Portfolio

Prakata Buku Apabila Dron Mendarat Di Dalam Bilik Darjah

Prakata Buku Apabila Dron Mendarat Di Dalam Bilik Darjah

SAYA kira, inilah wacana terakhir sebelum kerja-kerja pencetakan dilaksanakan. Usaha-usaha ke arah penerbitan warkah kecil ini hampir-hampir tidak dapat direalisasikan, namun berkat kesabaran dan usaha gigih daripada pasukan PISMP Opsyen Bahasa Melayu GSTT ini, akhirnya membuahkan kejayaan.

Apabila Dron Mendarat Di Dalam Bilik Darjah - Eksplorasi Bahasa Dan Inovasi, Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Bahasa Melayu merupakan satu naskhah yang mengungkap aspek pedagogi di dalam bilik darjah berdasarkan pengalaman penulis melaksanakan pengajaran dan pembelajaran. Untuk buku kali ini, saya akan fokus kepada aspek inovasi dan kreativiti di dalam bilik darjah, Saya berharap hasil tangan pertama ini, akan menjadi permulaan untuk menerbitkan tema-tema lain berkaitan dengan transformasi pedagogi di dalam bilik darjah sesuai dengan tuntutan sekarang seperti yang termaktub dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 - 2025.

Di dalam buku ini juga penulis antara lain mengaplikasikan kemahiran pembelajaran abad ke-21 iaitu menerapkan empat unsur komunikasi, kolaboratif, pemikiran kritis, dan pemikiran kreatif, malah melengkapkan 5 Standard Asas PAK21 seperti yang termaktub dalam aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia. Penulis dapat katakan bahawa unsur-unsur ini menjadi tonggak penyampaian dalam buku ini - kreativiti, kritis, kolaboratif dan komunikasi (4K). Ketika aktiviti dilaksanakan “unsur nilai murni dan etika” diberi penekanan khusus terutama dalam “proses” melaksanakannya. Hal ini melengkapkan 5 Standard Asas PAK21 yang disebut tadi. Dalam keluarga Bersama Merealisasikan Impian (BMI) ini sahaja ikatan antara ahli menunjukkan usaha kolaboratif yang mantap telah dijalinkan. Misi menghasilkan warkah ini sahaja memerlukan usaha yang gigih bagi menentukan kejayaan yang dicapai. Di sinilah nilai murni dan etika diterapkan. Selain itu, produk yang dihasilkan adalah melalui pembentangan dan interaksi dalam kumpulan kecil mahupun dalam kumpulan skala besar. Proses yang berlaku ini memerlukan komunikasi antara mereka, juga bersama-sama pensyarah. Selain itu, penghasilkan produk inovasi juga memerlukan idea-idea kreatif dan kritis. Pelajar-pelajar sentiasa menganalisis dan menilai produk mereka dalam usaha memerah otak untuk mencipta idea yang berbeza.

Berikut ialah tinjauan ringkas tentang profil buku ini dibahagikan dalam bentuk tinjauan dron dan digarapkan secara bertema. Bahagian pertama buku ini ialah melalui Tinjauan Dron 1: Pembinaan Kumpulan. Penulis menampilkan tema pertama buku ini iaitu tentang kepentingan pembinaan ahli-ahli dalam sesebuah kumpulan. Melalui tinjauan ini, penulis antara lain memperkatakan kepentingan rapport dalam membina ikatan dalam kumpulan. Ikatan yang kuat ini diikat oleh satu kumpulan yang sentiasa “meraikan slogan” yang menjadi matlamat dan visi kumpulan. Usaha ini dikukuhkan lagi dengan sorakan kumpulan yang sentiasa dicanang dan uar-uarkan ketika memasuki kelas, dan mengakhiri kelas. Untuk menjalinkan ikatan antara ahli kumpulan, lima kumpulan kecil dihasilkan bagi menentukan interaksi antara kumpulan dapat diperhebat. Ikatan antara mereka diperkuat dengan nama kumpulan, moto kumpulan, logo kumpulan dan sorakan kumpulan. Dengan ini menjadikan mereka lebih bersemangat waja dan sentiasa menunjukkan persaingan yang sihat antara kumpulan. Hal ini dapat diperlihatkan melalui tugasan dalam kumpulan berdasarkan kursus-kursus yang dikendalikan oleh penulis. Berdasarkan pemerhatian penulis, pembinaan kumpulan benar-benar memberi impak yang kuat dalam mewujudkan hubungan yang erat antara ahli kumpulan malah dengan pensyarah.

