Oleh MUHAIMI SUHAILI
Daripada penelitian Surah Al-Kahfi, ayat 60 hingga 82, terdapat beberapa pengajaran yang dapat diperoleh sebagai panduan menuntut ilmu:
Niat menuntut ilmu dan mencari guru
Niat atau hasrat menuntut ilmu itu harus bermula kerana Allah s.w.t. Menuntut ilmu itu bermula dengan keinginan kita tetapi tersemat dalam hati kerana Allah s.w.t. Ada orang yang mempunyai pelbagai keinginan atau hasrat dalam dunia ini untuk melakukan sesuatu yang disukai atau untuk dicapai. Begitu juga hasrat untuk menuntut ilmu itu terdapat dalam jiwa manusia. Dalam kehidupan kita seharian niat itu timbul daripada rangsangan yang menjadi pendorong kepada kita untuk menuntut ilmu. Pendek kata, dalam proses menuntut ilmu, seseorang itu hendaklah memulakan niat untuk menuntut ilmu itu kerana Allah Taala. Dalam Islam niat melakukan sesuatu bukan hanya untuk menuntut ilmu malah dalam semua pekerjaan yang kita laku. Setiap niat, keinginan, dan apa sahaja kita fikirkan dan seterusnya lakukan adalah kerana Allah s.w.t. Menyatakan niat kerana Allah s.w.t akan memastikan diri kita insaf bahawa ilmu yang kita cari itu bersumberkan Allah dan kita tidak mahu niat kita menyimpang daripada matlamat asal kita untuk mendapat keredaan daripada-Nya.
Selepas keinginan untuk menuntut ilmu itu, langkah seterusnya ialah mencari guru. Hal ini kerana melalui guru akan menjadi panduan kepada kita untuk memperoleh ilmu yang kita hasratkan. Oleh yang demikian kita perlulah mengenal pasti guru dan guru itu perlu dicari, bukan guru yang mencari kita. Contohnya, tempat guru itu berada perlulah diketahui. Begitu juga latar belakang guru itu seperti ilmu guru seharusnya lebih tinggi daripada ilmu murid. Selain itu proses mencari guru ini haruslah sentiasa sabar, nekad dan gigih, malah dalam mencari ilmu itu harus ada matlamat. Seseorang itu hendaklah tidak berhenti dan berputus asa serta tetap berjuang sehingga menemui apa yang dihasratkan. Pendek kata, matlamat mencari guru dahulu atau dalam konteks kita sekarang mencari sesebuah institusi pendidikan itu sebelum memulakan perguruan harus jelas sehingga bertemu dengan destinasi yang dicari. Pencarian ilmu tanpa kenal putus asa merupakan tercetus melalui keinginan yang tinggi.
Dalam konteks ini, semangat apakah yang lebih kental dan konsisten daripada semangat Nabi Musa untuk menemui Nabi Khidir seperti maksud yang ditunjukkan dalam ayat di bawah melalui Surah Al-Kahfi.
Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada (muridnya): Aku tidak akan berhenti (berjalan) sebelum sampai ke pertemuan dua buah lautan; atau aku akan berjalan sampai bertahun-tahun.(QS.18:60)
Sikap lalai, BBM, ”Amanah”
Tidak dapat dinafikan bahawa ketika kita menuntut ilmu itu adakalanya kita juga lalai meskipun kita berusaha bersungguh-sungguh ke arah itu. Ada perkara yang boleh kita kawal dan ada perkara yang tidak boleh kita kawal. Perkara yang boleh kita kawal pun belum tentu dalam kawalan kita kerana segala yang berlaku dalam penguasaan Allah s.w.t. Apa yang berlaku, sama ada yang kita sukai atau tidak sukai, sesungguhnya di dalamnya mengandungi kebaikan. Oleh yang demikian, aspek kelalaian merupakan perkara biasa ketika kita hendak menuntut ilmu itu. Jika itu berlaku, maka hal ini mengandungi pelajaran tersendiri di sebaliknya.
Dalam konteks ini, seseorang guru itu harus kreatif apabila melihat kejadian seperti ini. Dalam konteks kisah Nabi Musa itu, Allah perintahkan membawa ikan dalam perjalanannya sebagai salah satu daripada titik tolak untuk Nabi Musa menemui Nabi Khidir ini. Dalam konteks pembelajaran kita, ikan itu simbol Bahan Bantu Mengajar (BBM). Bahan BBM itu mungkin boleh dijadikan alat sebagai petunjuk untuk pergi ke suatu tempat yang dituju atau sesuatu lokasi yang seseorang guru itu maksudkan.
Selain itu, dalam situasi pembelajaran, ada kalanya seseorang guru itu perlu kreatif dengan memasukkan BBM sebagai elemen ”amanah” yang harus dijaga atau dilindungi sepanjang penerokaan ilmu itu berlaku. Umpamanya seperti telur, belon berisi air, ikan hidup, nanas, pisang dan sebagainya. Dalam belajar, ”amanah” sebagai alat menterjemahkan matlamat. Dalam konteks ini, ikan ialah simbol amanah. Dalam satu set pembelajaran seseorang guru itu hendaklah kreatif dalam memberi bayangan ke arah satu klu yang merupakan penggerak kepada sesuatu aktiviti itu. Contohnya, apabila sampai di satu tempat dan tiba-tiba ”barang” yang dibawa sebagai amanah ada orang hendak membelinya tanpa ada harga, maka di situ boleh dijadikan penggerak kepada aktiviti pembelajaran yang seterusnya. Kebiasaannya istilah password selalu digunakan dalam konteks ini sebagai elemen yang dramatik dan bervariasi.
