Eksplorasi Bahasa
Dron 3
Oleh Muhaimi Suhaili
MODEL EKSPLORASI BAHASA
Model ini menjelaskan bahawa seseorang pelajar itu dapat banyak belajar melalui pengembaraan atau eksplorasi di lapangan yang sebenarnya. Dalam eskplorasi ini, pelajar akan memperoleh pengetahuan, kemahiran, dan nilai yang diterapkan dalam Petunjuk, Tugasan, dan Soalan yang diberikan sepanjang pengembaraan itu dilsaya kan. Aktiviti tersebut boleh dilsaya kan sama ada di intralokasi atau di interlokasi. Intralokasi melibatkan ruang, tempat dan masa pada skala yang lebih kecil berbanding interlokasi yang melibatkan ruang, tempat, masa yang besar malah tiada hadnya. Model tersebut dapat dijelaskan seperti Rajah 1 di bawah.
Rajah 1 : Model Eksplorasi Bahasa (Muhaimi, 2011)
Eksplorasi Bahasa ini bermula apabila sekumpulan pelajar belajar di beberapa lokasi atau lapangan yang sebenarnya iaitu dari satu stesen ke satu stesen berdasarkan petunjuk yang diberikan. Umpamanya untuk pergi ke stesen pertama, petunjuk ke stesen tersebut hendaklah diberikan kepada para peserta. Apabila para peserta sampai ke stesen atau tempat yang betul seperti yang dinyatakan dalam petunjuk tersebut, kumpulan tersebut pula diberi satu tugasan untuk disempurnakan sebagai syarat untuk mendapat soalan dari stesen pertama itu. Sebaik-baik sahaja tugasan tersebut dapat diselesaikan, barulah kumpulan tersebut diberi soalan.
Rajah 2 : Bergerak dari stesen ke stesen berdasarkan petunjuk yang diberi
Untuk pergi ke stesen seterusnya, para peserta akan mendapat petunjuk kedua untuk stesen kedua sebaik sahaja berjaya menjawab soalan di stesen pertama. Begitulah seterusnya apabila tiba di stesen yang betul seperti yang terdapat dalam petunjuk, para peserta diberi tugasan untuk diselesaikan sebelum soalan kedua diberikan. Selepas berjaya menyelesaikan tugasan kedua, soalan untuk berikutnya diberikan untuk kumpulan ini. Apabila berjaya menjawab soalan, para peserta akan diberi petunjuk yang ketiga untuk sampai ke stesen ketiga. Begitulah seterusnya hingga ke stesen keempat, kelima atau berapa banyak stesen mengikut kemampuan penganjur sesuai dengan masa dan objektif yang hendak dicapai, sehinggalah tamat iaitu ke stesen terakhir.
1.1 Ilmu
Dalam konteks Eksplorasi Bahasa, ilmu merujuk kepada bidang atau kursus yang berkaitan dengan Bahasa Melayu. Perkara tersebut terkandung dalam hasil pembelajaran yang hendak dicapai. Dalam konteks pengajaran Bahasa Melayu, ilmu merujuk kemahiran lisan (mendengar dan bertutur), kemahiran membaca, kemahiran menulis, didik hibur dan aspek tatabahasa. Dengan perkataan lain, para peserta akan memperoleh ilmu daripada pengalaman bereksplorasi. Kalau mata pelajaran lain, mungkin berdasarkan ilmu yang diterokai seperti matematik, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Sains, Bahasa Inggeris dan sebagainya berdasarkan kurikulum masing-masing. Kalau di IPG, merujuk hasil pembelajaran kursus yang hendak dicapai.
· Matlamat Penyepaduan Ilmu
Berdasarkan aktiviti ini diharapkan pelajar dapat memperoleh ilmu secara bersepadu dari tiga aspek iaitu:
Pengetahuan – meliputi aspek pengisian seperti yang terdapat dalam sukatan atau Ringkasan Maklumat Kursus (RMK) yang dikenal pasti.
Kemahiran – meliputi kemahiran berbahasa seperti bertutur, mendengar, membaca dan menulis. Selain itu meliputi aspek Kemahiran bernilai Tambah seperti Kemahiran Berfikir, Kemahiran Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Kajian Masa Depan, Belajar Cara Belajar, Kecerdasan Pelbagai, Kontekstual, Konstruktivisme, dan sebagainya.