Melalui Tinjauan Dron 2: Ekplorasi Bahasa; Tinjauan Dron 3: Ekplorasi Bahasa; Tinjauan Dron 4: Proses Ekplorasi; dan Tinjauan Dron 5: Aplikasi Eksplorasi Bahasa, penulis antara lain membawa kepada pembaca tentang kepentingan eksplorasi dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Tinjauan-tinjauan ini merupakan tema kedua dalam buku ini iaitu tentang pembelajaran berbentuk penerokaan di luar bilik darjah yang dilaksanakan dengan satu set prosedur yang lengkap dan jelas. Pengalaman menggunakan pendekatan ini telah memberi kesedaran kepada penulis bahawa perlunya suatu kaedah lain atau kaedah alternatif selain menggunakan pendekatan yang biasa kita buat. Saya suka menggunakan perkataan klise dalam memperkatakan sesuatu yang biasa dan diulang-ulang, sehingga tidak menunjukkan kelainan. Oleh itu, pengalaman melalui Eksplorasi Bahasa yang cuba dikongsikan oleh penulis diharap dapat dimanfaatkan dalam usaha mempelbagaikan kaedah pembelajaran di dalam bilik darjah.

Pembelajaran Eksplorasi Bahasa ini antaranya cetusan daripada kaedah “Pemburuan Harta Karun” atau treasure hunt. Namun daripada penelitian penulis, kaedah ini telah digunakan dalam eksplorasi Nabi Musa menuntut ilmu melalui Nabi Khidir sejak berkurun lamanya. Kaedah pembelajaran tersebut sudah pun wujud sekitar 1,300 tahun sebelum masihi (sekitar 3,300 tahun dahulu). Peristiwa tersebut telah diceritakan dalam Surah Al-Kahfi ayat 60 - 82. Hasil penelitian ini juga penulis, bersama-sama dengan rakan-rakan yang lain telah membangunkan satu modul yang dinamakan Modul Pembelajaran Al-Kahfi iaitu satu inovasi dalam membantu murid-murid meningkat penguasaan literasi bacaan khusus untuk murid-murid LINUS. Dalam pengembaraan melalui eksplorasi Nabi Musa sendiri didapati bahawa falsafah pembelajaran begitu hebat dan agung sekiranya kita mendalami bersungguh-sungguh. Penulis berharap empat tinjauan dron yang dikongsikan bersama-sama ini akan dapat mencetuskan idea baharu kepada para pendidik dalam meningkatkan kemahiran bahasa dan ilmu pengetahuan dalam kalangan murid-murid melalui eskplorasi.

Tema ketiga yang ingin disampaikan oleh penulis adalah tentang kuasa kreativiti yang menjadi ibu kepada sesuatu idea dalam menentukan sama ada seni mengajar para pendidik benar-benar relevan dan dapat menangani perubahan. Hal ini dapat diperlihatkan melalui Tinjauan Dron 7: Konsep Kreativiti; Tinjauan Dron 8: Kreativiti Dalam Kurikulum; dan Tinjauan Dron 9: Unsur-Unsur Kreativiti Dalam Pengajaran dan Pembelajaran. Tinjauan-tinjauan ini antara lain memperkatakan kepentingan idea yang kreatif dalam merencana suatu pendekatan yang wow di dalam bilik darjah. Berdasarkan pengalaman penulis, terdapat beberapa unsur kreativiti yang sepatutnya ada di dalam bilik darjah. Penulis percaya, unsur-unsur ini, paling tidak dapat membantu guru merencanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dengan lebih berkesan.

Tema keempat yang hendak dibawa oleh penulis ialah unsur-unsur yang sepatutnya ada sekiranya para pendidik mahu mengekalkah perhatian dan minat murid dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Bahagian ini di bawah pembicaraan Tinjauan Dron 10: Strategi Bukit Bintang Lima (BB5). Penulis antara lain membicarakan lima unsur penting untuk mengekalkan perhatian dan menarik minat murid di dalam bilik darjah ketika aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Unsur-unsur tersebut ialah konflik, kejutan, saspens, dramatik dan klimaks. Untuk memantapkan pemahaman pembaca, bersama-samanya disertakan satu kajian tindakan tentang kesan penggunaan Strategi BB5 ini. Kajian ini dilaksanakan oleh penulis bersama-sama dengan seorang guru (ketika itu guru pelatih) iaitu saudari Ting Chek Ming ketika menjalani praktikum di salah sebuah sekolah. Penulis berpendapat, unsur-unsur ini praktikal digunakan sebagai salah satu alternatif kepada guru mempelbagaikan strategi yang hendak digunakan.

