Oleh Muhaimi Suhaili
SERAMAI 28 orang warga Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Raja Melewar membuat kunjungan ke Kuliah Al-Lughah Waddin As Sultan Abu Bakar, Pekan, Pahang, semalam.
Program anjuran Jawatankuasa Pusat Rujukan Peradaban dan Penyelidikan Ketamadunan Adat Perpatih Sedunia (Pradakaps) adalah dalam kalangan para pensyarah dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP).
Rombongan tersebut terdiri daripada Ketua-ketua Jabatan, Ketua Unit, Jawatankuasa Pradakaps, Pustakawan dan Pelatih Industri.
Lawatan tersebut diadakan bagi berkongsi amalan terbaik antara IPGM Kampus Raja Melewar dan Kuliah Al-Lughah Waddin As Sultan Abu Bakar.
Pada majlis tersebut acara suai kenal telah diadakan yang antaranya sesi perkongsian amalan terbaik antara pihak IPGMKRM dengan pihak Kuliah Al-Lughah Waddin As Sultan Abu Bakar Pahang.
Encik Mohd. Izan bin Hj. Yusof, Ketua Jabatan, Jabatan Pengajian Melayu yang juga mewakili Pengarah turut hadir dalam program tersebut yang menjadi ketua rombongan merangkap mewakili Pengarah.
Dalam ucapan beliau, kehadiran rombongan IPGM Kampus Raja Melewar ke kuliah ini sememangnya sesuai kerana menjadi antara sekolah agama yang terbaik di Malaysia dalam berkongsi pengalaman, rasa dan cara bekerja.
Beliau turut mempromosi Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) yang ditawarkan oleh IPGM khususnya dalam bidang Pendidikan Islam.
"Selain akademik, kemasukan ke IPGM juga memerlukan kecerdasan fizikal melalui ujian saringan kecerdasan yang perlu dilalui", tambahnya.
Terdahulu, Pengetua kuliah, Tuan Hj. Lebai Idris bin Ali mengalu-alukan kehadiran para rombongan dari IPGMKRM kerana sudi berkongsi amalan terbaik yang dilaksanakan oleh kedua-dua pihak.
Menurut beliau, Kuliah Al-Lughah Waddin As Sultan Abu Bakar merupakan sekolah yang pernah dilawati oleh Rektor Universiti Al-Azhar, Mesir.
Selain itu, sekolah ini suatu ketika pernah menghantar seramai 120 orang pelajar ke Mesir untuk melanjutkan pelajaran.
Sekolah yang ditubuhkan pada tahun 1941 ini menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa pengantar sepenuhnya.
Ketua Pusat Pradakaps, Dr. Abdul Karim Mansor turut berkongsi tentang amalan terbaik yang dilaksanakan di IPGMKRM tentang peranan dan sumbangan Pradakaps dalam memartabatkan Adat Perpatih di Negeri Sembilan.