Cabaran menuntut ilmu, kelalaian itu kerja syaitan, titik tolak atau turning point
Sesungguhnya, sesiapa sahaja yang bergelar murid atau pelajar, tidak ada perkara yang senang dalam menuntut ilmu melainkan sentiasa berhadapan dengan banyak cabaran. Malah proses menuntut ilmu itu meletihkan dan banyak kekangan yang sentiasa menyebabkan kita akan berasa berputus asa. Kita mungkin menempuh perjalanan yang jauh untuk pergi ke sesuatu tempat. Perjalanan itu juga satu pembelajaran. Ada orang terpaksa menempuh perjalanan yang sukar seperti melalui denai-denai yang curam, mengharungi jeram-jeram yang dalam, malah menongkah arus sungai yang penuh dengan buaya. Semuanya itu ialah cabaran menuntut ilmu. Setiap cabaran dan kesakitannya mengandungi pelajaran yang tersurat dan tersirat. Walau bagaimanapun, dalam proses menuntut ilmu kita seharusnya memenuhi tuntutan biologi seperti makan untuk memperoleh tenaga kyang secukupnya. Seperti yang dikatakan tadi bahawa menuntut ilmu itu satu cabaran kepada kita, dan kelalaian yang berlaku hendaklah dijadikan satu pengajaran. Pendek kata, kita belajar melalui kesilapan.
Dalam konteks pembelajaran memberi cabaran kepada murid-murid kita merupakan aspek yang harus diambil kira. Cabaran itu muncul dalam banyak bentuk. Memberi cabaran atau kepayahan itu juga cabaran. Memberi soalan atau tugasan yang mencabar minda murid juga cabaran. Memberi satu persoalan atau permasalahan, kemudian meminta sekumpulan murid itu menyelesaikan satu-satu persoalan yang sukar juga dan mencabar juga satu cabaran. Dengan ini akan melatih murid-murid itu berhadapan dengan permasalahan dan sejauh manakah mereka dapat menyelesaiakan sesuatu persoalan lebih-lebih dalam dunia yang sebenarnya atau di lapangan.
Selain itu, ada ketikanya kita akan lalai atau alpa terhadap sesuatu dan semuanya itu adalah kerja syaitan yang sentiasa menghasut kita ke arah yang tidak baik. Bagaimanapun, jarang sekali kita menganggap bahawa kelalaian itu merupakan salah satu unsur yang boleh dijadikan pengajaran. Setiap proses yang berlaku tentu ada titik tolak atau turning point ke arah berlakunya sesuatu itu. Dengan perkataan lain, setiap yang berlaku ada sebab dan akibatnya. Dalam konteks pembelajaran seseorang guru itu harus bijak menentukan titik tolak yang menggerakkan sesuatu langkah pembelajaran dari satu langkah ke satu langkah. Kadang-kadang untuk meminta murid pergi ke satu arah atau tempat yang dituju, kita harus juga ada petunjuk atau klu yang diberikan agar menjadi titik tolak atau penggerak kepada sesuatu peristiwa baharu yang berlaku. Dalam konteks peristiwa yang berlaku jelaslah bahawa untuk menuntut ilmu, kena ada titik poin untuk menggerakkannya ke sesuatu destinasi.
Dalam Surah Al-Kahfi, kejadian kehilangan ikan di suatu lokasi iaitu dalam keadaan yang sungguh aneh itu, sebenarnya Allah telah tetapkan bahawa di situlah tempat Nabi Musa akan menemui Nabi Khidir seperti dalam ayat 61 – 64.
Maka tatkala mereka sampai ke pertemuan dua buah laut itu, mereka lalai akan ikannya, lalu ikan itu melompat mengambil jalannya ke laut itu. (QS. 18:61)
Maka tatkala mereka berjalan lebih jauh, berkatalah Musa kepada muridnya: “Bawalah ke mari makanan kita; sesungguhnya kita telah merasa letih karena perjalanan kita ini”. (QS. 18:62)
Muridnya menjawab: “Tahukah kamu tatkala kita mencari tempat berlindung di batu tadi, maka sesungguhnya aku lupa (menceritakan tentang) ikan itu dan tidak adalah yang melupakan aku untuk menceritakannya kecuali syaitan dan ikan itu mengambil jalannya ke laut dengan cara yang aneh sekali”. (QS. 18:63)
Musa berkata: “Itulah (tempat) yang kita cari”. Lalu keduanya kembali, mengikuti jejak mereka semula. (QS. 18:64)
Ilmu itu milik Allah
Ilmu itu anugerah Allah. Dia yang memberikan ilmu itu kepada makhluknya. Allah punca ilmu. Semua perkara di atas dunia ini, pengetahuan dan apa sahaja ilmu semuanya daripada Allah. Ketika Nabi Adam dihantar ke dunia, Allah mengajar Nabi Adam tentang nama sesuatu. Hak Allah untuk memberi ilmu siapa-siapa yang dikehendakinya. Ilmu itu rahmat daripada Allah kepada mana-mana hamba yang dikehendakinya. Punca ilmu ialah Allah. Mohonlah kepada Allah untuk mendapatkan ilmu daripada-Nya. Bermulalah dengan memohon daripadanya untuk mendapatkan ilmu tersebut, dan sentiasalah berdoa supaya kita yang menuntut ilmu itu dipermudah dan dirahmati-Nya. Berdoalah juga agar kita sentiasa menjadi hambanya yang terpilih untuk memperoleh ilmu yang kita inginkan dengan keizinan-Nya. Seorang guru hanyalah orang yang menyampaikan ilmu, tetapi yang memberikan ilmu itu sebenarnya Allah kepada sesiapa makhluk yang kehendaki-Nya. Ilmu itu ialah cahaya. Orang yang dalam kegelapan akan berusaha mencari cahaya ilmu itu, dan pemilik ilmu itu ialah Allah. Guru yang menyampaikan ilmu itu hanyalah ”alat” untuk disampaikan kepada murid-murid.
