Rentak Kita

Kejayaan Hak Semua Orang

  

Oleh Muhaimi Suhaili

BERJAYA dalam hidup, itulah impian setiap manusia.

Seorang budak miskin di Afghanistan yang hidup di sebalik rumah tanah liat mungkin mengimpikan sinaran baharu dalam hidup mereka tetapi layakkah mereka merealisasikannya?

Adakah seorang anak miskin yang tinggal di kawasan pedalaman Samarahan berhak mencipta kejayaan?

Atau seorang lelaki pertengahan usia yang bekerja sebagai pengedar akhbar di pejabat kerajaan dianggap tidak boleh maju dalam hidup dan itulah pekerjaan seumur hidupnya.

Percayalah, setiap manusia yang hidup di dunia ini berhak mencipta kejayaaan mengikut perspektif masing-masing.

Hakikatnya, manusia melihat kejayaan seseorang dalam hidup diukur daripada kepintaran akademik.

Hasilnya, mereka yang kurang pintar dari segi akademik dan tercicir dalam pelajaran dianggap tidak mempunyai masa depan atau bernasib malang.

Betulkah begitu?

Edmund Hillary, manusia pertama yang sampai ke puncak Gunung Everest mempunyai cerita yang tersendiri. Ketika belajar di sebuah University di Auckland, beliau tidak pernah lulus walaupun satu kertas yang diambilnya.

Edmund Hillary (Sumber Imej: mpora.com)

Akan tetapi, siapakah manusia di dunia ini yang dapat menandingi kehebatan semangat dan ketinggian daya juang yang bukan calang-calang orangnya.

Dalam usia 80-an itu beliau tetap diingati sebagai manusia yang terhebat. Beliau yang menceritakan titik-titik kegagalan pada usia lampau itu melalui ucap utama dalam sebuah seminar antarabangsa berkata: Adakah saya seorang yang berjaya? Sejurus selepas itu, tepukan yang gemuruh bertalu-talu menghujani beliau.

Thomas Alva Edison (1847 - 1931), budak yang tercicir dalam pelajarannya, sehingga akhir hayatnya telah menghasilkan beribu-ribu ciptaan.

Pada zaman persekolahannya, beliau digambarkan sebagai budak comot, mudah diserang kuman penyakit dan selalu salah apabila mengeja perkataan.

Guru-guru menganggap belaiu sebagai bodoh dan lembab. Beliau tidak suka menulis dan menghafal. Guru-gurunya membencinya kerana selalu bertanya soalan yang bodoh.

Thomas Edison (Sumber Imej: liberaldictionary.com)

Perbuatan pelik yang dilakukannya ialah menetaskan telur-telur ayam dengan duduk di bawahnya, selain pernah membakar rumah sendiri semata-mata ingin melihat apa yang akan terjadi dan kesudahannya.

Itulah Thomas Edison pada waktu zaman kanak-kanaknya ialah kumpulan pelajar yang "lembab', tetapi apabila dewasa menjadi salah seorang manusia yang paling kreatif di dunia.

Bill Gates, pengasas Microsoft - walaupun genius tetapi mengambil keputusan untuk tidak menamatkan pengajian ketika belajar di University Harvard.

Kegagalannya, mungkin sesuatu yang buruk baginya, tetapi beliau yang selekeh dan "gagal" itulah muncul sebagai salah seorang manusia yang paling berjaya di dunia ini.

Kini dalam keadaan ekonomi yang mula sakit, Bill Gates masih mendahului senarai orang yang paling kaya di dunia dengan aset kekayaan yang berbillion ringgit. 

Itulah hakikat: hanya seorang rakyat Amerika ini, pendapatannya mampu mengatasi pendapatan sebuah negara dunia ketiga dari segi pendapatan perkapita.

 

Bill Gates (Sumber Imej: businessinsider.com)

Senarailah sebanyak mungkin yang kita ketahui tentang orang-orang yang hebat ini.

Ada kalangan yang tidak menyerlah akademiknya atau gagal dalam pengajian, bukan bermakna mereka tidak boleh berjaya, malah mencipta kejayaan yang sangat hebat.

Dengan perkataan lain, kejayaan seseorang bukan sahaja diukur dari aspek akademik sahaja, tetapi kita perlu melihat aspek-aspek lain, atau kelebihan lain, atau kepintaran lain yang kurang kita beri perhatian atau tidak kita sedari.

Inilah dikatakan sebagai keunikan manusia ciptaan Yang Maha Kuasa. Dengan kata kunci, setiap manusia berhak mencipta kejayaan jika mereka mahu.

Artikel ini, bukanlah menidakkan kepentingan akademik kerana tetap dianggap penting dan menjadi kayu pengukur tentang hala tuju seseorang itu sama ada pergi ke satu bidang iktisas atau bidang kemahiran.