Untuk bahagian yang seterusnya, penulis membawa pembaca menghayati aktiviti inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran. Tinjauan Dron 11: Inovasi Dalam Bilik Darjah dan Tinjauan Dron 12: Inovasi PISMP BM 1613. Bahagian ini ialah tema kelima iaitu inovasi. Penulis berpendapat bahawa amalan membudayakan inovasi harus bermula dari peringkat guru pelatih lagi bagi memastikan kualiti guru dapat ditingkatkan melalui inovasi selari dengan  salah satu daripada inisiatif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 - 2025 iaitu meningkatkan aktiviti penyelidikan dan inovasi.  Sehubungan itu, peranan guru amat penting dalam memenuhi tuntutan semasa bagi melahirkan masyarakat yang berdaya cipta. Usaha melahirkan masyarakat yang banyak mencipta akan menguntungkan negara daripada  hanya menjadi masyarakat pengguna semata-mata.

Penghasilan produk-produk inovasi ini harus dihasilkan untuk melahirkan pelajar-pelajar yang mempunyai daya pemikiran merentasi sempadan kreativiti. Pembudayaan inovasi dalam kalangan guru-guru terutama melalui kajian tindakan akan menjadikan budaya inovasi dapat ditingkatkan terutama ketika sistem pendidikan kita mendepani cabaran pembelajaran abad ke-21 ini.  Sekiranya, budaya ini dapat dipupuk lebih awal, sudah tentu isu-isu pendidikan terutama yang berlaku di dalam bilik darjah dapat ditangani. Negara dapat melakukan banyak penjimatan bukan sahaja dari aspek kewangan dan tenaga, malah dari aspek masa sekiranya banyak ciptaan baharu dapat dihasilkan.

Untuk bahagian ini, penulis bersama-sama rakan telah melaksanakan inovasi yang melibatkan aspek pengajaran bahasa. Untuk bahagian ini, penulis berkongsi tentang beberapa inovasi yang dilaksanakan bersama-sama dengan rakan Dr. Radna (Teknik Ali dan Kaedah Pun, Saya Pun) dan Haji Abang Mohd. Daud (SKMM). Melalui inovasi GAJET MAGIC, penulis berkongsi tentang pelaksanaannya dalam kalangan guru-guru pelatih melalui kaedah EB. Format pelaporan inovasi ini adalah berdasarkan ketetapan oleh pihak penganjur.

Penulis juga ingin berkongsi tentang keupayaan seseorang pendidik itu melaksanakan aktiviti yang boleh melahirkan inventor di dalam bilik darjah. Umpamanya dalam satu kursus Sintaksis Bahasa Melayu, penulis menyisipkan pengisian kursus tersebut dengan memperlihatkan masalah pengajaran sintaksis di dalam bilik darjah dan cara menyelesaikannya melalui inovasi. Hasilnya, penulis telah membahagikan kumpulan ini kepada empat dan setiap kumpulan menghasilkan satu inovasi mudah untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh guru ketika aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Penulis selalu menekankan bahawa inovasi hendaklah bertitik tolak kepada masalah. Kalau ada masalah maka inovasi dapat dijelmakan. Oleh itu, terdapat empat masalah yang dikemukakan oleh kumpulan tersebut dengan inovasi yang dihasilkan. Format pelaporan yang digunakan adalah berdasarkan format pelaporan inovasi yang pernah dianjurkan oleh IPG Kampus Tun Abdul Razak. Bahagian inovasi dalam kalangan guru-guru pelatih ini dibicarakan di bawah tajuk Tinjauan Dron 12: Inovasi PISMP BM 1613.