Sumber ilmu itu jelas daripada-Nya seperti dalam dalam ayat 65 Surah Al-Kahfi di bawah:
Lalu mereka bertemu dengan seorang hamba di antara hamba-hamba Kami, yang telah Kami berikan kepadanya rahmat dari sisi Kami, dan yang telah Kami ajarkan kepadanya ilmu dari sisi Kami. (QS. 18:65)
Ilmu dan reda daripada gurunya
Untuk menuntut ilmu, mestilah daripada seorang guru, dan kita sebagai murid hendaklah memohon kebenaran daripada guru tersebut bagi memperoleh ilmu yang dikehendaki. Dengan perkataan lain, orang yang mahu menuntut ilmu harus mendapat persetujuan daripada gurunya untuk mendapat ilmu. Persetujuan bermakna guru reda kepada ilmu yang diberi. Reda akan ilmu yang diperoleh adalah perkara yang amat penting.
Ilmu yang kita peroleh sebenarnya diajar oleh Allah kepada kita. Sesiapa sahaja yang mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran di dunia ini, semuanya daripada Allah s.w.t. Selain itu, ilmu itu benar sifatnya. Ilmu yang palsu akan diselaputi oleh pemikiran yang salah, malah jauh sekali untuk mengabdikan ilmu itu demi Yang Maha Kuasa. Pelbagai ilmu yang ada di dunia ini dan dianugerahkan kepada orang tertentu mengikut ketetapan-Nya.
Ilmu yang benar itu daripada Allah s.w.t seperti dalam ayat 66 di bawah ini:
Musa berkata kepada Khidhr: “Bolehkah aku mengikutimu supaya kamu mengajarkan kepadaku ilmu yang benar di antara ilmu-ilmu yang telah diajarkan kepadamu” (QS. 18:66)
Provokasi, kesabaran dalam menuntut ilmu
Setiap perkara yang berlaku di dunia ini ada sebabnya dan pasti akan memberi akibat. Apa yang orang buat dan akibat daripada perbuatannya itu menjadi sebab dan akibatkan. Tindakan yang kita lakukan adalah berdasarkan pengetahuan yang ada untuk melakukan sesuatu keputusan bagi mengerjakan sesuatu perbuatan. Kita memerlukan pengetahuan untuk membuat keputusan bagi melakukan sesuatu tindakan. Tindakan yang kita lakukan adalah berdasarkan pengetahuan yang kita ada setakat pengalaman dan pengetahuan yang kita peroleh dan alami sejak kita hidup di dunia. Oleh yang demikian, pengetahuan dan pengalaman kita amat diperlukan dalam membuat keputusan dan membuat sesuatu tindakan. Jika pengetahuan dan pengalaman kita banyak tentang perkara tersebut maka kebarangkalian seseorang membuat keputusan dan tindakan itu betul adalah tinggi. Manakala seseorang yang membuat keputusan tanpa pengetahuan, fakta, dan kajian, pasti kebarangkalian yang betul itu adalah rendah. Itulah sebabnya apabila sesuatu yang berlaku di depan mata kita ketika kita berhadapan dengan orang, situasi, keadaan dan apa sahaja perkara yang memberi rangsangan kepada kita ketika itu, kita selalu memberi maklum balas berdasarkan pengetahuan dan pengalaman kita.
Oleh sebab kurang pengetahuan, kita selalu menghakimi atau menilai seseorang menurut kaca mata pengetahuan yang kita ada. Contohnya apabila sesuatu yang berlaku di depan mata kita adalah tentang kepincangan dan salah laku yang bertentangan dengan norma hidup masyarakat maka kita mula menghakimi berdasarkan pengetahuan kita. Ada orang dianugerahkan Allah ilmu tentang keupayaan memahami perkara tersebut dan ada pula yang tidak. Oleh yang demikian, jika kita tidak memperoleh ilmu tersebut maka kita akan mula menghakimi seseorang itu tanpa pengetahuan dan tentulah penilaian kita itu salah. Malahan kita akan berasa tidak sabar kerana perbuatan tersebut mungkin tidak masuk akal. Akan tetapi kalau kita memahami situasi tersebut maka kita akan faham sebab seseorang itu melakukan sesuatu yang mungkin tidak masuk akal.
Rajah: Maklum balas yang bertentangan dengan kebenaran
Dalam konteks pembelajaran di dalam bilik darjah, seseorang guru itu bolehlah menguji murid-muridnya dalam bentuk ”provokasi” iaitu sejauh manakah atau setinggi manakah keinginan untuk menuntut ilmu. Provokasi juga boleh digunakan untuk memberi inspirasi kepada mereka supaya sampai ke hala tuju tersebut dengan ”memperkecil” keupayaan mereka itu. Dengan demikian mereka berasa diperkecil dan cuba membuktikan bahawa mereka tidak seperti yang guru mereka dakwa dan mereka juga akan cuba membuktikan bahawa mereka juga mempunyai keupayaan untuk melakukan sesuatu yang ”dicabar” oleh gurunya.
Pengetahuan seseorang sering mempengaruhi kesabaran seseorang. Dalam menuntut ilmu, kebanyakan kita “kurang bersabar” terhadap sesuatu yang kita memang kurang pengetahuan tentangnya. Orang yang tidak sabar mungkin dia belum faham tentang sesuatu situasi yang dihadapinya atau mengetahui secara keseluruhannya. Kalau kita tahu pasti kita akan sabar kerana kita memahami situasi yang berlaku itu. Akan tetapi sekiranya kita kurang pengetahuan dan lebih-lebih lagi kurang pemahaman tentang sesuatu sudah semesttinya kita berasa tidak akan sabar. Perbezaan manusia dengan manusia yang lain dalam aspek pembelajaran ialah ”kesabaran Oleh itu, jelaslah bahawa pengetahuan seseorang itu sering mempengaruhi kesabaran seseorang.
