Portfolio

Dron 7: Konsep Kreativiti

Dron 7: Konsep Kreativiti

 

TINJAUAN DRON 7:

KONSEP KREATIVITI

 

Oleh Muhaimi Suhaili

Kreativiti ialah perkataan yang berasal dari kreatif. Kamus Dewan mentakrifkan kreatif sebagai mempunyai kebolehan mencipta, menghasilkan, dan mengembangkan sesuatu idea baru dan asli atau kemampuan (kebolehan) mencipta. Azman (2003) mendefinisikan pemikiran kreatif sebagai proses penggabungan, pembahagian, perkecilkan, pembesaran, pengubahsuaian, pemotongan dan seumpamanya. Ia memerlukan daya usaha untuk memperbaiki apa-apa yang ada. Ia adalah satu proses yang menghubungkaitkan elemen-elemen sedia ada kepada sesuatu yang baru. Proses berkenaan tidak ada hadnya, tidak ada sekatan dan tidak ada sempadan asalkan ia berpaksikan ketuhanan dan tidak melanggar undang-undang.

Apabila seseorang mengemukakan sesuatu idea dan idea tersebut tidak pernah orang lain fikir pun maka kreativiti sudah muncul dalam kotak kepalanya. Dengan perkataan lain daya kreativiti seseorang itu hasil daripada pemikiran kreatif yang tidak pernah terfikir pun oleh orang lain. Bagi maksud kreativiti pula Kamus Dewan mendefinisikannya sebagai kemampuan atau kebolehan mencipta, berdaya kreatif. Maknanya kreatif ialah fikiran manakala kreativiti ialah apa yang dihasilkan oleh buah fikiran tersebut yang mempunyai unsur-unsur yang dinyatakan itu.

Untuk menghasilkan sesuatu yang ada kreativiti, haruslah bermula dengan satu idea. Napoleon Hill berkata semua pencapaian manusia, semua kekayaan yang dimiliki insan, bermula dengan satu idea. Dengan garapan tersebut dapat kita katakan bahawa idea kreatif boleh menjadi harta yang terbesar. Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri pernah berkata bahawa aset terbesar atau paling bernilai bagi sesebuah negara ialah kreativiti penduduknya.

Poh Swee Hiang (2009) pula mendefinisikan pemikiran kreatif sebagai pemikiran produktif yang bercapah. Kemahiran berfikir secara kreatif melibatkan penjanaan atau sintesis idea atau hasil yang baru, asli dan luar biasa. Pada zaman moden sekarang takrifan kreativiti sebagai kelainan dalam menyampaikan sesuatu perkara atau kelainan dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan (Yew Kam Keong, 2002).

Bagi Leonard M.S, (1994) pula penyelesaian masalah secara kreatif boleh difahami dengan lebih mendalam sekiranya kita melihat serta mengerti komponen penyataan tersebut dengan teliti seperti di bawah:

  1. Unsur kreatif memerlukan serta merangkumi penghasilan idea yang baru, pembaharuan, pembebasan idea secara tidak tersekat serta fleksibiliti pemikiran.
  2. Penyelesaian merangkumi apa juga rintangan, cabaran dan kesukaran yang terpaksa kita tanggung.
  3. Usaha menyelesaikan memerlukan pendekatan terbaru, inovatif, menarik serta imaginatif tetapi cukup berkesan untuk menembusi apa juga rintangan yang menghalangi kita.

 

Rhodes (1961) mengklasifikasikan definisi kreativiti kepada empat kategori iaitu: 1) proses, 2) orang, 3) press dan 4) produk. Definisi proses menghuraikan tahap proses kreatif yang bekerja dalam jiwa pencipta iaitu merujuk tingkah lsaya  berpusatkan ke arah pencapaian kreatif. Definisi orang pula merujuk kepada potensi iaitu ke arah pencapaian kreatif iaitu kreativiti dilihat sebagai satu set ciri-ciri seseorang. Definisi press pula merujuk kepada keperluan syarat-syarat persekitaran untuk aktiviti berkreatif. Definisi produk pula merujuk kepada produk akhir iaitu di manakah pernyataan kreativiti itu ditempatkan.

Pemikiran kreatif ialah satu gaya pemikiran yang bertujuan untuk menghasilkan idea-idea baharu, konsep-konsep baharu, reka-reka bentuk baharu dan persepsi-persepsi baharu. Kemahiran berfikir secara kreatif merangkumi kemahiran melihat sesuatu dari pelbagai sudut dan perspektif, kemahiran mengenal pasti pelbagai alternative, kemungkinan dan pilihan serta kemahiran mencabar andaian biasa. Antara teknik yang digunakan ialah teknik asosiasi, sumbang saran, teknik gabungan dan teknik APC (Munir, et al. 2009).

