Rentak Kita

ANEKDOT: Song - Pembelajaran Berasaskan Pengalaman

  •  

Oleh Muhaimi Suhaili

 

SONG - pertama kali menjejak kaki ke sini.

Apalah yang dapat dikatakan selain melahirkan rasa keterujaan. Tempat baharu bagi saya, hanyalah biasa-biasa sahaja untuk masyarakat sekelilingnya, tetapi suatu PENGALAMAN BAHARU bagi yang baru bertandang ke sini.

Anda perlu ke Sibu untuk ke pekan Song. Dari Kuching ke Sibu, anda boleh menggunakan kapal terbang.

 

KONSEP PEMBELAJARAN BERASASKAN PENGALAMAN

Pembelajaran berasaskan pengalaman. Satu model pembelajaran yang baru saya nukilkan pada pengamatan saya untuk membantu pemahaman kita.  Bagaimanakah sesuatu pengalaman menjadi guru kepada kita?

Model pembelajaran berasaskan pengalaman adalah seperti rajah di bawah ini.

 

Berikut ialah beberapa konsep berdasarkan rajah di atas.

 

Hasrat Pembelajaran (HP)

Adakah wujud HP dalam pembelajaran berasaskan pengalaman?

HP memang wujud.

Wujud apabila dirancang.

Apabila seseorang akan memasang niat, atau berniat untuk melakukannya, maka HP terjelma.

HP juga ada yang tidak dirancang.

Kita tidak tahu perkara itu akan berlaku.

Oleh itu, HP tidak berlaku dan kita tidak mempunyai hasrat pembelajaran. Hal ini melibatkan perkara yang kita sendiri tidak jangkakan akan berlaku.

 

 

Hasil pembelajaran: Perjalanan ke Song memang dirancang bagi memperoleh pengalaman.

 

Bagaimana kedua-duanya beroperasi?

Adanya rangsangan dan kita bertindak berdasarkan rangsangan tersebut.

Cara kedua-duanya beroperasi adalah sama. Rangsangan itu ialah kejadian atau "pengalaman" yang telah kita kenal pasti itu.

HP dirancang: Aku hendak mengembara ke negara Pakistan untuk mengetahui kehidupan masyarakat luar bandarnya di sana. Tahun depan aku pergi (HP memang dirancang untuk mencari pengalaman tentang melakukan eksplorasi sendiri.

HP tidak dirancang: Ketika balik dari pasar raya menuju ke kereta, seorang ayah dengan anak lelakinya mendapati bahawa anak perempuannya tertidur di dalam kereta yang terkunci dari dalam.

Apabila dipanggil dari luar, anak perempuan itu tidak memberi sebarang reaksi. Si ayah mula berasa panik.

Keadaan lebih genting lagi apabila beberapa kali dipanggil, tetapi si anak perempuannya langsung tidak memberi sebarang reaksi.

Orang ramai mula berhimpun di kawasan kereta tersebut untuk mengetahui perkara yang berlaku apabila jeritan si bapa mengundang perhatian orang di sekellingnya.

Si bapa masih lagi terjerit-jerit sambil menepuk pintu kereta dengan kuat agar anaknya tersedar. Akan tetapi si anak perempuannya masih tidak memberi reaksi apa-apa.

Seorang daripada orang ramai yang berkumpul di situ cuba membantu dengan "mengoncang-goncangkan" kereta tetapi tidak berhasil juga.

Si bapa masih tidak berputus asa dengan memanggil nama anaknya dengan kuat sambil tangannya menepuk cermin.

Selepas beberapa kali percubaaan si bapa, akhirnya anak perempuannya membuka mata dan mula sedar. Dia seperti kebingungan apabila memerhati ramai orang berada di sekitar kereta mereka.

Si anak membuka kunci dari dalam dan akhirnya si ayah berjaya juga mendapatkan anaknya.

Semua orang yang berada di situ bertepuk tangan kegembiraan.

Anaknya memberitahu bahawa dia tertidur tadi.

Dalam situasi ini, HP memang tidak dirancang, tetapi semua yang berada di kawasan tersebut belajar banyak pengalaman masing-masing berdasarkan pengetahuan dan kemahiran sedia ada masing-masing, apatah lagi si ayah, anak lelakinya, dan anak perempuannya. 

Rangsangan mula terbit apabila "anak tertidur di dalam kereta, dengan kereta yang terkunci dari dalam". Orang sekeliling juga belajar daripada pengalaman sebenarnya yang berlaku sedangkan HPnya tidak dirancang pun oleh si bapa atau sesiapa yang berada di situ bagi memperoleh SUATU PENGALAMAN.