Dalam menghadapi kehidupan seharian, kita dituntut supaya mempunyai cukup pengetahuan dan memahami sesuatu perkara atau isu yang berlaku di sekeliling kita agar kita dapat menilai dan membuat keputusan yang betul. Paling tidak pun kita tahu dan faham apa yang telah berlaku. Oleh yang demikian dalam sesuatu pembelajaran itu kita boleh menggunakan Alat Berfikir Logik Khidir (LOK). Begitulah tindakan yang tidak logik tetapi mempunyai justifikasinya. ABC 6: LOK ialah kita menerima tindakan yang tidak logik itu dengan mencari logik yang tersembunyi daripada tindakan tersebut. Oleh itu, kita mencari justifikasi atau kewajaran tindakan yang tidak logik atau peristiwa atau fenomena yang tidak logik itu. Guru-guru boleh menyediakan pernyataan yang tidak logik kemudian membuat provokasi dengan meletakkan LOK? pada akhir akhir pernyataan. Berikut ialah contoh aktiviti yang boleh dilaksanakan berdasarkan jadual pengurusan di bawah.
Jadual Pengurusan ABC 6: Logik Khidir (LOK) / Menerima yang tidak logik untuk mencari logik tersembunyi
Contoh lain:
Guru memberi situasi atau pernyataan seperti di bawah agar murid dapat memikirkan andaian yang bersifat justifikasi:
- Semua guru ialah guru perempuan. LOK?
- Kapal terbang terpaksa mendarat di atas gunung. LOK?
- Parkir kenderaan tidak disediakan lagi. LOK?
- Kereta tidak mempunyai tayar. LOK?
- Telefon tidak digunakan lagi. LOK?
- Perempuan sahaja yang bermain bola sepak. LOK?
Oleh itu, sabar itu bukan sahaja dikaitkan dengan ”kesabaran, pengetahuan dan pemahaman”, tetapi secara fitrahnya sabar dalam menghadapi halangan dan cabaran menuntut ilmu itu. Halangan itu mungkin berupa kerenah guru yang dalam bentuk provokasi (sengaja mencetuskan sesuatu tindakan untuk menguji dan membuat penilaian) terhadap sesuatu pembelajaran.
Pengetahuan tentang sesuatu adalah di luar batasan manusia
RAJAH: Tingkat Ilmu
Selain itu, ilmu juga mempunyai tingkat-tingkatnya yang tersendiri. Sebagai manusia dan hamba Allah, kita jangan berasa tingkat ilmu yang kita ada sudah mencapai yang tertinggi dan apatah lagi mendakwa yang kitalah orang yang tinggi ilmu. Hal ini kerana kita tahu ilmu pemberian Allah itu pada tahap mana. Pada tahap mana pun kita tidak tidaklah berasa angkuh tentang pemberian-Nya. Oleh itu, jika kita kurang pengetahuan, janganlah terlalu yakin atau bercakap besar tentang kemampuan diri.
Selain itu, seseorang murid itu tidak seharusnya mempertikaikan apa yang gurunya buat kerana di sebaliknya terselit PELAJARAN.
Peraturan atau syarat dalam pembelajaran
Merupakan elemen penting bagi memastikan hala tuju atau hasil pembelajaran yang ingin kita capai itu memenuhi standard yang dirancang oleh seseorang guru itu. Contohnya, syarat-syarat sebelum memulakan pelajaran atau dalam sesuatu permainan atau game kita boleh memberi syarat-syarat tertentu. Syarat tersebut tujuannya menyokong dan memenuhi hasil pembelajaran yang seseorang guru itu mahu dicapai oleh murid-murid. Kepatuhan kepada syarat juga merupakan aspek yang harus ditekankan. Mereka yang melanggar syarat akan disingkirkan. Contohnya di mana-mana IPTA ada menggariskan syarat-syarat tertentu bagi membolehkan mereka layak mempeoleh ijazah. Jika tidak seseorang itu boleh disingkirkan. Oleh itu, patuh terhadap syarat-syarat atau arahan yang diberikan menjadi perkara utama dalam menuntut ilmu. Oleh itu, yakinlah dengan seseorang guru itu dan janganlah berprasangka buruk dengan mereka.
Episod Nabi Musa dan Nabi Khidir berbicara tentang kesabaran diceritakan dalam ayat 67 –70 dalam Surah Al-Kahfi seperti di bawah ini.
Dia menjawab: “Sesungguhnya kamu sekali-kali tidak akan sanggup sabar bersamaku. (QS. 18:67)
Dan bagaimana kamu dapat sabar atas sesuatu, yang kamu belum mempunyai pengetahuan yang cukup tentang hal itu” (QS. 18:68)
Musa berkata: “Insya Allah kamu akan mendapatkanku sebagai seorang yang sabar, dan aku tidak akan menentangmu dalam sesuatu urusanpun”. (QS. 18:69)
Dia berkata: “Jika kamu mengikutiku, maka janganlah kamu menanyakan kepadaku tentang sesuatu apapun, sampai aku sendiri menerangkannya kepadamu”. (QS. 18:70)
Rajah: Peristiwa, sebab dan akibat
Setiap perkara yang berlaku di dunia ini ada SEBAB dan AKIBAT. Kebiasaannya kita menilai perkara yang berlaku itu sama ada baik atau tidak baik. Apabila baik, tentulah berpunca daripada kebaikan atau keburukan. Begitu juga dengan akibat yang diperoleh iaitu peristiwa yang berlaku itu membawa kesan atau akibat yang bagaimana? Ada ketika akibatnya tidak baik dan ada ketika akibatnya tidak baik. Peristiwa ialah ialah kejadian yang berlaku sama ada baik atau tidak baik. Punca ialah sebab peristiwa tersebut berlaku, manakala akibat ialah kesan berlakunya peristiwaa tersebut sama ada kesan yang positif atau kesan yang negatif.