Nilai – meliputi aspek penerapan nilai murni seperti mana yang terdapat dalam kurikulum iaitu untuk melahirkan insan yang seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek.
Dalam konteks ini, kita membuat ulang kaji tentang isi kandungan kursus yang kita ajar, atau tentang apa sahaja pengetahuan yang diharap dapat diperoleh oleh murid. Oleh itu, murid terpaksa membuat persediaan atau boleh menggunakan kaedah open book test. Mereka dibenarkan membawa nota, dan berbincang dengan sesama ahli kumpulan. Banyak kemahiran yang cuba diterapkan. Umpamanya, mereka diminta mencari imej Muhammad Ali dalam internet tentang kehebatannya. Kemudian imej itu dicetak. Mereka juga diminta menterjemahkan kata-kata Muhammad Ali seperti dalam gambar tersebut. Dengan ini, dari aspek kemahiran ICT diterapkan selain aspek pengetahuan tentang cara hendak menterjemahkan wacana daripada Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu. Mereka diminta menjadi jurujual di tempat sesak di Desa Ilmu. Semuanya memerlukan kemahiran interpersonal, intrapersonal dan kemahiran pengucapan awam yang baik seperti yang terdapat dalam kepintaran pelbagai.
· Alat
Untuk memperoleh ketiga-tiga aspek ilmu bahasa itu, alat yang perlu digunakan ialah:
Petunjuk – Klu atau pembayang ke lokasi.
Tugasan – Pelajar akan mendapat tugasan selepas mereka berada di lokasi yang betul berdasarkan petunjuk yang diberikan.
Soalan – Soalan yang berkaitan dengan hasil pembelajaran yang hendak dicapai seperti pengetahuan, kemahiran dan nilai yang hendak dicapai. Soalan akan diperoleh selepas selesai melaksanakan tugasan.
Petunjuk, tugasan, dan soalan hanyalah alat untuk memperoleh ilmu tersebut. Alat inilah yang menterjemahkan “hasrat” seseorang guru tentang hasil pembelajaran yang hendak dicapai itu. Untuk mencapai hasil pembelajaran bagi kemahiran tersebut, alat-alat seperti petunjuk, tugasan dan soalan inilah yang mencanaikan pengetahuan, kemahiran dan nilai. Kalau seorang ustaz hendak mendidik anak-anak muridnya supaya mempunyai ilmu tertentu dalam bidang agama, maka petunjuk, tugasan, dan soalan tersebut mengarah kepada apa yang hendak dihasratkannya.
Contohnya:
Petunjuk – Sistem kompas menunjukkan arah kiblat digunakan untuk menyatakan sesuatu lokasi atau stesen yang dimaksudkan.
Tugasan – Azan dengan sebutan yang betul (mungkin) di khalayak ramai.
Soalan – Mungkin tentang hukum sah sembahyang.
Dengan perkataan lain, melalui tiga alat tadi, seseorang itu akan dapat banyak belajar tentang aspek agama yang ingin dihasratkan.
Tiga pusingan yang dilalui dalam sesebuah stesen itu iaitu petunjuk ke stesen, selepas itu diagihkan tugasan; kemudian beri soalan. Petunjuk ialah “teka-teki” ke stesen yang dimaksudkan. Tugasan ini sebagai satu cabaran sebelum diminta menjawab soalan sebenarnya. Hal ini dapat ditunjukkan dalam rajah 3 di bawah.
Rajah 3 : Tiga aliran yang perlu dilalui iaitu Petunjuk (Klu), Tugasan, dan Soalan
1.2 Lokasi
Intralokasi – di dalam bilik darjah atau melibatkan kawasan sekolah atau di dalam bilik darjah, institusi, atau sesebuah organisasi itu sendiri. Ruang, tempat dan masa adalah pada skala kecil.
Interlokasi – melibatkan kawasan di luar sekolah, institusi, atau sesebuah organisasi itu sendiri. Ruang, tempat dan masa adalah pada skala yang lebih besar.
Ulasan
Pemilihan lokasi bergantung kepada keupayaan guru atau penganjur. Jika penganjur itu seorang sahaja, contohnya seorang guru hendak menggunakan kaedah eksplorasi ini mengajar kelasnya sahaja yang mengandungi 24 orang murid mereka. Oleh sebab tiada penganjur secara berkumpulan, beliau boleh melaksanakan seorang diri sahaja. Lokasinya ialah di sekitar kawasan sekolah, malah boleh juga di dalam kelas. Semua kumpulan akan berinteraksi secara aktif dengan guru ini sepanjang eskplorasi dijalankan.