Akan tetapi kumpulan yang tersisih dan terkandas dalam akademik bukan bermakna mereka menghadapi hukuman masyarakat sebagai orang yang lemah dan tidak berupaya.

Oleh itu, jika kita tahu kecenderungan dan bakat seseorang, maka menjadi tanggungjawab kita sebagai ahli dalam masyarakat menggilap dan mencungkil bakat mereka.

Dalam perjalanan menuju kejayaan, kegagalan hendaklah menjadi dorongan mencapai kecemerlangan.

Bill Gates pernah berkata bahawa sekalian manusia hanya melihat kejayaan besar yang diperolehnya, tetapi mereka tidak melihat banyak kegagalan di sebalik kejayaannya itu.

Dengan itu, untuk berjaya, kita hendaklah berani menghadapi kegagalan kerana hakikatnya orang berjaya tanpa kegagalan sebenarnya orang itu belum pernah mencuba untuk berusaha dalam hidupnya.

Ingatlah, kejayaan boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja di dunia ini jika mereka mahu.

Kejayaan itu hanyalah dilakukan oleh orang biasa, tetapi dengan usaha yang luar biasa.

Lihatlah masyarakat kita terutama para pelajar yang melaungkan kejayaan yang besar, tetapi usaha mereka tidak setanding dengan "suara" mereka.

Apapun, dalam melihat siri kejayaan yang pelik ini, ramai pengkaji mula menyelidik tentang potensi diri manusia itu yang ada kaitannya dengan kepintaran luar biasa manusia.

Howard Gardner (Sumber Imej: howardgardner.com)

Howard Gardner, seorang tokoh penting dalam bidang penyelidikan berkaitan dengan kepintaran manusia ini, mengenal pasti terdapat lapan kepintaran jenis kepintaran yang ada dalam diri manusia itu.

Kelapan-lapan jenis kepintaran ini sebenarnya telah ada dalam diri manusia itu.

Setiap manusia ada memiliki mana-mana kepintaran itu, menjadikan manusia itu unik dan berbeza mengikut kemahiran yang telah dianugerahkan oleh Yang Maha Kuasa.

Kelapan-lapan kepintaran itu ialah verbal lingusitik, logik matematik, visual ruang, kinestetik, muzik, intrapersonal, interpersonal dan naturalis.

Sumber imej: smarter-lives.com

Oleh sebab itulah, kita baru faham mengapa ada yang boleh mengubah bunga, pelamin dan ada yang tidak boleh melakukannya.

Ada yang bagus ilmu pengiraannya, dan ada pula yang paling benci mata pelajaran Matematik di sekolah.

Ada orang yang boleh bercakap di khalayak ramai dengan yakinnya, dan ada pula gugup dan tiada daya penarik langsung. Hal ini, tidak termasuk yang ada yang berbakat dalam penulisan. Ada seseorang itu boleh menghasilkan 10 novel dalam setahun, dan ada pula seseorang yang langsung tak dapat menghasilkan walau sebuah novel sekalipun, meski diberi masa selama 10 tahun!

Ada yang suka menanam bunga, dan ada pula di rumahnya, langsung tiada pasu bunga.

Begitu juga ada yang boleh bermain bola sepak, menari dan lain-lain yang melibatkan fizikal, dan ada juga yang langsung tak tahu melibatkan aktiviti fizikal, malah ramai yang kaki bangku.Yang pandai pun, sekadar main-main sahaja.

Begitu juga dengan bakat menyanyi, mencipta lagu, berlakon dan lain-lain aktiviti seni. Ada yang berbakat besar dan ada langsung macam kayu apabila berlakon.

Ada yang "mesra" masyarakat, ada pula yang tidak.

Ada orang memerlukan orang lain untuk memotivasikan dirinya, tetapi ada pula seseorang itu boleh menginspirasikan diri sendiri tanpa perlu kehadiran orang lain.

Berbeza bukan?

Hari ini, ukuran kepintaran ialah kebolehan akademik yang sering dikaitkan dengan kepintaran dengan kepintaran logik matematik dan verbal linguistik.

Mereka yang mempunyai kepintaran ini dikatakan pandai dan bijak.

Pandanga sedemikian sebenarnya kurang tepat.

Sebenarnya, dalam diri setiap manusia Tuhan telah menganugerahkan kelebihan (kepintaran) dan kebijaksanaan yang tersendiri.

Mungkin kepintaran antara seorang dengan seorang yang lain tidak sama, atau mungkin sama.

Berdasarkan penemuan oleh Howard Gardner dengan lapan kepintaran ini telah membuktikan bahawa setiap manusia mempunyai kekuatan masing-masing.

Kekuatan dan kelebihan yang ada pada mereka membolehkan wawasan dan cita-cita untuk dicapai.

