Rentak Kita

Rumah Rembau Dinobatkan Juara Sempena KOT IPGM Kampus Raja Melewar 2024

Rumah Rembau Dinobatkan Juara Sempena KOT IPGM Kampus Raja Melewar 2024

Oleh Muhaimi Suhaili

Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

RUMAH Undang Rembau telah dinobatkan sebagai juara selepas mengetepikan rumah Undang Jelebu ke tempat kedua sekali gus meranapkan impian rumah tersebut untuk mencipta hatrik sempena Kejohanan Olahraga Tahunan (KOT) Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Raja Melewar 2024 hari ini bertempat di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Seremban, Negeri Sembilan.

Gambar: Rumah Undang Rembau, daripada tempat keempat KOT 2023, kini memintas menjadi juara!

Rumah sukan Undang Sungai Ujung dan rumah Undang Johol pula masing-masing menduduki tempat yang ketiga dan keempat.

Pada KOT IPGM Kampus Raja Melewar (KRM) bagi tahun 2022 dan 2023, rumah Jelebu telah menjadi juara berturut-turut, manakala rumah Undang Rembau ditempat keempat pada KOT 2023.

Majlis perasmian KOT IPGMKRM tahun ini telah disempurnakan oleh Encik Mohamad Zaidi bin Ishak, Pengarah IPGM Kampus Raja Melewar.

Gambar: Encik Mohamad Zaidi bin Ishak, Pengarah IPGM Kampus Raja Melewar, berdiri di platform ketika menerima lintas hormat.

Dalam ucapan pembukaannya, beliau merakamkan ucapan tahniah kepada para peserta yang telah menunjukkan bakat mereka dalam menyertai pelbagai acara serta dalam kalangan para pensyarah, staf dan para pelajar yang turut bersama-sama menjayakan sukan tahunan kali ini.

Menurut beliau, acara seperti ini dapat memberi peluang kepada semua guru pelatih untuk mengenali antara satu sama lain agar dapat bekerjasama dengan baik pada masa akan datang dalam apa sahaja keadaan selain dapat mencungkil bakat terpendam dalam bidang sukan.

“Acara sukan merupakan wadah yang disediakan oleh IPGMKRM bagi mendokong matlamat IPGM untuk melahirkan siswa siswi guru yang sentiasa cergas, cekap, aktif dan berdaya saing”, katanya.

Gambar: Melalui sukan, dapat melahirkan siswa siswi yang cergas, aktif dan berdaya saing.

Menurut beliau, aktiviti seperti ini dapat membentuk masyarakat Malaysia yang cerdas dan produktif serta dapat menerapkan nilai-nilai murni dalam menghadapi cabaran pada masa akan datang.

“Anda patut berasa bangga dengan penyertaan ini kerana dapat menyumbangkan tenaga dan komitmen yang tinggi ke arah kecemerlangan IPGMKRM”, tambahnya.

Gambar: Aktiviti dalam kejohanan sukan dapat menyumbangkan tenaga dan komitmen yang tinggi ke arah kecemerlangan IPGMKRM.

Majlis yang dikendalikan oleh saudara Abdul Basir binti Mohamad (Opsyen Bimbingan dan Kaunseling) saudari Nursyazana binti Ismail (Opsyen Bahasa Melayu) selaku juruacara itu telah dimulakan dengan bacaan doa oleh saudara Mohd Iqram bin Niza Rudin.

KOT kali ini telah berlangsung selama empat hari.

Pada hari pertama, kedua dan ketiga, kejohanan ini diadakan di padang sukan IPGM kampus Raja Melewar manakala hari terakhir diadakan di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Seremban.

Gambar: KOT 2024 turut diadakan di Padang IPGMKRM pada hari pertama, kedua dan ketiga.

Majlis perasmian pembukaan tersebut telah dimulakan dengan perbarisan dan lintas hormat oleh kontijen-kontijen yang terlibat.

Upacara tersebut didahului dengan perbarisan pembawa bendera kejohanan oleh lima orang pegawai bendera kejohanan diketuai oleh saudara Fedrick Usia.

Seterusnya diikuti oleh lintas hormat oleh unit beruniform yang terdiri daripada Pasukan Pengakap KLM 14, Pandu Puteri Kadet, Kadet Remaja Sekolah, Pergerakan Pandu Puteri Islam, Bulan Sabit Merah dan Anggota Pertahanan Awam Malaysia.

Gambar: Perbarisan oleh Pergerakan Pandu Puteri Islam

Acara perbarisan dan lintas hormat diteruskan pula dengan kontijen rumah-rumah sukan.

Dalam kejohanan kali ini, rumah sukan diberi kebebasan untuk membentuk konsep sendiri  sebagai tema berdasarkan ikon yang dipilih mewakili aspirasi masing-masing.

Konsep-konsep ini hendaklah diperagakan melalui perhiasan rumah sukan dan dimanifestasikan melalui acara lintas hormat.