  

Rangsangan

Rangsangan - situasi, kejadian, fenomena, isu, masalah dan lain-lain yang ditakdirkan untuk disuakan kepada kita ketika itu. Ransangan ialah "real", benar-benar berlaku! Berlaku dalam dunia yang sebenarnya. Bukan dunia dalam filem.

Rangsangan mungkin bersifat ekstrem atau biasa-biasa sahaja malah hadir seperti biasanya air yang mengalir perlahan di muara.

Itulah pengalaman yang kita hadapi dalam dunia yang sebenarnya.

Sedar atau tidak, itulah hakikat.

 

Penaakulan

Penaakulan ialah suatu aktiviti berfikir.

Secara semula jadi atau secara fitrahnya, apabila seseorang tersua dengan rangsangan, mereka akan berfikir.

Menaakul ialah aktiviti berfikir secara semula jadi.

Apabila seekor anjing menyalak dan mula mengejar anda, sudah terfikir untuk anda menyelamatkan diri dengan apa cara sekali pun. Kita mungkin memikirkan untuk lari sahaja. Itulah tindak balas yang ada dalam minda kita.

Standard berfikir secara semula jadi, bukanlah aktiviti yang berlaku secara sistematik seperti paling tidak berfikir "sebab dan akibat". Hal ini ialah kerana kebiasaan yang menjadi amalan. Hingga sesuatu rangsangan berlaku, kita malas nak berfikir, apatah lagi membiasa diri berfikir secara sistematik.

Proses menaakul ialah kemahiran yang boleh ditingkatkan dengan cara berfikir dengan lebih mendalam.

Walaupun secara fitrahnya otak kita akan bertindak dengan rangsangan, tetapi malangnya kita "malas" menstrukturkannya untuk berfikir secara terancang.

Menaakul ialah satu proses untuk mencari titik kefahaman.

Antara proses menaakul ialah memahami. Perbuatan memahami sesuatu itu melibatkan proses pemahaman.

Pemahaman ini mengandungi tiga peringkat iaitu pemahaman belajar, pemahaman tinggi dan pemahaman mendalam.

Proses penaakulan telah berlaku apabila seseorang itu bertindak balas dengan persekitaran dengan melihat sesuatu rangsangan itu kepada SEBAB dan AKIBAT. Di sinilah sekurang-kurangnya proses penaakulan telah berlaku.

Penaakulan melibatkan tindak balas seseorang terhadap persekitaran yang dialaminya. Di sinilah proses pemahaman belajar, pemahaman tinggi dan pemahaman mendalam akan berlaku.

 

Bagaimana pengalaman terhasil?

Pengalaman terhasil apabila berlakunya pertembungan antara pengetahuan dan kemahiran yang sedia ada pada murid dengan situasi, rangsangan atau kejadian yang diperoleh sama ada secara terancang atau tidak dirancang berlaku.

Dengan perkataan lain, pengetahuan dan kemahiran yang tekah dipelajari atau sedia ada - dengan pengalaman sebenarnya (berdasarkan rangsangan) yang berlaku - diadaptasi dan seterusnya kita dapat membina pembelajaran sebenarnya dalam konteks yang baharu.

Dalam situasi rangsangan yang bersifat masalah ini, pengalaman akan menjadi lebih bermakna apabila isu tersebut cuba diselesaikan dan membuat keputusan sebelum bertindak. Meskipun hasrat pembelajaran tidak tercapai tetapi seseorang itu telah belajar daripada pengalaman tersebut melalui proses pembelajaran.

 

Penaakulan: Proses ini memang berlaku apabila kita dihidangkan dengan persekitaran seperti ini sebagai rangsangan. Bot-bot panjang seperti masih relevan dan amat diperlukan untuk mengakses kawasan-kawasan di pedalaman Song.

 

ANALISIS PERJALANAN BERDASARKAN MODEL PEMBELAJARAN BERASASKAN PENGALAMAN

A. Pengetahuan & Kemahiran yang telah dipelajari dan sedia ada (pernyataan yang berdasarkan pengetahuan dan andaian awal)

1. Song ialah kawasan yang jauh di pedalaman.

2. Seseorang perlu menggunakan ekspres atau bot panjang untuk sampai ke Song.

3. Kebanyakan penduduk yang tinggal di Song berbangsa Iban.

4. Tidak ada orang Melayu yang tinggal di Song.

5. Capaian internet di Song kurang memuaskan.

6. Belum ada jalan darat untuk sampai ke Song melainkan jalan sawit atau ladang.

7. Tiada kedai makan orang Melayu di Song.

8. Tiada penempatan orang Melayu di pekan Song.

9. Kebanyakan kawasan pedalaman di Song agak sukar diakses.

Bagaimanakah capaian internet di pekan Song?