Pembelajaran alam sekitar
Dalam konteks pembelajaran, menyediakan iklim pembelajaran di kawasan persekitaran yang semula jadi merupakan salah satu alternatif yang boleh dilakukan oleh seseorang guru itu. Contohnya, mendaki gunung, masuk di dalam hutan, berperahu di kawasan berjeram, berada di laut, berada di sebuah kota yang sibuk dan lain-lain. Di sinilah seseorang murid itu dapat menghayati alam semula jadi yang kaya dengan flora dan fauna ini. Hal ini akan menjadikan kita lebih menghayati alam semula jadi dan persekitaran kita.
Tidak semua orang mempunyai pengalaman yang sama untuk satu-satu peristiwa. Berperahu umpamanya hanya pernah dialami oleh orang-orang tertentu. Bagi yang tidak pernah mengalaminnya akan menjadi pengalaman baharu bagi mereka. Keadaan sebenarnya begini akan banyak memberi pengalaman kepada sesiapa sahaja. Malah apabila terdapat unsur-unsur dramatik dalam sesebuah pengalaman itu akan menjadi lebih bermakna lagi. Umpamanya, dikelilingi oleh buaya, melalui jeram yang tinggi dan bahaya, perahu yang bocor, atau karam di air. Semuanya itu ialah unsur dramatik. Dalam pembelajaran unsur dramatik sedemikian akan menjadikan kita lebih ingat dan belajar menghadapi kehidupan sebenarnya terutama dalam membuat keputusan dan menyelesaikan sesuatu persoalan itu.
Peristiwa yang penuh dengan dramatik ini terdapat dalam surah Al-Kahfi ayat 71 di bawah:
Maka berjalanlah keduanya, hingga tatkala keduanya menaiki perahu lalu Khidihr melobanginya. Musa berkata: “Mengapa kamu melobangi perahu itu yang akibatnya kamu menenggelamkan penumpangnya?” Sesungguhnya kamu telah berbuat kesalahan yang besar. (QS. 18:71)
Lagi Provokasi, dan hukuman dalam pendidikan
Provokasi samalah dengan test atau ujian. Kadang-kadang kita perlu menguji murid-murid kita dengan sesuatu tugasan yang diberikan. Kita kadang-kadang sengaja membuat provokasi terhadap murid-murid kita dengan bermaksud untuk menguji mereka ketika berhadapan dengan sesuatu situasi. Contohnya, sengaja menafikan kemampuan murid tentang keupayaan melaksanakan sesuatu tugasan juga satu bentuk provokasi. Dengan ini dapatlah kita membuat penilaian tentang keupayaan dan kebolehan sebenar murid itu ketika berhadapan dengan sesuatu situasi yang genting. Sekiranya murid itu mampu, maka beliau berjaya dengan ujian yang diberikan. Jika seseorang murid itu tidak mampu, seorang guru akan menunjukkan cara atau membimbing mereka tentang kelemahan atau daerah kepincangan mereka, yang sebenarnya mereka sendiri tidak menyedarinya sehinggalah pembelajaran tersebut berlaku. Belajar daripada kesilapan merupakan sebahagian daripada proses belajar. Ada ketika ilmu yang benar bermula dengan melakukan kesilapan memilih ilmu yang salah. Kesilapan bermakna menunjukkan jalan yang betul, agar tidak berada di jalan yang salah.
Selain itu, murid seharusnya mendapat hak untuk diberi peluang atas kesilapan yang mungkin berlaku ketika proses belajar terutama membaiki kesilapan yang telah dilakukan akibat kelemahan (kelupaan) mereka. Dalam proses pembelajaran ada ketika murid kita gagal dalam ujian yang telah ditetapkan iaitu dengan melanggar peraturan tetapi kita memberi peluang kepada mereka supaya tidak mengulangi kesilapan.
Nabi Musa menyedari bahawa beliau memang tidak sabar seperti yang diberitahu oleh Nabi Khidir awalnya apabila mula menegur Nabi Khidir yang cuba melubangi perahu, dan mulai faham bahawa tahap kesabarannya mula diuji. Beliau memohon agar dipertimbangkan agar dipermudah urusan menuntut ilmu tersebut.
Dia (Khidihr) berkata: “Bukankah aku telah berkata: “Sesungguhnya kamu sekali-kali tidak akan sabar bersama dengan aku” (QS. 18:72)
Musa berkata: “Janganlah kamu menghukum aku kerana kelupaanku dan janganlah kamu membebani aku dengan sesuatu kesulitan dalam urusanku”. (QS. 18:73)
Provokasi 2, menguji lagi keupayaan (kesabaran)
Salah satu tujuan provokasi ialah untuk melihat maklum balas pertama seseorang kerana pada masa itulah watak kita dapat dikenal pasti, tentang siapa diri kita. Membuat provokasi atau cabaran berikutnya adalah satu usaha untuk menguji seseorang murid itu semula. Provokasi berkali-kali adalah ujian untuk mengesahkan sesuatu yang hendak kita pastikan berhubung dengan sesuatu yang hendak kita ajar. Sesuatu ujian yang mungkin dirangka oleh guru mempunyai tujuan di sebaliknya.
