"Pedagogi Kognitif-Langsung": Apabila Ilmu Menyentuh Neuron

"Pedagogi Kognitif-Langsung": Apabila Ilmu Menyentuh Neuron

Oleh Muhaimi Suhaili

PADA satu masa dahulu, manusia belajar dengan membaca, mendengar, menulis, dan mencuba. 

Proses itu memerlukan masa, iaitu kekadang berhari, berbulan, atau bertahun sebelum seseorang mampu memahami satu-satu bidang ilmu. 

Akan tetapi dalam dunia yang sedang berubah pantas, masa menjadi sumber yang semakin mahal. 

Manusia mula mencari jalan pintas ke arah pengetahuan mutlak. 

Mungkin daripada keinginan inilah muncul gagasan “Pedagogi Kognitif-Langsung” iaitu idea bahawa ilmu boleh dimuat naik terus ke otak, tanpa guru, tanpa buku, tanpa kelas.

Pada awal abad ke-21, para saintis sudah pun membina jambatan antara otak dan komputer. Mereka menamakan teknologi itu sebagai antara muka otak-komputer (BCI). 

Pada mulanya, cip itu dicipta untuk membantu pesakit lumpuh mengawal kerusi roda atau menaip dengan fikiran. Namun lama-kelamaan, teknologi yang dicipta atas dasar belas kasihan itu menjadi kunci kepada kebangkitan era pendidikan baharu.

Logiknya sederhana tetapi mendalam: Jika komputer boleh membaca isyarat otak manusia, mengapa ia tidak boleh menulis ke dalamnya juga?

Jika otak berfungsi melalui arus elektrik dan corak isyarat, bukankah secara teori kita boleh membina sistem yang meniru corak itu lalu “menyalinnya” ke dalam minda seseorang?

Dari sudut saintifik, ini bukan mustahil. 

Suatu ketika dahulu apabila karya sastera menceritakan manusia naik ke bulan, idea itu hanyalah angan-angan kosong sekadar memberi hiburan kepada pembaca, dan pasti fantasi meninggalkan logik.

Akan tetapi kini, orang sastera mencetuskan imaginasi, orang sains merealisasikannya.

Imaginasi dilogikkan.

Bagaimana dengan idea ini pula?

Manusia sudah boleh memetakan kawasan otak yang bertanggungjawab terhadap bahasa, memori dan pergerakan. 

Algoritma kecerdasan buatan kini mampu mengenal pasti corak neural dengan ketepatan tinggi. 

Gabungkan kedua-duanya, maka terbukalah kemungkinan: ilmu menjadi data, dan data menjadi kesedaran.

Bayangkan seorang pelajar pada masa depan yang ingin menguasai bahasa Jepun. 

Daripada mendaftar kursus selama tiga tahun, dia hanya perlu menyambungkan cip BCI peribadinya kepada NeuroCloud, memilih modul “Bahasa Jepun Tahap Mahir”, dan dalam masa beberapa minit, otaknya telah menyusun sambungan sinaps yang sama seperti penutur asli.

Dia boleh berfikir dan bermimpi dalam bahasa itu iaitu seolah-olah telah mempelajarinya sejak kecil.

Kemungkinan ini, walaupun kedengaran luar biasa, masih berada dalam ruang logik sains. 

Neuron beroperasi melalui pola aktiviti yang boleh diterjemahkan, dan komputer semakin hampir meniru cara otak membina makna. 

Apa yang belum dicapai hanyalah ketepatan dan keselamatan pemindahan data itu. 

Namun, jika teknologi terus berkembang secara eksponen seperti hari ini, jurang antara fikiran dan data akan semakin sempit.

Namun setiap kemajuan membawa dilema tersendiri.Jika ilmu boleh dipindahkan, adakah manusia masih perlu berfikir?

Jika pengalaman boleh dihasilkan secara digital, di manakah letaknya nilai proses pembelajaran?

Ada yang berhujah bahawa pembelajaran bukan sekadar mengetahui, tetapi menjadi. 

