Rentak Kita

Portal Pradakaps IPGKRM dilancarkan oleh Dato’ Dr. Mohamad Rafie

Portal Pradakaps IPGKRM dilancarkan oleh Dato’ Dr. Mohamad Rafie

Oleh Muhaimi Suhaili

 

PORTAL Pusat Rujukan Peradaban dan Penyelidikan Ketamadunan Adat Perpatih Sedunia (Pradakaps) Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar (IPGKRM) telah dilancarkan dengan rasminya oleh Yang Berhormat Dato’ Dr. Mohamad Rafie bin Ab. Malek, Exco Kerajaan Negeri,  Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan sempena Majlis Perasmian Hari Terbuka Pusat Sumber (HTPS) 2023,  IPG Kampus Raja Melewar baru-baru ini.

Dalam ucapannya, beliau amat berharap agar semua pihak yang mempunyai hubung kait dengan pengamalan Adat Perpatih di semua luak di Negeri Sembilan dapat memberikan kerjasama sebaik mungkin khususnya kepada jawatankuasa penggerak Pradakaps dalam memberikan input, maklumat, bahan dan semua perkara yang berkaitan dengan Adat Perpatih.

 

Gambar: Galeri Paradakaps dibuka untuk kunjungan.

Menurut beliau, dengan wujudnya Pradakaps ini membolehkan semua pihak memperoleh informasi berkaitan dengan Adat Perpatih yang diamalkan di Negeri Sembilan sebagai rujukan dan tatapan generasi kini.

“Diharapkan Pradakaps akan dijadikan sebagai pusat rujukan dan penyelidikan supaya tidak lagi timbul salah faham daripada pihak luar yang kurang memahami konsep dan prinsip asas Adat Perpatih”, tambah beliau.

Portal yang dilancar itu merupakan salah satu daripada misi Pradakaps dalam menyediakan  prasarana secara digital dalam talian kepada pengguna selain menyediakan sumber maklumat yang berupa galeri pameran dalam memartabatkan warisan Adat Perpatih sehingga ke persada dunia.

Selepas pelancaran tersebut, Dr. Mohamad Raffie dibawa untuk melawat Pradakaps serta berkesempatan menyaksikan pameran alat-alat Adat Perpatih oleh 48 orang pelajar Persediaan Program Sarjana Muda Perguruan (PPISMP) Opsyen Bahasa Melayu yang  turut menerangkan cara-cara penghasilan peralatan tersebut kepada para pengunjung.

Sebanyak 20 alatan Adat Perpatih telah dipamerkan termasuklah Tilam Pandak, Kain Sampaian, Semorit (dua), Tabir Lelangit, Tepak Sirih (tiga) , Tepak Sirih, Destar, Tandu, Diograma Meminang, Bujam Epok Tali Bertindan, Permainan Sifut (dua), Lancang, Bunga Panco (tiga), Tikar Rompok dan Bujam.

Gambar: Galeri Pradakaps turut mempamerkan alat-alat warisan Adat Perpatih.

Selain itu, pelbagai aktiviti telah diadakan sempena HTPS 2023 seperti pameran oleh beberapa agensi, pameran oleh pihak sekolah, jualan buku dan makanan, Resensi Buku, Kuiz Terbuka, Pertandingan Open Stage, Ceramah Program Pemulihan Penjara, Deklamasi Sajak, Persembahan Pelajar, dan Tayangan Video Buku.

Gambar: Seminar Adat Perpatih "Menjulang Pradakaps Mewasilahkan Warisan" diadakan di Balai Ilmu, IPG Kampus Raja Melewar.

Terdahulu, Jabatan Pengajian Melayu, IPGKRM turut menganjurkan salah satu pengisian dalam HTPS 2023 iaitu Seminar Adat Perpatih anjuran Jabatan Pengajian Melayu IPG Kampus Raja Melewar yang melibatkan penganjuran oleh pelajar PPISMP Opsyen Bahasa Melayu, melalui kursus pendek yang dilaksanakan. 

Majlis tersebut telah dimulakan dengan ucap utama oleh Yang Berbahagia, Profesor Emeritus Datuk Dr. Zainal Kling, Mantan Penyandang, Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi Mara Shah Alam Selangor bertempat di Balai Ilmu, yang bertajuk “Menjulang Pradakaps, Mewasilahkan Warisan.”

Gambar: Yang Berbahagia, Profesor Emeritus Datuk Dr. Zainal Kling ketika menyampaikan Ucap Utama.

Seminar tersebut turut diserikan dengan persembahan Caklempong dan tayangan video TikTok serta persembahan “Terombo Adat Perpatih”, dan montaj tentang Pradakaps oleh para pelajar.

Selepas itu, satu Sesi Dialog telah diadakan yang melibatkan empat ahli panel yang dipengerusikan oleh moderator iaitu Encik Mohd Izan bin Haji Usop, Ketua Jabatan, Jabatan Pengajian Melayu, Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar.

Empat ahli panel tersebut ialah Yang Berbahagia, Profesor Emeritus Datuk Dr. Zainal Kling, Encik Mohamad Zaidi bin Ishak, Pengarah IPG Kampus Raja Melewar, Encik Asrul Effendi Kamaruzzaman,  Wakil Pengarah, Lembaga Muzium, Negeri Sembilan, Penolong Kurator Kanan Unit Muzium, Lembaga Muzium Negeri Sembilan, dan Dr. Abdul Karim bin Haji Mansor, Ketua Pusat,  Pusat Rujukan Peradaban dan Penyelidikan, Ketamadunan Adat Perpatih Sedunia (Pradakaps), Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar. 

Gambar: Sesi Dialog yang dipengerusikan oleh moderator iaitu Encik Mohd Izan bin Haji Usop, Ketua Jabatan, Jabatan Pengajian Melayu, IPG Kampus Raja Melewar.

Sesi Dialog tersebut turut dihadiri oleh YM Penghulu-penghulu Luak Tanah Mengandung, Dato’-dato’ Penyandang Pesaka Adat, dan Ibu-ibu Soko Luak Tanah Mengandung dan Adat Lingkungan Istana Besar Seri Menanti.

Berdasarkan pandangan dan dapatan daripada sesi perkongsian ilmu dan sesi dialog tersebut, sebanyak 12  Resolusi telah dicapai yang seterusnya dibentangkan oleh Yang Berusaha, Encik Mohamad Zaidi bin Ishak, Pengarah IPGKRM pada akhir seminar tersebut.

 Gambar: Yang Berusaha, Encik Mohamad Zaidi bin Ishak, Pengarah IPG Kampus Raja Melewar ketika membentangkan resolusi.

GARAPAN MINDA

Kita mungkin tidak dapat mengubah dunia, tetapi kita dapat melahirkan generasi yang akan mengubah dunia. - muna

 

Disclaimer

Kami menyediakan bahan dan maklumat berdasarkan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman kami. Pengguna dinasihatkan untuk memilih dan menilai sendiri mana-mana maklumat yang sesuai dan autentik, serta memasukkan daripada sumber mana dipetik. Kami tidak bertanggungjawab atas kerosakan atau kemudaratan atau seumpama dengannya, yang berlaku akibat menggunakan bahan dan maklumat yang kami kongsikan. Semoga ilmu ini dapat dimanfaatkan bersama demi kemaslahatan sejagat.

Perkongsian

Pelawat

Hari Ini175
Semalam280
Minggu Ini175
Bulan Ini7220
Jumlah Pelawat163821

Who Is Online

2
Online

2024-07-22