Selain itu, dalam pendidikan, seseorang murid tidak seharusnya membuat tuduhan atau melabel sesuatu sedangkan kita belum menyiasat sebab musababnya. Seseorang guru ada sebab melakukan sesuatu walaupun tidak boleh diterima berdasarkan hukum alam. Setiap matlamat harus ada cabaran sehingga mencapai tahap tertinggi pada peringkat klimaksnya. Ada kala kita tujahkan dengan cabaran kedua bagi mempasakkan ujian berikutnya. Provokasi kedua sebenarnya menidakkan keupayaan murid iaitu rentetan dariapda peristiwa sebenar (bukan provokasi semata-mata) pertama sebelum ini.
Cerita Nabi Musa tentang unsur provokasi (peristiwa sebenarnya) jelas seperti ayat-ayat di bawah ini:
Maka berjalanlah keduanya; hingga tatkala keduanya berjumpa dengan seorang anak, maka Khidihr membunuhnya. Musa berkata: “Mengapa kamu bunuh jiwa yang bersih, bukan karena dia membunuh orang lain? Sesungguhnya kamu telah melakukan suatu yang mungkar”. (QS. 18:74)
Khidhr berkata: “Bukankah sudah kukatakan kepadamu, bahwa sesungguhnya kamu tidak akan dapat sabar bersamaku” (QS. 18:75)
Peluang kedua, Ikhlas dalam tindakan
Memberi peluang kepada murid untuk berubah merupakan aspek penting dalam pembelajaran. Peluang ialah satu perkara yang sangat penting dalam diri murid kerana peluang akan memberi ruang kepada mereka untuk membaiki kelemahan dan kesilapan yang telah dilakukan. Mereka akan membetulkan kesilapan itu dan sudah semestinya berharap tidak akan mengulanginya lagi. Hal ini lebih-lebih lagi murid yang merayu kepada guru untuk diberi peluang lagi untuk membetulkan kesilapannya. Sekiranya peluang yang diberikan itu telah mengubahkan tingkah laku yang tidak baik kepada yang lebih baik maka suatu pembelajaran yang bermakna telah berlaku.
Ketika peluang diberikan, suatu perjanjian sepatutnya dimeteraikan antara murid dan guru tentang ”peluang” yang diberikan tadi. Umpamanya guru menekankan dengan sejelas-jelasnya tentang peluang yang diberikan ini ialah yang terakhir. Sekiranya berlaku perlanggaran maka murid itu harus menerimanya sebagai mana yang diputuskan oleh guru dengan persetujuan murid tersebut jika murid tersebut bermaksud untuk memberi komitmen terhadap ”peluang” tersebut. Hal ini penting kerana penentuan hitam putih itu akan menentukan tindakan yang patut diambil yang semua orang telah akur tentang ”perjanjian peluang” ini.
Dalam peristiwa Nabi Musa berdialog dengan Nabi Khidir dalam surah Al-Kahfi ayat 76 menceritakan tentang maksud Nabi Musa untuk diberi peluang lagi kepadanya seperti ayat di bawah:
Musa berkata: “Jika aku bertanya kepadamu tentang sesuatu sesudah (kali) ini, maka janganlah kamu memperbolehkan aku menyertaimu, sesungguhnya kamu sudah cukup memberikan uzur kepadaku”. (QS. 18:76)
Masyarakat dan tanggungjawab sosial
Pembelajaran dalam masyarakat merupakan aspek yang perlu diberi pendedahan kepada murid tentang apa itu masyarakat dan bagaimanakah mereka berhadapan dengan masyarakat lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan sesuatu situasi atau krisis. Apabila kita berhadapan dengan masyarakat itu pentingnya kita melihat aspek tanggungjawab sosial. Tanggungjawab sosial digalas dalam diri kita apabila berhadapan dengan masyarakat tanpa memikirkan agenda dan tujuan peribadi untuk melakukan sesuatu untuk ahli-ahli dalam sesuatu masyarakat itu. Meskipun usaha seperti ini mempunyai banyak halangan dalam masyarakat yang tidak memberi sokongan tetapi apa sahaja kejahatan yang dilakukan kepada kita, kita sebagai warga dalam masyarakat hendaklah bersikap positif dan terus kepada hala tuju untuk memberi sumbangan dalam masyarakat. Suasana pembelajaran seperti ini sepatutnya didedahkan kepada murid tentang peranan mereka membantu masyarakat. Contohnya melakukan intership dalam sesebuah organisasi atau program keluarga angkat kepada mana-mana komuniti bagi membantu masyarakat dalam menghadapi cabaran yang berlaku setakat yang mampu dilakukan. Dengan ini, suasana pembelajaran itu sanga berguna apabila seseorang murid itu berhadapan dengan masyarakat yang sebenarnya. Oleh itu, dalam diri murid itu hendaklah disematkan niat membantu dalam sesebuah komuniti tanpa mengharapkan balasan kerana pekerjaan tersebut dilakukan dengan penuh keikhlasan.
Meskipun berhadapan dengan cabaran tetapi mereka tetap cekal dalam usaha merealisasikan tanggungjawab sosial seperti dalam Ayat 77, Surah Al-Kahfi di bawah ini:
Maka keduanya berjalan; hingga tatkala keduanya sampai kepada penduduk suatu negeri, mereka minta dijamu kepada penduduk negeri itu, tetapi penduduk negeri itu tidak mau menjamu mereka, kemudian keduanya mendapatkan dalam negeri itu dinding rumah yang hampir roboh, maka Khidhr menegakkan dinding itu. Musa berkata: “Jikalau kamu mau, niscaya kamu mengambil upah untuk itu”. (QS. 18:77)
Refleksi
Seperti mana yang telah dinyatakan dalam perkara awal lagi iaitu dalam pembelajaran umpamanya guru dan murid memeteraikan perjanjian tentang ”peluang”. Guru atau fasilitator kena bersihkan tanah-tanah yang berguguran di jalan oleh lori-lori tanpa membiarkannya sahaja. Sekiranya berlaku perlanggaran maka murid itu harus menerimanya sebagai mana yang diputuskan oleh guru dengan persetujuan murid tersebut jika murid tersebut bermaksud untuk memberi komitmen terhadap ”peluang” tersebut. Sekiranya perjanjian tersebut dilanggar maka penentusn hitam putih itu telah jelas. Selepas itu, guru perlu membuat refleksi tentang tindakan sepanjang pembelajaran mereka. Refleksi ialah melihat semula perjalanan pembelajaran dari awal dan akhir dan apakah unsur-unsur pembelajaran yang terdapat di dalamnya yang mungkin tidak dapat dikenal pasti itu. Sebaik-baiknya guru memberi bimbingan tentang refleksi yang dibuat agar murid-murid nampak dengan jelas unsur-unsur pembelajaran tersebut.