Hal ini bukan hanya tentang apa yang ada dalam otak, tetapi bagaimana otak itu belajar, gagal, mencuba, dan memahami makna di sebalik sesuatu. 

Akan tetapi mungkin juga pedagogi baharu ini tidak bertujuan memadamkan pengalaman, sebaliknya memperluaskannya.

Mungkin pelajar masa depan bukan lagi penerima ilmu, tetapi pengatur pengalaman neural, memilih jenis ilmu dan emosi yang ingin dirasai.

Dalam dunia itu, guru bukan lagi penyampai maklumat, tetapi jurutera kognitif iaitu pakar yang mereka bentuk “peta neural pembelajaran” bagi memastikan ilmu yang dimuat naik benar-benar berfungsi secara harmoni dengan keperibadian dan nilai pelajar.

Sekolah pula bukan lagi bangunan fizikal, tetapi ruang mental kolektif, tempat ribuan minda bersambung dan berkongsi idea secara langsung tanpa batas bahasa atau masa.

Adakah semua ini akan berlaku? Mungkin tidak dalam dekad terdekat tetapi tidak mustahil.

Jika pada zaman TV hitam putih dahulu, P. Ramlee dapat membuka pintu gua dengan menteranya, kini kita boleh menemui logiknya hari ini.

Malah anda boleh memasuki pintu Mall dengan mulutnya yang secara automatik terngaga hanya mengimbas pergerakan dan kelibat anda.

Kini, dengan peranti elektronik sensor yang boleh mengesan perubahan fizikal atau kimia dalam persekitaran, gimik membuka pintu gua dengan mentera dianggap satu lelucon.

Gambar hiasan janaan AI: Pada zaman sekarang, kita tidak perlu "mentera" untuk membuka pintu gua.

 

Akan tetapi berdasarkan logik, tiada apa yang menentang hukum fizik atau biologi dalam idea ini. 

Yang diperlukan hanyalah masa, etika, dan kehendak manusia untuk menyeimbangkan kuasa teknologi dengan kebijaksanaan.

Pada akhirnya, Pedagogi Kognitif-Langsung bukan sekadar fantasi saintifik. 

Idea ini ialah cerminan keinginan manusia yang paling ekstrem untuk memahami lebih cepat, lebih dalam, dan lebih sempurna dalam usaha meraih ilmu.

Potensi manusia memang tiada batasannya selagi ada hasrat dan imaginasi. INFINITI.

Ketika kita hidup pada zaman sekarang, merefleksi zaman permulaan yang lampau, dan membayangi zaman masa depan, tamadun pasti dapat dibina dengan keizinan-Nya.

Jika suatu hari nanti ilmu benar-benar dapat dimasukkan terus ke dalam neuron kita, maka barangkali, pada ketika itulah manusia percaya bahawa melangkau imaginasi bukannya kebetulan, tetapi ilham yang dicetuskan oleh Yang Maha Kuasa kepada kita sebagai insan yang paling genius, insan terpilih.

*****

Related Articles

GARAPAN MINDA

Kita mungkin tidak dapat mengubah dunia, tetapi kita dapat melahirkan generasi yang akan mengubah dunia. - muna

 

Disclaimer

Kami menyediakan bahan dan maklumat berdasarkan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman kami. Pengguna dinasihatkan untuk memilih dan menilai sendiri mana-mana maklumat yang sesuai dan autentik, serta memasukkan daripada sumber mana dipetik. Kami tidak bertanggungjawab atas kerosakan atau kemudaratan atau seumpama dengannya, yang berlaku akibat menggunakan bahan dan maklumat yang kami kongsikan. Semoga ilmu ini dapat dimanfaatkan bersama demi kemaslahatan sejagat.

Perkongsian

Pelawat

Hari Ini154
Semalam507
Minggu Ini1139
Bulan Ini1699
Jumlah Pelawat397258

Who Is Online

6
Online

2026-02-04