Rentak Kita

Sikap Jujur Pembentuk Keperibadian Unggul

Sikap Jujur Pembentuk Keperibadian Unggul

 

 

 

 

Oleh SITI HAZIRAH SAJIDAH BINTI ZAINAL

Pelajar PISMP Opsyen Bahasa Melayu

Ambilan Jun 2023

 

Berzikir hamba takkan penat,

Tunai ibadah di bumi keramat;

Jauhi sikap dusta dan khianat,

Sifat Integriti sentiasa disemat.

 

PANTUN di atas jelas memanifestasikan bahawa sifat integriti merupakan perkara dominan yang perlu ada dalam diri. Integriti yang ditunjangi sikap jujur mampu membentuk keperibadian unggul seseorang. “Integriti Demi Malaysia”

Satu baris ayat yang tampak hebat namun jika kita tidak memahami maksudnya, ayat tersebut hanya dirasakan biasa sahaja dan tidak memberi impak pada diri. Menurut Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka Edisi Keempat, integriti dapat didefinisikan sebagai kejujuran dan ketulusan. 

Sikap jujur merupakan domain utama dalam diri manusia untuk membentuk keperibadian diri yang unggul. Hal ini dikatakan sedemikian kerana, sikap jujur memandu hidup kita ke arah kemenjadian insan yang berjaya atau gagal. 

Bukan itu sahaja, negara yang dihuni rakyat bersikap jujur pasti dapat memacu banyak kejayaan kerana tidak berlaku sebarang konflik serta rakyat dapat hidup dengan aman. Integriti bukan sahaja diperlukan oleh diri malahan menjadi perkara dominan dalam penubuhan organisasi, kerjaya, tanggungjawab dan amanah yang diberikan. 

Persoalannya, sejauhmanakah rakyat Malaysia memahami elemen integriti dalam kehidupan?  Pelbagai topik berkaitan integriti mula menghantui kancah pemikiran saya. Oleh itu, integriti menjadi fokus dominan diskusi saya pada hujah yang seterusnya.

 

Gambar hiasan: Peranan guru di sekolah amat penting dalam memupuk nilai integriti dalam kalangan murid

Bagi memulakan tarian pena ini, saya akan menerangkan terlebih dahulu jenis-jenis integriti. Pertama, integriti individu. Integriti ini membawa maksud jujur kepada diri sendiri. Sikap jujur pada diri sendiri perlu dititikberatkan agar dapat membentuk keperibadian diri yang unggul meskipun tingkah laku kita tidak diperhatikan oleh sesiapa. 

Tamsilnya, seorang yang berintegriti tidak akan melanggar lampu isyarat merah ketika sedang memandu berseorangan di atas jalan raya. Integriti kedua ialah integriti sebagai penjawat awam. 

Seperti mana yang kita ketahui, majoriti rakyat Malaysia merupakan penjawat awam yang berkhidmat di sesebuah institusi kerajaan dan mewajibkan mereka untuk sentiasa berlaku jujur serta amanah dalam melaksanakan tugasan. 

Hal ini kerana, skop kerjaya mereka melibatkan maklumat sulit, pengurusan dokumen, pengendalian harta dan aset kerajaan yang tidak boleh didedahkan kepada sesiapa sahaja. 

Biar kita ambil contoh, seorang penggubal soalan peperiksaan tidak dibenarkan sama sekali untuk menghebahkan tajuk soalan yang akan dikeluarkan walaupun kepada ahli keluarga sendiri atau ditawarkan jutaan ringgit oleh individu tidak bermoral. 

 

RAJAH 1: Graf Statistik Tangkapan untuk Ogos 2023 (SPRM)

Memetik wasitah Nirmala seterusnya, integriti sebenarnya banyak dikaitkan dengan isu rasuah. Hal ini kerana, ketidakjujuran terhadap tanggungjawab dan amanah yang dipikul  menyebabkan banyak kes rasuah mula bertapak di Malaysia. 

Saya pasti kanak-kanak di bangku persekolahan rendah juga cakna bahawa rasuah merupakan satu jenayah serius dan akan dikenakan hukuman berat jika melakukannya. 

Sadisnya, golongan konglomerat yang berintelektual tinggi menjadikan pemberian rasuah sebagai satu jalan pintas untuk memenuhi keinginan mereka terutamanya dalam perlantikan sesuatu jawatan. 

Bukan itu sahaja, penerima rasuah juga hanya memandang enteng bahawa suapan tersebut bukanlah suatu jenayah berat tetapi hanya sekadar balasan terhadap tugas yang dilakukan. 

Jika kita lihat, rajah 1 di atas yang telah saya dapatkan dari laman sesawang rasmi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan peratusan statistik tangkapan rasuah bulan Ogos 2023 menunjukkan bahawa peratusan paling tinggi mengambil rasuah ialah penjawat awam. 

Lantas, di manakah janji serta ikrar yang dimeterai sebelum berkhidmat sebagai penjawat awam yang berintegriti serta efisyen dalam kerjaya?

Beralih kepada perspektif yang seterusnya, memang tidak dapat dinafikan bahawa isu rasuah di Malaysia merupakan suatu isu yang kronik. Namun, kita masih lagi mempunyai kesempatan untuk membanterasnya. Segala langkah yang optimum perlu ditelusuri terutamanya yang bermula daripada peringkat akar umbi. 

