Oleh Muhaimi Suhaili, Nur Raihan Md Ariani, Nur Ain Faresha Abdul Haqq, & Nur Alifah Wardiah Syafie*
KAPASITI Pedagogi Pembelajaran Bermakna (KPPB) sudah memecut jauh ke hadapan seiring dengan gagasan negara dan aspirasi global.
Demikian dinyatakan oleh Dr. Mohd Nordin bin Abu Bakar, Pengarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Raja Melewar ketika majlis penutupan Showcase OPD-KPPB Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kluster VI hari ini.
Menurut beliau, sejak KPPB diperkenalkan, banyak cabaran yang dihadapi sebelum berada di landasan yang kukuh selepas penambahbaikan.

Gambar: Dr. Mohd Nordin bin Abu Bakar
“KPPB juga menurutnya telah mula bergerak dan bersifat dinamik dalam menangani perubahan serta tuntutan semasa setelah hampir sedekad dilaksanakan”, tambahnya.
Beliau turut mengucapkan rasa terima kasih dan syabas kepada enam IPG Kampus kerana berjaya menganjurkan Showcase OPD-KPPB, Kluster VI.
Harapan beliau seterusnya ialah berharap perkongsian yang diberikan oleh para pembentang akan menjadi pengalaman pembelajaran bersama, bukan sahaja kepada pembentang tetapi kepada semua peserta yang mengikuti.
Menurut beliau, IPGM segerak dengan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026 - 2035 yang menekankan Teras Strategi ke-2 iaitu mengoptimumkan potensi pelajar melalui pengalaman pembelajaran bermakna untuk menjadi warganegara global.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada pensyarah yang berjaya membawa pelajar hingga ke peringkat antarabangsa untuk mengalami pengalaman pembelajaran bermakna di arena yang sebenarnya.

Gambar: Majlis penutupan diakhiri dengan Lagu IPG
Beliau turut memberi penghargaan kepada semua Pengarah di keenam-enam IPG Kampus yang terlibat khususnya IPG Kampus Tengku Ampuan Afzan yang menjadi host kali ini.
Penghargaan tersebut juga diberikan kepada barisan Timbalan Pengarah, Ketua-ketua Jabatan, Jabatan Kecemerlangan Akademik, barisan Adiwira KPPB, Wirawan OPD-KPPB, Pemantau, Panel Penilai, Jawatankuasa Pelaksana, para pembentang, dan semua para peserta yang mengikuti sesi pembentangan showcase kali ini.
Sebanyak enam IPG Kampus terlibat dalam pembentangan tersebut iaitu IPG Kampus Tengku Ampuan Afzan, IPG Kampus Tèmenggung Ibrahim, IPG Kampus Ipoh, IPG Kampus Kota Bharu, IPG Kampus Raja Melewar dan IPG Kampus Datuk Razali Ismail.
IPG Kampus Tengku Ampuan Afzan menjadi tuan rumah dalam Showcase OPD-KPPB IPGM Kluster VI kali ini dengan dibantu oleh lima IPG kampus lain dalam satu penganjuran bersama.
Tema showcase kali ini ialah “Mengoptimumkan Potensi Pelajar Melalui Pembelajaran Bermakna”.

Gambar: Dr. Mohd Nordin bin Abu Bakar ketika sesi berfoto selepas menyempurnakan majlis penutupan
Sebelum itu, Showcase OPD-KPPB Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kluster VI telah dirasmikan pembukaannya oleh Dr. Abdul Rahman bin Abdullah, Pengarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tengku Ampuan Afzan.
Pada showcase kali ini, sebanyak sembilan kumpulan yang telah membuat pembentangan yang melibatkan kursus-kursus yang dilaksanakan pada sesi Ogos Disember 2025.
Pemantau bagi showcase ini ialah Dr. Abdul Hadi Mat Dawi (IPG Kampus Ipoh), manakala panel penilai ialah Encik Muhaimi bin Suhaili (IPGK Raja Melewar), Puan Zakia binti Setu (IPGK Tun Abdul Razak) dan Encik Mohamed Shahren bin Abdullah (IPGK Tun Hussein Onn).

Gambar: IPG Kampus Pendidikan Teknik ialah salah sebuah IPG rintis pelaksanaan KPPB di Malaysia
Beberapa Fakta Lain daripada Ucapan
- KPPB telah dimulakan pada tahun 2018 dengan pelaksanaan fasa pertamanya yang melibatkan tiga IPG Kampus sebagai projek rintis.
- Antara IPG rintis ialah IPG Kampus Pendidikan Teknik, IPG Kampus Ipoh dan IPG Kampus Pulau Pinang.
- Pada fasa kedua pula sebanyak 14 IPG Kampus mula melaksanakan KPPB dengan kursus-kursus yang ditawarkan bermula pada tahun 2019.
- Fasa ketiga pula, menjelang tahun 2020, 10 lagi IPG Kampus telah melaksanakan KPPB dalam kurikulum menjadikan seluruh 27 IPG Kampus di Malaysia melaksanakannya sepenuhnya.
- KPPB telah dilaksanakan sejak sembilan tahun.
- Penghasilan modul pembelajaran bersepadu oleh IPGM telah menyokong Kurikulum Persekolahan Tahun 2027.
- Saban semester semua IPG akan melaksanakan kurikulum dari peringkat perancangan, pelaksanaan sehinggalah ke peringkat showcase.
- Konsep interdisiplinary dalam kurikulum IPG telah dilaksanakan sejak tahun 2018.
*****
*Profil penulis: Muhaimi Suhaili ialah Pensyarah dari Jabatan Pengajian Melayu, IPG Kampus Raja Melewar; manakala Nur Raihan Md Ariani, Nur Ain Faresha Abdul Haqq, dan Nur Alifah Wardiah Syafie ialah Pelajar PISMP BMMB SSM Ambilan Ogos 2025-2029.
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
|
Muhaimi bin Suhaili |
Nur Raihan Md Ariani | Nur Ain Faresha Abdul Haqq | Nur Alifah Wardiah Syafie |