Tidak salah sabar kerana daripada kesabaran kita belajar banyak perkara. Dalam peristiwa perjalanan Nabi Musa Bersama-sama dengan Nabi Khidir telah berlaku tiga peristiwa penting yang menjadi unsur-unsur pembelajaran yang tidak dapat dilupakan iaitu peristiwa:
- Membocor perahu
- Membunuh seorang budak
- Mendirikan dinding sebuah rumah
Semua perkara di atas adalah tidak logik dilakukan oleh Nabi Khidir menurut perkiraan Nabi Musa dari segi logiknya. Semua perkara itu adalah untuk menguji kesabaran Nabi Musa sekali gus menjawab persoalan tentang ada lagi orang yang mempunyaai tingkat ilmu yang sangat tinggi hingga Allah anugerahkan kebolehan untuk melihat apa yang berlaku pada masa depan. Bayangkan sebelum hendak sampai ke daratan, Nabi Khidir membocorkan perahu yang ditumpangi oleh mereka sendiri. Apabila sampai ke daratan, Nabi Khidir tiba-tiba membunuh seorang budak iaitu jiwa yang tidak berdosa mengikut perkiraan Nabi Musa, dan yang terakhir sekali ialah mendirikan sebuah dinding sebuah rumah iaitu suatu pertempatan yang penduduk kampungnya tidak mahu membantu kedua-duanya untuk memberi makanan ketika mereka benar-benar berada dalam keadaan kelaparan. Walaupun pada asalnya Nabi Musa berjanji tidak akan menegur, mempertikai atau memberi komen tentang apa yang berlaku sepanjang perjalanan mereka, akhirnya kesabaran Nabi Musa tidak dapat dibendung. Semua dipertikaikannya sekali gus melanggar syarat. Sehingga perjalanan terakhir mereka Nabi Musa memberi maklum balas bahawa mereka sepatutnya dapat upah daripada tindakan membina dinding sebuah rumah. Akhirnya, benarlah kata Nabi Khidir bahawa Nabi Musa tidak akan sabar dengan apa yang berlaku ketika “proses menuntut” ilmu sebelum perjalanan mereka lagi.
Pada bahagian akhirnya, sebelum mereka berpisah, Nabi Khidir menjelaskan sebab-sebab tindakan itu iaitu yang pertama, sebab beliau membocorkan perahu tersebut kerana di hadapan mereka ada seorang raja yang zalim akan merampas setiap perahu. Dengan tindakannya itu, akan menyelamat pemilik perahu miskin yang bekerja dilaut daripada dirampas perahunya. Yang kedua pula, beliau membunuh budak itu kerana apabila anak muda (kafir), sedang kedua-duanya adalah mukmin, dikhuatiri kedua-duanya dipaksa kepada kesesatan dan kekafiran. Allah akan menggantikannya dengan anak lain yang lebih baik kesuciannya dan lebih sayang akan kedua-dua ibu bapanya. Peristiwa ketiga pula ialah perihal dinding rumah yang didirikan itu ialah milik anak yatim piatu di kota itu, dan di bawahnya tersimpan harta mereka berdua, sedangkan ayahnya seorang yang soleh. Allah menghendaki apabila sudah dewasa mereka berdua akan mengeluarkan simpanannya itu sebagai rahmat daripada-Nya.
Dalam konteks pembelajaran hari ini, guru harus membuat refleksi untuk ”menampakkan ilmu-limu yang diperoleh sepanjang perjalanan atau pengembaraan ilmu itu agar murid tahu, faham dan sedar akan hakikat ilmu yang hendak disampaikan. Dengan ini tidak akan wujud kekeliruan atau ada perkara yang murid itu belum faham. Ketika itu juga murid boleh meluahkan apa sahaja persoalan yang kurang jelas agar seseorang guru itu dapat menjelaskan sesuatu yang mungkin menjadi konfliks atau pertentangan dengan apa yang diterima oleh mereka sebelum ini.