Penulis juga cuba berkongsi dengan beberapa alat berfikir yang dinamakan Alat Berfikir Cemerlang (ABC) dalam meningkatkan pemikiran yang kritis dan kreatif. Bahagian ini ialah tema keenam di bawah Tinjauan Dron 13: Alat-Alat Berfikir KBAT. Alat-alat berfikir ini antara lain membantu aktiviti guru di dalam bilik darjah bagi melaksanakan aktiviti kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT). Penulis ingin menekan di sini bahawa alat-alat berfikir ini ialah alternatif daripada sekalian banyak alat berfikir lain yang ada seperti i-Think, enam topi berfikir, Cort1, SWOT, SMART dan banyak lagi. Penulis ingin merakamkan terima kasih kepada rakan-rakan lain atas maklum balas yang diberikan terhadap ABC untuk meningkatkan keupayaan dan daya guna alat-alat berfikir ini. Mereka ialah Dr Radna Wismawati Muhibah Yahya Sawek, Dr Sara Beden, Rokaiyah Jaya, Nordin Seruji dan Cynthia Chan. Mereka ialah ahli-ahli Kumpulan Inovasi dan Kreativiti (KIK) yang diterajui oleh penulis sendiri.

Bagi tema ketujuh dalam buku ini, penulis ingin mengutip sedutan dalam “tinjauan dron” ini iaitu:

Pemidato awal Yunani dan Rom menyampaikan ucapan yang panjang dengan menggunakan kaedah ini yang dipanggil sebagai "lokus" atau "tempat". Walaupun Simonides (sekitar 500 SM) dikenali sebagai bapa seni ingatan yang terlatih, namun terdapat kertas catatan kulit menyatakan bahawa teknik ingatan ialah bahagian penting dalam sesebuah pengucapan awam itu sejak seribu tahun atau lebih sebelum Simonides sendiri lagi.”

Ungkapan di atas membuktikan bahawa dalam kemahiran bahasa iaitu lisan, teknik mnemonik ini telah digunakan sebelum masihi lagi. Tema bahagian ini adalah tentang teknik mnemonik. Untuk itu, bahagian Tinjauan Dron 14: Mnemonik (Dalam Pembelajaran Tatabahasa) pula dibicarakan. Penulis antara lain membicarakan tema tentang penggunaan mnemonik dalam pembelajaran tatabahasa. Penulis mengambil beberapa contoh tentang penggunaan teknik tersebut. Teknik ini tidak semestinya perlu seperti itu, tetapi para pendidik sendiri boleh mengubah suai penggunaan berdasarkan masalah dan keperluan murid guru, serta kesesuaian subjek yang diajar. Sekali lagi penulis ingin tekankan bahawa teknik mnemonik ini ialah alternatif daripada teknik-teknik lain yang sedia ada. Contoh-contoh yang diberikan merupakan panduan semata-mata, dan penulis percaya guru-guru lebih kreatif dalam mempelbagaikan penggunaannya.

Demikian tadi bahagian mukadimah yang antara lain memperkatakan profil ringkas tentang “tinjauan-tinjauan dron” berdasarkan tema yang telah dijelaskan. Semoga profil ringkas ini dapat memberi gambaran awal tentang kandungan buku ini selain menjelaskan bahagian tertentu di sebalik tabir “perspektif dron-dron” tersebut. Akhir sekali ialah Tinjauan Dron 15: Kesimpulan, yang merumus kandungan buku tersebut secara ringkas. Kepada para pembaca, saya ucapkan terima kasih kerana memegang buku ini sebagai pilihan bacaan anda. Sekiranya anda memegang buku ini dengan niat hendak menambahkan ilmu pengetahuan dalam bidang pengajaran dan pembelajaran, maka buku ini ialah salah satu jawapan yang sentiasa menjadi persoalan anda. Jika tidak, saya nasihatkan elok anda letakkan semula dirak atau abaikan sahaja.  Semoga buku ini menjadi amal jariah penulis dan mereka yang terlibat secara langsung dalam penerbitan buku ini. Sekian, SELAMAT MEMBACA!

 

Date

29 Januari 2023

Tags

Penyelidikan & Penerbitan

GARAPAN MINDA

Kita mungkin tidak dapat mengubah dunia, tetapi kita dapat melahirkan generasi yang akan mengubah dunia. - muna

 

Disclaimer

Kami menyediakan bahan dan maklumat berdasarkan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman kami. Pengguna dinasihatkan untuk memilih dan menilai sendiri mana-mana maklumat yang sesuai dan autentik, serta memasukkan daripada sumber mana dipetik. Kami tidak bertanggungjawab atas kerosakan atau kemudaratan atau seumpama dengannya, yang berlaku akibat menggunakan bahan dan maklumat yang kami kongsikan. Semoga ilmu ini dapat dimanfaatkan bersama demi kemaslahatan sejagat.

Perkongsian

Pelawat

Hari Ini296
Semalam307
Minggu Ini1305
Bulan Ini2043
Jumlah Pelawat197772

Who Is Online

3
Online

2024-11-07