Seorang peguam misalnya, perlu memiliki kepintaran verbal linguistik, logik matematik dan intrapersonal yang baik. Jika dia tidak memiliki bakat menyanyi katakan, walau macam mana cara untuk menjadikan dia penyanyi, sebenarnya tidak akan berlaku. 

Oleh itu, jika kita tahu kekuatan kita dan yakin dapat melakukannya berdasarkan keupayaan dan kelebihan yang diberikan oleh Tuhan, maknanya kita berada di landasan yang betul. Kita hanya perlu gilap dan berusaha mencapai tahap kemahiran yang sewajarnya.

 

Sumber Imej: quora.com

Kalau dilihat dalam analogi gambar di atas, jelas menunjukkan bahawa setiap seorang mempunyai kelebihan masing-masing. Kita tidak sepatutnya membuat penilaian secara tidak adil dengan menetapkan satu kriteria yang hanya dapat dilakukan oleh seseorang sahaja. 

Begitulah juga dalam pendidikan. Kita tidak boleh menetapkan bahawa kriteria "pandai" sahaja yang menjadi petunjuk kejayaan seseorang sedangkan masing-masing mempunyai kelebihan dan bakat masing-masing. Oleh itu, penilaian sepatutnya mengambil kira semua kriteria jika mahu berlaku adil.

Itulah sebabnya, kita lihat, ada orang yang berjaya bukan kerana akademiknya. Datuk Loh Boon Siew umpamanya seorang yang tidak memiliki pendidikan formal.

 

Datuk Loh Boon Siew (Imej Foto: aluminasi.com)

Pada usia 12 tahun, dari China dia bersama-sama lima orang kawan-kawan berhijrah ke Pulau Pinang. Ketika itu dia mula menimba pengetahuan dan kemahiran melalui pekerjaan sebagai mekanik. Beliau juga pernah mengambil upah 10 sen untuk membersih sebuah kenderaan.

Lihatlah, orang yang buta huruf ini, telah berjaya membawa kepakaran motosikal Honda ke Malaysia, mampu menggajikan beribu-ribu pekerja, malah golongan profesional yang berpendidikan tinggi dan "pandai" itu.

Sehingga saat kematiannya, beliau masih tidak dapat menulis dan membaca, tetapi dia dianugerahkan kepintaran bijak ruang dan amat arif mengenal komponen dalam bidang kejuruteraan.

Keadaan yang sama juga berlaku kepada seorang pencipta kereta pertama di dunia iaitu Henry Ford. Dia bukanlah genius dari akademiknya tetapi kepintaran luar biasanya telah digilap sepenuhnya.

Henry Ford pada tahun 1888 (ketika berusia 25 tahun) (Sumber Foto: Wikipedia)

Usman Awang, Sasterawan Negara, pada lewat usianya telah dianugerahkan pengiktifan yang tertinggi dalam bidang kesusasteraan di negara kita. Walaupun dia tidak memasuki sekolah menengah, tetapi karya, teks, tulisan dan idea-idea beliau tetap mengalir di sekolah menengah dan menjadi kajian para pelajar, mahasiswa, para ilmuwan dan aktivis sastera di seluruh negara.

 

Usman Awang (Sumber foto: yayasanusmanawang.my)

Kebolehan dan kepintaran verbal linguistiknya telah menyebabkan beliau dianugerahkan Doktor Kehormat dari Universiti Malaya, Kuala Lumpur sepanjang kerjayanya sebagai penulis.

Pendek kata, manusia mempunyai kelebihan atau kemahiran masing-masing jika mereka sanggup menggilap dan bekerja keras.

Bakat dan potensi yang ada pada mereka harus dikembangkan untuk menjadi manusia yang luar biasa.

Dengan perkataan lain, konsep keadialan untuk setiap insan yang berjaya di dunia ini jelas.

Sekali lagi ditegaskan, kejayaan menjadi hak semua orang. 

Lihat diri kita - apa potensi kita - dan kembangkan! Semuanya tidak akan menjadi "mukjizat" jika kita tidak bertindak!

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

GARAPAN MINDA

Kita mungkin tidak dapat mengubah dunia, tetapi kita dapat melahirkan generasi yang akan mengubah dunia. - muna

 

Disclaimer

Kami menyediakan bahan dan maklumat berdasarkan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman kami. Pengguna dinasihatkan untuk memilih dan menilai sendiri mana-mana maklumat yang sesuai dan autentik, serta memasukkan daripada sumber mana dipetik. Kami tidak bertanggungjawab atas kerosakan atau kemudaratan atau seumpama dengannya, yang berlaku akibat menggunakan bahan dan maklumat yang kami kongsikan. Semoga ilmu ini dapat dimanfaatkan bersama demi kemaslahatan sejagat.

Perkongsian

Pelawat

Hari Ini8
Semalam888
Minggu Ini2460
Bulan Ini6101
Jumlah Pelawat211344

Who Is Online

13
Online

2024-12-13