
Oleh Muhaimi Suhaili
ANDA tentu tidak percaya kalau dikatakan bahawa kita dapat menurunkan berat badan 2.6 kilogram sehari ketika menjalani ibadah berpuasa.
Benarkah begitu?
Untuk mengetahuinya, anda baca artikel di bawah ini.
Mukadimah
Berpuasa pada bulan Ramadan mempunyai banyak faedah dari segi rohani, kesihatan fizikal, emosi dan sosial. Amalan ini bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi satu latihan menyeluruh untuk membentuk manusia yang lebih seimbang.
Ramadan ialah masa untuk meningkatkan ibadah seperti solat, membaca al-Quran dan berdoa. Dengan menahan diri daripada makan, minum dan perkara yang dilarang, seseorang belajar mengawal nafsu dan mendisiplinkan diri. Hal ini membina ketakwaan, iaitu kesedaran bahawa Tuhan sentiasa melihat setiap perbuatan kita.
Apabila dilakukan dengan pemakanan yang seimbang, puasa boleh memberi beberapa kesan positif kepada tubuh seperti memberi masa rehat kepada sistem pencernaan, membantu mengawal berat badan, meningkatkan kepekaan tubuh terhadap penggunaan tenaga. Ramai juga mendapati mereka menjadi lebih peka terhadap pemakanan sihat selepas berpuasa.
Bagi yang obesiti, bulan Ramadan sering kali datang dengan janji manis bahawa penurunan berat badan boleh berlaku.
Itu mungkin teori dan andaian semata-mata, tetapi adakah berpuasa sahaja benar-benar mampu menurunkan berat badan.
Pengalaman peserta kajian membuktikan sebaliknya.

Gambar: Ilustrasi hiasan iaitu seorang wanita sedang berjoging di sebuah tasik
Latar belakang peserta kajian
Peserta kajian ialah lelaki dan bukanlah kategori obesiti.
Berlari atau berjoging menjadi amalan aktiviti beriadah sejak sekian lama.
Body Mass Index (BMI) dalam kategori Normal.
Peserta kajian sentiasa mengekalkan berat badan lebih kurang 60 kilogram.
Peserta kajian melakukan rutin aktiviti berjoging di sebelah petang atau pagi. Kebanyakan petang, malah ada pada sebelah malam.
Jarak larian ketika berlari pada satu-satu hari ialah sekitar 8 kilometer hingga 13 kilometer sehari bergantung kepada masa, cuaca dan faktor kelapangan.
Lokasi Kebanyakan lokasi larian adalah dalam bentuk muka bumi yang mendatar.
Purata jumlah larian seminggu ialah empat hingga enam hari.
Tempoh larian sekitar 45 minit hinggalah satu jam 30 minit bergantung kepada jarak.

Gambar: Taman Tasik Seremban sebagai lokasi berjoging
Maklumat Prosedur kajian
Kajian: Reka bentuk kajian kes pemerhatian (observational case study)
Tempoh: 4 Mac hingga 30 Mac 2025
Bulan: Ramadan ketika melaksanakan ibadah berpuasa
Kaedah mengumpul data: Alat penimbang digital
Catatan: Jadual Log Harian untuk memantau tarikh, catatan berat, dan status aktiviti fizikal
Data yang direkod: Berat badan selepas sahur sebagai berat asas dan berat badan sebelum berbuka sebagai berat akhir harian. Perbezaan berat bersih dihitung secara harian untuk melihat impak langsung aktiviti fizikal.
Aktiviti berjoging: Fasa 1 (Aktiviti Rawak), Fasa 2 (Fasa Intensif), dan Fasa 3 (Fasa Tiada Aktiviti)
Jarak larian: 10 hingga 13 kilometer
Tempoh masa: 45 hingga 1 jam 15 minit
Lokasi: Taman Tasik Seremban (Pusingan lilitan besar)
Bentuk geografi: Permukaan rata
Jumlah pengambilan makanan: Lebih kurang sama setiap hari berbuka dan bersahur.

Gambar: Eksperimen dimulakan dengan catatan 60.0 kg
Titik mula
Segalanya bermula pada 4 Mac 2025. Selepas sahur pagi, peserta kajian berdiri di atas penimbang dengan perasaan biasa sahaja. Angka yang muncul ialah 60.0 kilogram (kg). Peserta kajian mencatat angka itu dengan tenang, tanpa menjangkakan bahawa aktiviti ini akan menjadi titik permulaan kepada satu eksperimen.
Fasa 1 (Aktiviti Rawak)
Apa yang dilakukan oleh peserta kajian ialah melakukan satu rutin yang sama. Selepas bersahur, peserta kajian menimbang berat badan. Menjelang waktu berbuka, peserta kajian menimbangnya sekali lagi. Dua angka setiap hari. Itulah cara peserta kajian menjejak perubahan berat badan tubuh sepanjang bulan puasa tersebut.
Hari-hari awal Ramadan berjalan seperti biasa. Berat badan turun sedikit, kemudian naik semula. Pada 5 Mac, angka pada penimbang menunjukkan 59.2 kg, dan peserta kajian sempat berasa sedikit gembira. Namun kegembiraan itu tidak bertahan lama kerana pada 6 Mac, berat badan kembali meningkat kepada 59.8 kg.
Ketika itu peserta kajian mula menyedari sesuatu. "Berpuasa sahaja tidak cukup untuk menurunkan berat badan". Tubuh manusia sangat pandai menyesuaikan diri.
Akhirnya peserta kajian ingin pula melihat perubahan berat badan dengan memenuhi masa petang dengan berjoging sebelum berbuka.
Pada 10 Mac, peserta kajian keluar berjoging buat kali pertama dalam eksperimen ini. Petang itu, udara masih hangat dan sedikit letih kerana sudah seharian berpuasa.
Apabila peserta kajian menimbang berat badan sebelum berbuka pada hari itu, peserta kajian agak terkejut.
Berat peserta kajian turun daripada 59.4 kg kepada 58.1 kg.
Dalam satu hari sahaja, perbezaannya 1.3 kg.
Peserta kajian mula sedar bahawa tubuh peserta kajian sebenarnya mampu berubah dengan cepat apabila diberi rangsangan yang betul.