Ibu bapa dan para pendidik merupakan entiti penting dalam menerapkan elemen anti rasuah kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi sejajar dengan peribahasa melentur buluh biarlah daripada rebungnya. 

Peranan guru di sekolah untuk membanteras rasuah merupakan langkah yang paling efektif kerana anak-anak lebih banyak bergaul dengan rakan di sekolah. Hal ini menyebakan murid berkemungkinan tinggi untuk belajar memberi rasuah tanpa sedar kepada rakan-rakan. 

Analoginya, ketika pemilihan jawatan ketua kelas berdasarkan undian terbanyak. Guru-guru juga boleh melaksanakan minggu anti rasuah pada setiap bulan dengan mengadakan pelbagai aktiviti bagi menarik minat pelajar sekali gus menyemai rasa benci akan rasuah dalam diri mereka. 

Pada era mascapada ini, peranan daripada pihak media massa juga amatlah penting kerana platform ini dilihat mampu memberi impak yang positif jika digunakan secara optimum. Misalnya, stesen televisyen boleh menyiarkan dokumentari jenayah rasuah bermula daripada prosesnya sehingga hukuman dijatuhkan bagi menimbulkan rasa getar dalam diri penonton untuk sentiasa menjauhinya.

Jika ditinjau dari perspektif yang seterusnya, “Integriti Demi Malaysia” merupakan satu laungan atau seruan yang cukup memberi kesan kepada diri saya selaku anak muda. Hal ini dikatakan sedemikian kerana, sebagai pewaris nusa dan bangsa, saya yakin Malaysia mampu mengorak langkah menjadi negara yang bebas rasuah pada suatu hari nanti jika setiap rakyat beriltizam tinggi dalam membanterasnya. 

Selaku anak muda yang akan bergelar pendidik pada masa hadapan, saya akan memastikan kesemua anak didik saya membenci rasuah dan menjauhinya walaupun sekecil-kecil perkara. 

Bukan itu sahaja, bergelar seorang mahasiswa menjadikan saya berasa terpanggil untuk membanteras rasuah dengan menyertai kelab Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMAR) yang ditawarkan oleh institusi pengajian saya dalam aktiviti kokurikulum. 

Gambar Hiasan: "Selaku anak muda yang akan bergelar pendidik pada masa hadapan, saya akan memastikan kesemua anak didik saya membenci rasuah dan menjauhinya walaupun sekecil-kecil perkara" - Hazirah

Saya berharap penyertaan ini mampu memberi impak dalam menyemai rasa benci terhadap rasuah kepada mahasiswa yang lain di samping mengukuhkan lagi sifat integriti dalam diri saya. 

Bagi mengakhiri wacana ini, dapat saya simpulkan bahawa isu rasuah dapat ditangani jika setiap pihak tidak canggung dalam memainkan peranan mereka. 

Sinergi daripada semua entiti yang bertanggungjawab pasti akan membuahkan hasil walaupun dilihat tidak menyeluruh pada hari ini. “Integriti Demi Malaysia” perlu sentiasa disemat dalam hati agar sifat jujur tidak hilang berterbangan walaupun ditawarkan jutaan ringgit yang menjadi dambaan setiap manusiawi. 

Berpegang teguhlah kepada cogan kata SPRM, “Rasuah Dihina Maruah Dibina” yang mendefinisikan bahawa perbuatan menerima atau memberi suapan merupakan suatu tingkah laku yang mampu menjatuhkan maruah kita. 

Jadilah rakyat Malaysia yang bijak dengan menjauhi rasuah agar maruah kita sentiasa terbela selari dengan sifat integriti yang disemai. 

Saya juga ingin mengingatkan kepada para pembaca agar menjadi rakyat Malaysia yang tangkas dalam membanteras rasuah seperti segera melaporkan kejadian pemberian atau penerimaan suapan kepada pihak SPRM menerusi laman sesawang atau panggilan telefon. 

Saya akhiri coretan ini dengan kata-kata hikmah cendekiawan barat tersohor Professor Albert Enstein tentang integriti: “ Integriti tanpa ilmu pengetahuan adalah lemah dan tidak berguna, tetapi Ilmu pengetahuan tanpa integriti adalah berbahaya”. 

*****

 

GARAPAN MINDA

Kita mungkin tidak dapat mengubah dunia, tetapi kita dapat melahirkan generasi yang akan mengubah dunia. - muna

 

Disclaimer

Kami menyediakan bahan dan maklumat berdasarkan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman kami. Pengguna dinasihatkan untuk memilih dan menilai sendiri mana-mana maklumat yang sesuai dan autentik, serta memasukkan daripada sumber mana dipetik. Kami tidak bertanggungjawab atas kerosakan atau kemudaratan atau seumpama dengannya, yang berlaku akibat menggunakan bahan dan maklumat yang kami kongsikan. Semoga ilmu ini dapat dimanfaatkan bersama demi kemaslahatan sejagat.

Perkongsian

Pelawat

Hari Ini4
Semalam508
Minggu Ini2046
Bulan Ini3866
Jumlah Pelawat189843

Who Is Online

3
Online

2024-10-13