Lintas hormat rumah sukan telah dimulakan dengan rumah sukan Luak Jelebu dengan ikon pilihan iaitu Air Asia dengan kekuatan kontijen seramai 34 orang diketuai oleh saudari Eizatty binti Norazni dengan konsep warna merah yang menyala.

Gambar: Rumah Undang Jelebu ketika memberi lintas hormat.

Seterusnya ialah kontijen rumah sukan Luak Johol yang menjadikan warna hijau sebagai warna rasmi dengan kekuatan ahli seramai 28 orang dengan ikon pilihan pada tahun ini iaitu Plant Vs Zombie yang diketuai oleh saudara Muhammad Afiq Firdaus bin Jaafar.

Gambar: Rumah Undang Johol ketika beraksi dalam acara lintas hormat

Rumah seterusnya ialah kontijen rumah sukan Luak Rembau dengan kekuatan seramai 26 orang ahli dengan ikon Zus Coffee yang diketuai oleh Mohd Harith Danial bin Asri yang berkonsepkan warna biru.

 

Gambar: Rumah Undang Rembau membawa konsep ikon Zus Coffee

Rumah kontijen yang berikutnya pula rumah sukan Luak Sungai Ujong yang diketuai oleh saudara Ahmad Irsyadudin bin Khairuddin dengan ikon pilihan Clash of Clan, bersama-sama kekuatan ahli seramai 25 orang dengan berkonsepkan warna kuning terang.

 

Gambar: Rumah Undang Sungai Ujong sedang beraksi.

Pada majlis tersebut, Kelab Gimrama IPGKRM turut membuat persembahan.

 

Gambar: Ahli Kelab Gimrama IPGMKRM sedang membuat persembahan

Majlis perasmian pembukaan turut diserikan dengan kehadiran En. Mohd Khadri bin Fazil Rahman, Timbalan Pengarah IPGM Kampus Raja Melewar, Tuan Haji Abdul Halim bin Md Salleh, Ketua Jabatan Pendidikan Jasmani,  Kesihatan dan Kokurikulum selaku host utama penganjuran kejohanan sukan, Ketua-ketua Jabatan dan Ketua-ketua Unit.

Kejohanan ini berlangsung bertujuan untuk menggalakkan dan memberi peluang kepada semua atlet dalam kalangan pelajar mempamerkan bakat dan kebolehan masing-masing melalui kejohanan sukan  ini.

Gambar: Wajah siswa siswi guru pelatih rumah Jelebu ketika praKOT - hasrat untuk mempamerkan bakat dan kebolehan masing-masing.

Selain itu, diharapkan kejohanan ini dapat menyemai semangat kesukanan yang tinggi dalam kalangan pelajar, berdaya saing secara sihat dan dapat melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek sejajar dengan hasrat Falsafah Pendidikan Negara  bagi melahirkan modal insan yang juga merupakan bakal pewaris kepimpinan negara pada masa akan datang.

Majlis penutupan pula disempurnakan oleh En. Mohd Khadri bin Fazil Rahman, Timbalan Pengarah IPGM Kampus Raja Melewar.

Gambar: En. Mohd Khadri bin Fazil Rahman, Timbalan Pengarah IPGM Kampus Raja Melewar ketika menyempurnakan majlis penyampaian hadiah.

Dalam ucapan penutupannya, beliau merakamkan setinggi-tinggi tahniah atas penglibatan semua pihak dalam menjayakan kejohanan sukan tahunan kali ini yang melibatkan semua warga IPGMKRM.

Beliau juga menganggap bahawa kejohanan olahraga kali ini sangat berjaya dan berpuas hati dengan penganjurannya.

“Melalui KOT ini, kita berharap akan muncul atlet berkaliber yang akan mewakili IPGMKRM dan dapat menempatkan diri antara empat yang terbaik dalam kalangan 27 IPGM kampus seluruh Malaysia”, tegasnya.

 

Rakaman peristiwa

Berikut ialah rakaman foto peristiwa KOT 2024 IPGM Kampus Raja Melewar.

 

 

****

GARAPAN MINDA

Kita mungkin tidak dapat mengubah dunia, tetapi kita dapat melahirkan generasi yang akan mengubah dunia. - muna

 

Disclaimer

Kami menyediakan bahan dan maklumat berdasarkan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman kami. Pengguna dinasihatkan untuk memilih dan menilai sendiri mana-mana maklumat yang sesuai dan autentik, serta memasukkan daripada sumber mana dipetik. Kami tidak bertanggungjawab atas kerosakan atau kemudaratan atau seumpama dengannya, yang berlaku akibat menggunakan bahan dan maklumat yang kami kongsikan. Semoga ilmu ini dapat dimanfaatkan bersama demi kemaslahatan sejagat.

Perkongsian

Pelawat

Hari Ini15
Semalam297
Minggu Ini1321
Bulan Ini2059
Jumlah Pelawat197788

Who Is Online

2
Online

2024-11-08