Gambar hiasan: Seorang lelaki keletihan selepas menamatkan larian
Fasa 2 (Fasa Intensif)
Beberapa hari selepas itu, peserta kajian meningkatkan kekerapan berjoging. Antara 17 hingga 21 Mac, peserta kajian berjoging hampir setiap hari. Setiap petang sebelum waktu berbuka, peserta kajian keluar ke lokasi yang sama. Langkah peserta kajian semakin panjang, dan walaupun keletihan tetap terasa, peserta kajian mula menikmati irama larian tersebut.
Namun pengalaman yang paling mengejutkan berlaku pada 17 Mac.
Selepas sahur pagi itu, berat badan peserta kajian direkodkan pada 59.1 kg. Petang itu peserta kajian melakukan sesi berjoging yang agak lebih intensif daripada biasa. Peluh mengalir lebih banyak, dan nafas terasa lebih berat daripada sebelumnya.
Apabila peserta kajian menimbang berat badan sebelum berbuka, peserta kajian benar-benar terdiam seketika.
Penimbang menunjukkan 56.5 kg.
Peserta kajian mengira semula angka tersebut beberapa kali. Perbezaannya ialah 2.6 kilogram dalam satu hari.
Saat itu peserta kajian benar-benar merasakan betapa kuatnya kesan aktiviti fizikal terhadap berat badan peserta kajian, terutamanya ketika berpuasa.
Hari-hari berikutnya terus memperlihatkan perubahan yang menarik. Pada 18 Mac, berat badan peserta kajian turun daripada 58.0 kg kepada 55.5 kg. Pada 20 Mac, ia berubah daripada 57.1 kg kepada 55.0 kg. Setiap kali selesai berjoging, peserta kajian seolah-olah merasakan tubuh menjadi sedikit lebih ringan daripada hari sebelumnya.
Menjelang minggu terakhir Ramadan, peserta kajian mula melihat perubahan yang sangat ketara.
Pada 26 Mac 2025, sebelum berbuka, penimbang menunjukkan angka yang membuatkan peserta kajian tersenyum sendiri.
Catatan: 54.0 kg.

Gambar: Klimaks catatan pada angka 54.0kg
Daripada 60.0 kg pada awal bulan, berat badan peserta kajian telah berkurang hampir 6 kg. Perasaan ketika itu sukar digambarkan—bukan sekadar gembira, tetapi juga kagum dengan keupayaan tubuh manusia apabila disiplin dan usaha digabungkan.
Fasa 3 (Fasa Tiada Aktiviti)
Namun eksperimen ini juga memberi peserta kajian satu pengajaran yang penting.
Pada hari-hari terakhir bulan Mac, peserta kajian memutuskan untuk berhenti berjoging. Tiada lagi rutin berlari sebelum berbuka. Peserta kajian ingin melihat apa yang akan berlaku kepada berat badan peserta kajian tanpa rangsangan tersebut.
Jawapannya muncul dengan cepat.
Perlahan-lahan, angka pada penimbang mula meningkat semula. Pada 30 Mac, berat badan selepas sahur menunjukkan 58.0 kilogram.
Ketika itu peserta kajian benar-benar memahami sesuatu yang sering disebut oleh pakar sains sukan sebagai kesan rebound. Apabila aktiviti fizikal dihentikan secara tiba-tiba, tubuh cenderung kembali kepada keadaan sebelumnya.
Refleksi
Eksperimen kecil sepanjang Mac 2025 ini akhirnya meninggalkan kesan yang mendalam kepada peserta kajian.
Berpuasa memang membantu mengawal pengambilan makanan.
Namun dalam pengalaman peserta kajian sendiri, "perubahan sebenar berlaku apabila tubuh mula bergerak".
Setiap langkah berjoging sebelum waktu berbuka bukan sekadar senaman. Berjoging menjadi simbol disiplin, kesabaran, dan usaha yang konsisten.
Apabila membuat refleksi sendiri, peserta kajian sedar satu perkara yang sangat sederhana tetapi sangat bermakna: perubahan besar berat badan sepanjang Ramadan itu sebenarnya bermula dengan sesuatu yang sangat kecil iaitu "keputusan untuk keluar berjoging pada satu petang yang biasa".
Dapatan ini hanyalah berfokus kepada seorang peserta kajian dengan latar belakang yang telah dinyatakan. Setiap orang mempunyai latar belakang yang berbeza seperti spesifikasi yang dinyatakan. Dapatan ini tidak mewakili populasi sebenarnya tetapi mungkin dapat menjadi inspirasi kepada anda untuk mencuba pada bulan puasa atau hari-hari biasa yang lain.
*****