Dalam Surah Al-Kahfi Ayat 78 mengandungi persetujuan, pecah kontrak dan refleksi tersebut:
Khidihr berkata: “Inilah perpisahan antara aku dengan kamu; Aku akan memberitahukan kepadamu tujuan perbuatan-perbuatan yang kamu tidak dapat sabar terhadapnya. (QS. 18:78)
Adapun bahtera itu kepunyaan orang-orang miskin yang bekerja di laut, dan aku bertujuan merusakkan bahtera itu, karena dihadapan mereka ada seorang raja yang merampas tiap-tiap bahtera. (QS. 18:79)
Dan adapun anak itu maka kedua orang tuanya adalah orang-orang mu’min, dan kami khuatir bahawa dia akan mendorong kedua orang tuanya itu kepada kesesatan dan kekafiran. (QS. 18:80)
Dan kami menghendaki, supaya Rabb mereka mengganti bagi mereka dengan anak lain yang lebih baik kesuciannya dari anak itu dan lebih dalam kasih gurungnya (kepada ibu bapaknya). (QS. 18:81)
Adapun dinding rumah itu adalah kepunyaan dua orang anak yatim di kota itu, dan di bawahnya ada harta benda simpanan bagi mereka berdua, sedang ayahnya adalah seorang yang saleh, maka Rabbmu menghendaki agar supaya mereka sampai kepada kedewasaannya dan mengeluarkan simpanan itu, sebagai rahmat dari Rabbmu; dan bukanlah aku melakukannya itu menurut kemauanku sendiri. Demikian itu adalah tujuan perbuatan-perbuatan yang kamu tidak dapat sabar terhadapnya”. (QS. 18:82)
Pengajaran-pengajaran lain
Peristiwa pembunuhan seorang budak dalam kisah perjalanan Nabi Musa itu menjadi satu pengajaran kepada tentang kemudaratan yang besar bakal berlaku dapat diselesaikan dengan merosakkan sesuatu yang kecil itu akan mencegah suatu musibah yang lebih besar akan berlaku. Atau dengan perkataan lain merosakkan yang kecil sebelum merosakkan sesuatu yang lebih besar. Begitu juga persoalan tentang musibah yang akan berlaku kepada perahu yang tidak dibocorkan itu. Pembocoran perahu itu akan menyelesaikan persoalan atau masalah yang bakal berlaku. Oleh itu, mencegah itu lebih baik daripada merawatinya. Selain itu, keburukan dilakukan bagi mmperoleh kebaikan. Di sebalik keburukan yang dilakukan, kebaikan di sebaliknya. Memudaratkan sedikit untuk mengelakkan daripada mudarat yang besar. Apabila sesuatu yang kurang baik berlaku terhadap kita, itu mungkin yang terbaik untuk kita. Setiap yang hilang ada gantinya. Bunuh untuk merawat. Bertindak meskipun perit. Anak boleh menzalimi orang tuanya, malah mengkufurkannya.
Ilmu tertinggi ialah mengetahui takdir seseorang dengan izin-Nya. Menjadi hak Allah untuk menganugerahkan ilmu itu kepada sesiapa sahaja kepada hamba yang dikehendaki olehnya. Sehubungan itu, keupayaan seperti ini memang ada untuk hambanya yang sangat dekat dengan-Nya. Oleh itu, tanpa ilmu dan pengetahuan yang ada, mana mungkin seseorang itu akan tahu atau meramal berlakunya sesuatu itu. Dalam konteks pembelajaran, justifikasi dalam tindakan itu sangat penting. Kebanyakan pelajar tidak sabar terhadap tindakan yang dilakukan oleh gurunya, sedangkan tindakan tersebut “ada tujuannya”. Ada ketikanya kita melakukan sesuatu tindakan yang tidak seharusnya dilakukan sedangkan tindakan itu mendatangkan kebaikan di sebaliknya. Ilmu laduni ialah anugerah Allah s.w.t. kepada hambanya. SGenerasi orang yang soleh akan dirahmati Allah.
Kesimpulan
Ilmu itu sumbernya daripada Allah s.w.t. Ilmu itu milik Allah. Semua ilmu yang hambanya miliki ialah anugerah daripada-Nya. Tinggi atau rendahnya ilmu itu diberikan kepada sesiapa sahaja hamba-hamba yang dikehendaki-Nya. Apabila orang-orang berilmu mendakwa bahawa mereka adalah kalangan orang yang paling berilmu, maka dakwaan seperti itu menunjukkan berlakunya fitnah ilmu yang menimpa dalam diri orang-orang berilmu, sedangkan ilmu itu hanyalah ”dipinjamkan” kepada kita sahaja sebelum ilmu itu ”diambil” setelah kita menemui-Nya. Ilmu yang dimiliki oleh seseorang itu tidak kekal kerana ada ketika ilmu itu ditarik ketika kita masih hidup ataupun hilang selepas kematian kita.
Ilmu yang Allah anugerahkan kepada kita bukan sahaja mengajar kita tentang benda-benda yang tidak kita kenal tetapi lebih jauh daripada yang kita sangka. Sehinggakan kita tidak akan berasa sabar dengan sesuatu kerana rendahnya ilmu kita itu. Ilmu laduni ialah anugerah tertinggi kepada hamba-hambanya yang terplih seperti Nabi Khidir sehingga diberi kelebihan mengetahui perkara yang akan berlaku malah berlaku juga dengan Nabi Yusuf apabila Allah mengajarnya tentang kebolehan mentaksir mimpi. Oleh itu, jika kita berasa kita orang berilmu, maka bersyukurlah apa yang ada kerana itu ialah anugerah Allah kepada diri kita. Gunakan ilmu itu untuk kesejahteraan ummah dan untuk kita berdakwah, dan mendekatkan diri kita kepada-Nya.
Sesuatu yang bukan milik kita dan bukan daripada-Nya, kita mendakwa kepunyaan kita, malah cuba pula mendakwa bahawa merekalah yang paling berilmu daripad orang lain. Tindakan seperti itu menunjukkan sikap bongkak kita tentang apa yang bukan milik kita. Ilmu itu milik Allah dan Dialah yang bertanggungjawab kepada siapa ilmu tersebut diberikan. Oleh itu, kita usahalah mendakwa bahawa kitalah orang yang lebih tahu dan berilmu sedangkan ilmu yang kita miliki daripada Yang Maha Kuasa.
Dengan adanya ilmu anugerah Allah kepada kita, barulah kita dapat ”memahami apa yang berlaku di dunia ini, dan semoga kita menjadi orang yang sentiasa bersyukur dan bersabar daripada apa yang kita tidak tahu.
*****