 

 

 

Pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu

Pengajaran bahasa Melayu pula bermaksud aktiviti mengajar guru dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Di Malaysia, Bahasa Melayu ialah mata pelajaran yang wajib diajar dan wajib lulus dari sekolah rendah sehinggalah ke tingkatan lima. Selain itu ketika di tingkatan enam pula, pelajar diberi pilihan untuk mengambil subjek bahasa Melayu. Pengajaran bahasa Melayu juga diajar di peringkat Universiti atau di IPG juga.

 

Namun begitu fokus kita ialah tentang pengajaran Bahasa Melayu di sekolah-sekolah di Malaysia atau di peringkat awal sehingga di peringkat sekolah menengah. Oleh itu, dapatlah disimpulkan di sini bahawa tajuk ini akan memerihalkan tentang sikap-sikap kreatif seorang guru dalam melaksanakan pengajaran mereka di dalam bilik darjah khususnya dalam pengajaran Bahasa Melayu.

 

Kesimpulan

Pemikiran kreatif dalam pengajaran bahasa Melayu bermaksud bagaimana penggunaan idea-idea kreatif digunakan untuk mengajar kemahiran berbahasa bagi subjek bahasa Melayu. Hakikat ini berlaku  apabila didapati bahawa anak-anak sememangnya amat kreatif. Akan tetapi sebaik sahaja mereka mula bersekolah, tahap kreativiti ini jatuh dengan mendadaknya. Di sekolah, kanak-kanak sebenarnya disekat kreativiti mereka. Akan tetapi melalui latihan kreativiti, seseorang guru boleh belajar untuk menjadi kreatif seperti seorang kanak-kanak. (Yew Kam Keong, 2002).

Oleh itu, dalam pengajaran Bahasa Melayu seseorang guru itu haruslah menampilkan inovasi dan sentiasa mencari idea-idea baru. Edward de Bono, 2001 mengatakan bahawa apabila seseorang itu menitik beratkan penghasilan idea-idea baru dan pembebasan daripada dibelenggu atau dikongkong oleh konsep idea-idea lama, maka itu dinamakan sebagai pemikiran lateral. Maknanya pemikiran kreatif boleh dianggap sebahagian daripada pemikiran lateral kerana mempunyai ciri-ciri yang sama. Oleh itu menurut Edward de Bono perubahan kepada sikap dan pendekatan untuk melihat sesuatu perkara dengan cara berlainan daripada cara biasa dianggap sebagai kreatif.

Kesimpulannya, pemikiran kreatif ialah penghasilan sesuatu idea atau gagasan yang baharu untuk menangani sesuatu permasalahan yang paling berkesan pada masa itu. Seperti kata Azman (2003), pemikiran kreatif adalah pemangkin kepada perkembangan dan proses pemodenan kehidupan manusia. Tanpa pemikiran kreatif, manusia akan berada di tsaya k lama dan tidak akan berubah. Manusia tidak akan mengecap kesenangan dan kemudahan yang sedang dinikmati kini. Manusia akan masih lagi menyalakan api dengan menggunakan kayu atau daun kering. Manusia akan masih berada pada zaman batu dan hidup dalam serba kekurangan. Pengaplikasian pemikiran kreatif membolehkan manusia berjaya menukar konsep kehidupan yang kelihatan sangat mudah pada ketika itu kepada yang lagi mudah pada zaman ini.

 

***

Date

04 Oktober 2020

Tags

Artikel

GARAPAN MINDA

Kita mungkin tidak dapat mengubah dunia, tetapi kita dapat melahirkan generasi yang akan mengubah dunia. - muna

 

Disclaimer

Kami menyediakan bahan dan maklumat berdasarkan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman kami. Pengguna dinasihatkan untuk memilih dan menilai sendiri mana-mana maklumat yang sesuai dan autentik, serta memasukkan daripada sumber mana dipetik. Kami tidak bertanggungjawab atas kerosakan atau kemudaratan atau seumpama dengannya, yang berlaku akibat menggunakan bahan dan maklumat yang kami kongsikan. Semoga ilmu ini dapat dimanfaatkan bersama demi kemaslahatan sejagat.

Perkongsian

Pelawat

Hari Ini189
Semalam280
Minggu Ini189
Bulan Ini7234
Jumlah Pelawat163835

Who Is Online

2
Online

2024-07-22