 

B. Pengalaman sebenarnya yang berlaku

1. Song tidaklah jauh seperti yang disangka. Akan tetapi kalau di pedalaman Song seseorang perlu akses dengan bot panjang juga. Kalau pekan Song dapat sampai sehingga dua jam perjalanan dari Sibu, dikira pekan Song tidaklah jauh.

2. Sekarang pekan Song dapat diakses dengan menggunakan bas, dan jalannya berturap. Cuma beberapa tempat sahaja masih belum berturap kerana kerja-kerja penyelenggaraan sedang dijalankan. Kira-kira 97% berturap. Jalan air ke pekan Song seperti tidak popular lagi sejak jalan darat telah digunakan pada tahun ini.

3. Kebanyakan masyarakat yang mendiami Song ialah yang berbangsa Iban. Di kawasan pekan Song mungkin kita beranggapan dengan perkara yang sama, tetapi sebenarnya ada satu pertempatan Melayu di pekan Song yang dikenali sebagai Kampung Gelam dan juga Kampung Baru Gelam (kedua-duanya merujuk pertempatan yang sama cuma lokasi pemisahannya menyebabkan ada dua nama. Kesimpulannya, ada orang Melayu yang mendiami pekan Song, malah yang berbangsa Cina sangat ramai yang bekerja sebagai peniaga.

4. Capaian internet di pekan Song baik. Gangguan hanya berlaku ketika cuaca kurang baik atau ketika bekalan elektrik terputus. Bagaimanapun, menggunakan lebih daripada satu rangkaian internet akan membantu seseorang ketika sebarang gangguan berlaku terutama kalangan murid atau pelajar yang belajar secara dalam talian sebagai pelan B.

5. Sebenarnya, kedai makan Melayu banyak yang ada di pekan Song ini sama ada di pekannya atau di kampung, yang beroperasi siang dan malam.

 

 Kedai makan Melayu banyak yang ada di pekan Song ini sama ada di pekannya atau di kampung, beroperasi siang dan malam.

 

C. Mengadaptasi dan membina pembelajaran dalam konteks yang baharu

1. Masyarakat luar bandar berhak mendapat kemudahan yang sepatutunya seperti mana yang dikecapi oleh masyarakat lain.

2. Asimilasi boleh berlaku di Song seperti orang Melayu boleh bertutur bahasa Iban, dan orang Iban boleh bertutur bahasa Melayu Sarawak.

3. Orang Melayu dari pekan Song, ada kalangannya merupakan penghijrah dari luar kawasan Song.

4. Penghijrah berbangsa Melayu dari luar kawasan Song mewujudkan penempatan Melayu di pekan Song seperti di Kampung Gelam/Kampung Baru.

5. Penempatan penduduk Song ialah di tepi-tepi sungai.

6. Pengangkutan sungai telah mempengaruhi penempatan masyarakat Song di kawasan tepi-tepi sungai.

7. Masalah sosial dan kes-kes jenayah tiadalah ketara.

8. Kemudahan bas yang baru dibuka pada awal tahun ini menunjukkan bahawa era kemajuan Song dan kemudahan mudah akses dapat dikecapi.

9. Kemudahan bas dari Sibu ke pekan Song telah menyebabkan terminal ekspresnya kurang berfungsi untuk beroperasi.

 

Adakah kemudahan bas dari Sibu ke pekan Song telah menyebabkan terminal penumpang Song menjadi lengang? 

 

Gambaran suasana pekan Song di sebelah malam. Pemandangan ini diambil dari sebuah gerai ketika penulis berada di meja makan.

 

Catatan: 

Garapan ini hanyalah pengamatan secara peribadi dan mungkin tidak mewakili keadaan sebenarnya.

 

GARAPAN MINDA

Kita mungkin tidak dapat mengubah dunia, tetapi kita dapat melahirkan generasi yang akan mengubah dunia. - muna

 

Disclaimer

Kami menyediakan bahan dan maklumat berdasarkan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman kami. Pengguna dinasihatkan untuk memilih dan menilai sendiri mana-mana maklumat yang sesuai dan autentik, serta memasukkan daripada sumber mana dipetik. Kami tidak bertanggungjawab atas kerosakan atau kemudaratan atau seumpama dengannya, yang berlaku akibat menggunakan bahan dan maklumat yang kami kongsikan. Semoga ilmu ini dapat dimanfaatkan bersama demi kemaslahatan sejagat.

Perkongsian

Pelawat

Hari Ini7
Semalam508
Minggu Ini2049
Bulan Ini3869
Jumlah Pelawat189846

Who Is Online

3
Online

2024-10-13