerhati sosial, iaitu lakonan Hong Chau.

Gambar: Naskhah yang bukan sekadar kisah cinta, tetapi renungan tentang pilihan, takdir dan akibat

Adakah Nelly Dean itu dianggap pengkhianat dan pendendam misteri kepada anak majikannya itu? Atau si pencemburu  yang dengki atas kebahagiaan Catherine? Atau, adakah dia juga menjadi penyelamat masa sukar mereka?

Nelly Dean boleh dianggap pengkhianat kerana sentiasa menjadi tembok besar antara interaksi dua watak utama, yang akhirnya menimbulkan kekeliruan dan salah faham—menjadi barah tanpa belas.

Akibat salah faham kecil inilah membawa implikasi kepada keputusan yang besar.

Itulah denyut utama naskhah ini.

 

Gambar: Nelly Dean lakonan Hong Chau

Siapakah pengkhianat?

Akan tetapi, pencinta itu sendiri juga boleh menjadi dalang dan peruntuh istana percintaan yang dibina. 

Si pencinta sendiri mungkin tidak dapat mengawal si pendengki, tetapi masih dapat mengawal diri sendiri.

Analoginya: Walaupun kita tidak dapat mengawal arah tiupan angin, tetapi kita masih boleh mengawal sayapnya.

Gambar: Cinta diuji oleh keegoan

Di sinilah kita dapati bahawa ujian cinta sebenarnya ialah bukannya angkara Nelly Dean semata-mata. Dia hanyalah asbab—pemangkin, bukan punca utama. Ujian sebenar adalah pasangan itu sendiri. Cinta mereka diuji oleh keputusan mereka, oleh keegoan mereka, oleh kegagalan mereka memahami antara satu sama lain.

Cerita ini terasa pelik, malah menghairankan. Kita melihat kehancuran yang sebenarnya boleh dielakkan tetapi memilih untuk merelakan kanser penderitaan menjalar senyap serta perlahan, dengan cara yang  menyakitkan, menghibakan dan menghancurkan.

Akhirnya, dalam cerita ini, pendosa tidak dihukum di tali gantung. Tidak ada adegan dramatik sebegitu. Namun awas—hukuman tetap datang. Malah hukuman itu jauh lebih kejam: penyesalan yang berpanjangan, kehilangan yang tidak boleh ditebus, dan hidup yang terpaksa diteruskan dengan jiwa yang sudah retak serta berkecai-berai!

 

Gambar: Episod kesedihan dalam majlis pengebumian

Latar kelam yang menggambarkan jiwa

Lupakan gajet canggih. Lupakan kereta mewah dan bangunan tinggi mencakar langit. Anda tidak akan menemui semua itu di sini.

Yang ada ialah rumah kayu di atas bukit, dindingnya ditembusi angin kencang yang menderu masuk tanpa izin. Langsir berkibar seperti jiwa yang memberontak. Suasana suram itu bukan sekadar latar tetapi suasana cerminan kekalutan batin para wataknya. Ada ketika paparannya ialah panorama indah di kawasan perbukitan, namun sentiasa diganggui oleh mod yang kusam.

Plot kesedihan dan dendam memang sepatutnya disaluti latar gelap begini. Tidak mungkin anda menemui kisah seperti ini dalam latar masa 1500 tahun dahulu, atau dalam dunia moden serba digital. Cerita ini milik zaman klasik—zaman iaitu emosi lebih lantang daripada logik, dan maruah lebih mahal daripada kebahagiaan.

 

Gambar: Suasana suram mencerminkan kekalutan jiwa

Tragis yang mengawal air mata

Menariknya, walaupun tragis, filem ini tidak memaksa penonton tenggelam dalam air mata tanpa henti. Konfliknya kuat, tetapi sentiasa ada ruang untuk bernafas sebelum badai baharu melanda.

Mungkin di kiri kanan anda penonton sudah banjir dengan air mata atau berendam perasaan yang menghibakan.

Akan tetapi dalam masa yang sama, anda juga boleh berasa tenang tanpa menggugurkan air mata dan apa yang anda harus lakukan ialah berasa kasihan dengan nasib malang yang menimpa.

 

Gambar: Meraikan si pendosa

Petunjuk awal yang terang, tetapi pengakhiran berbeza

Sejak awal, petunjuk sudah jelas. Penonton yang peka akan dapat meneka apakah yang bakal berlaku kepada pasangan ini. 

Mesejnya: Awas, pendosa akan berada di tali gantung! Namun, apabila pengakhiran itu tiba, cukup mengejutkan dari segi hasil, tetapi tetap menggetarkan dari segi rasa.

Kita tahu ia akan berakhir begini, tetapi rupanya dihukum dengan cara yang tersendiri.

Itulah kekuatan filem ini.

 

Gambar: Jacob Elordi menampilkan Heathcliff  yang digambarkan sebagai lelaki yang luka dan terperangkap dalam  trauma masa lalu

Untuk siapa naskhah ini?

Bagi pencinta naskhah yang sarat seni dan lapisan falsafah, filem ini membuka ruang percaturan pemikiran yang mendalam dan mencabar. Naskhah bukan sekadar kisah cinta, tetapi renungan tentang pilihan, takdir dan akibat.

Namun, jika anda mencari kisah ringan, sedih tetapi menghiburkan seperti Kuch Kuch Hota Hai, atau romantik tragis yang penuh spectacle seperti Titanic, anda mungkin merasakan tempo filem ini lebih perlahan, lebih muram, dan kurang dramatik secara luaran.

Apapun, rentak penceritaan mungkin terasa perlahan bagi penonton yang tidak biasa dengan drama klasik. 

Akan tetapi jangan silap, filem ini  mempunyai gaya dan kelas tersendiri.

 

Gambar: Watak Catherine yang lembut tetapi memberontak

Penutup

Ulasan ini tidak mungkin membuka setiap inci kisah dan tidak mahu membocorkan pengakhirannya. Suspens itu harus dikekalkan untuk anda menerokai falsafah yang lebih mendalam lagi.

Jika anda benar-benar mahu memahami pengkhianatan senyap yang meruntuhkan cinta berakar ini, anda perlu menontonnya sendiri.

Hal ini kerana ada kisah yang tidak cukup hanya dibaca atau diulas tetapi perlu dirasai, ditemani angin yang bergemuruh, di sebuah rumah di atas bukit yang suram, dengan ditemani popcorn di tangan anda.

*****

GARAPAN MINDA

Kita mungkin tidak dapat mengubah dunia, tetapi kita dapat melahirkan generasi yang akan mengubah dunia. - muna

 

Disclaimer

Kami menyediakan bahan dan maklumat berdasarkan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman kami. Pengguna dinasihatkan untuk memilih dan menilai sendiri mana-mana maklumat yang sesuai dan autentik, serta memasukkan daripada sumber mana dipetik. Kami tidak bertanggungjawab atas kerosakan atau kemudaratan atau seumpama dengannya, yang berlaku akibat menggunakan bahan dan maklumat yang kami kongsikan. Semoga ilmu ini dapat dimanfaatkan bersama demi kemaslahatan sejagat.

Perkongsian

Pelawat

Hari Ini102
Semalam736
Minggu Ini2593
Bulan Ini3243
Jumlah Pelawat412826

Who Is Online

1
Online

2026-03-06