Bagi pelaksanaan aktiviti yang lebih besar, eksplorasi dapat dijayakan oleh sekumpulan guru atau penganjur. Bagi seseorang guru yang bijak, di peringkat ini seseorang guru itu bukan sahaja mendidik para peserta itu memperoleh apa yang dihasratkan tetapi melatih penganjur menghasilkan satu penganjuran yang benar-benar berkualiti dan profesional dengan bimbingan guru atau pensyarah.
· Gaya lokasi
Terdapat dua gaya lokasi iaitu mengikut putaran jam dan kaedah Zig Zag. Kedua-duanya boleh digunakan mengikut keperluan penganjur. Jika guru hendak membuat penganjuran mudah hanya sebagai aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam bentuk santai, guru tersebut boleh menggunakan gaya Putaran Jam. Walaupun sifatnya mudah dijangkakan lokasinya yang agak terhad itu, tetapi jika seorang sahaja yang mengendalikannya, sudah dikira memadai juga, dengan sifatnya yang mudah dipantau. Contohnya pelaksanaan eksplorasi di dalam bilik darjah.
- Putaran Jam
Rajah 4 : Gaya lokasi Putaran Jam
Rajah 5 : Gaya lokasi Putaran Jam Intralokasi
- Kaedah “Zig Zag”
Rajah 6 : Kaedah Zig Zag
Bagi penganjuran besar iaitu melibatkan peserta yang hebat-hebat umpamanya, elok menggunakan kaedah Zig Zag. Ciri-cirinya tidak tersusun, agak mencabar, fleksibel, dan sukar dijangkakan. Hal ini akan memberikan cabaran yang hebat kepada para pelajar. Penganjurnya boleh seorang sahaja (guru atau pensyarah, atau mana-mana individu) atau boleh dalam kumpulan yang besar. Untuk seorang penganjur sahaja, boleh dilaksanakan melalui “maya” dengan menggunakan aplikasi telefon bimbit, Schoology, Edmodo atau aplikasi WhatApps.
1.3 Peserta
Para pelajar yang akan menjadi peserta diminta mengulang kaji tajuk-tajuk yang penting dan setiap stesen mungkin berdasarkan setiap topik yang telah ditentukan. Mereka mungkin boleh jadi daripada satu kelas. Untuk tujuan mengulang kaji, sudah tentu kelas tersebut ialah kelas yang kita ajar sebagai sebahagian daripada aktiviti ulang kaji.
1.4 Pemenang
Jika aktiviti ini dijadikan pertandingan, pihak penganjur haruslah menetapkan bahawa kumpulan yang memenangi pertandingan eksplorasi ini ialah mereka yang berjaya mencatat masa yang terpantas dan memenuhi syarat-syarat seperti menyempurnakan petunjuk, tugasan, dan soalan.
Ulasan
Kita boleh memutuskan sama ada kemenangan itu dinilai dari segi kepantasan masa atau sebaliknya. Jika berdasarkan kepantasan masa, semua aspek harus diambil kira terutama penilaian dari aspek tugasan dan soalan. Jika kita ada mekanisme yang jelas terutama membuat penilaian secara adil, maka catatan masa boleh dijadikan kriteria pemenang. Akan tetapi, jika kita seorang sahaja penganjurnya, mungkin terpaksa memikirkan cara yang lebih efektif apabila bertindak dengan banyak kumpulan yang bertumpu kepada kita yang seorang itu. Kalau tidak mampu, pemenang kita adili dari aspek utama iaitu kualiti tugasan dan jawapan soalan; selain keputusan masa hanya menyumbang markah yang kecil sahaja.
***
PERANAN pengganggu ialah memastikan peserta berasa keliru atau memperlahan eksplorasi mereka itu sebagai satu halangan dan cabaran. Contohnya, satu tugasan yang meminta peserta untuk mencari seorang wanita berbaju putih bertudung hitam. Mungkin kawasan yang dikenal pasti itu hendaklah ada pengganggu yang menyerupai ciri-ciri yang dinyatakan itu.