Oleh Muhaimi Suhaili
RUMAH Undang Jelebu telah mengungguli tahta kejuaraan sempena Kejohanan Olahraga Tahunan Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar selepas mengetepikan tiga rumah sukan yang lain.
Pada kejohanan kali ini, sebanyak empat buah rumah sukan yang beradu kekuatan dalam mempamerkan keupayaan rumah masing-masing dalam pelbagai acara yang diadakan iaitu rumah Undang Sg Ujung (Kuning), rumah Undang Johol (Hijau) dan rumah Undang Rembau (Biru), selain rumah Undang Jelebu (Merah).
Tempat kedua pula diraih oleh rumah Undang Johol. Bagi tempat ketiga dan keempat pula, masing-masing disandang oleh rumah Undang Sungai Ujong dan rumah Undang Rembau.
Gambar: Kejohanan Olahraga Tahunan Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar ketika acara pembukaan.
Seperti tahun lepas, Kejohanan Olahraga Tahunan 2023 Majlis Sukan IPG Kampus Raja Melewar ini diadakan di Padang IPGKRM dengan keadaan cuaca yang sangat baik.
Dengan mengekalkan konsep sukan untuk semua, setiap warga IPGKRM tidak kira para pelajar, Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) dan para pensyarah, semuanya berganding bahu untuk menjayakan temasya sukan bagi kali keduanya secara fizikal ini selepas dunia dilanda pandemik.
Gambar: Rumah Undang Johol sedang beraksi bersama-sama dengan para pelawat.
Kejohanan sukan ini telah pun bermula pada hari pertama dan kedua iaitu pada 6 Mac 2023 dan 7 Mac 2023 dengan beberapa acara padang dan belapan secara saringan. Acara kemuncak kejohanan tersebut diadakan pada hari ketiga iaitu pada 8 Mac 2023 selepas majlis pembukaan.
Majlis yang dimulakan seawal 8.30 pagi itu dimeriahkan dengan acara perbarisan yang memperlihatkan semua kontijen rumah sukan dan persatuan beruniform, membuat lintas hormat.
Majlis pembukaan telah disempurnakan oleh Dr. Mohd Ashraf bin Ibrahim, bagi mewakili Pengarah IPG Kampus Raja Melewar.
Gambar: Para kenamaan yang turut hadir.
Dalam ucapan pembukaannya, beliau berkata bahawa acara sukan seperti ini menjadi latihan kepada pelajar yang seterusnya akan dipraktikkan apabila berada di sekolah nanti.
Tambahnya, sukan tahunan merupakan aktiviti yang paling bermakna kerana semua pelajar terlibat secara langsung dan tidak langsung menjayakannya selari dengan Falsafah Pendidikan Negara bagi melahirkan insan yang seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek.
Menurut beliau, melalui sukan ini, pelajar dapat mengenali rakan dengan lebih dekat, memupuk semangat kerjasama, melahirkan bakat-bakat terpendam dan menyuntik semangat juang yang tinggi.
Gambar: Acara lintas hormat sedang berlangsung.
"Kita perlu aktif dalam sukan mengikut kemampuan bagi membentuk guru pelatih yang cekap, aktif dan berdaya tahan dalam melahirkan masyarakat yang cerdas" ujarnya.
Majlis pembukaan turut diserikan dengan kehadiran Tuan Haji Abdul Halim bin Md Salleh, Ketua Jabatan Pendidikan Jasmani, Kesihatan dan Kokurikulum selaku host utama penganjuran kejohanan sukan.
Turut hadir ialah Ketua-ketua Jabatan dan Ketua-ketua Unit.
Gambar: Rumah Undang Sungai Ujong dengan imej yang sangat ceria.
Antara senarai acara yang dipertandingkan pada kali ini ialah acara 100 meter, 200 meter, 400 meter, 800 meter, 1,500 meter, 1,500 meter, Acara Tadika, 4x100 meter (L/P), Lontar Peluru (L/P), Lompat Jauh (L/P), Lompat Tinggi (L/P), Merejam Lembing (L/P), Tarik Tali (L/P), Tarik Tali Staf (L/P) dan Acara Staf 50 meter x 8.
Jumlah keseluruhan pingat yang dipertandingkan ialah 271.
Selain acara belapan peringkat akhir, acara kemuncak pada hari terakhir ialah acara tarik tali dan acara larian 8 × 50 meter untuk AKP dan pensyarah.
Gambar: Rumah Undang Jelebu dengan kemeriahan war cry dan konsepnya tersendiri.
Banyak faedah yang diperoleh dalam aktiviti ini berdasarkan objektif penganjuran.
Antaranya memberi pengetahuan dari aspek perancangan kejohanan olahraga siswa guru selain dapat memberi pengalaman dari aspek pengelolaan kejohanan olahraga dan pengurusan pasukan.
Gambar: Para peserta rumah Undang Rembau bersama-sama dengan para pelawat.
Selain itu dapat menggalakkan penghasilan idea-idea kreatif dan inovatif dalam usaha menjayakan pertandingan yang dirancang.
Selain itu, dapat memupuk semangat berpasukan, bekerjasama dalam melaksanakan tugas secara berkumpulan.
Gambar: Gambar kenangan sebaik sahaja kejohanan olahraga berakhir.
Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Tuan Haji Abdul Halim bin Md Salleh, Ketua Jabatan Pendidikan Jasmani, Kesihatan dan Kokurikulum.