Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT)
- Pengenalan
- Konsep KBAT
- Definisi KBAT
- KBAT - Penjajaran Aspek Kurikulum, Pedagogi dan Pentaksiran
- KBAT dalam Tugasan
- KBAT dalam Soalan
- KBAT dalam Aktiviti Pembelajaran
- Kesimpulan
Pengenalan
Oleh Muhaimi Suhaili
Pengenalan
Falsafah Pendidikan Negara menyatakan bahawa Pendidikan di Malaysia ialah satu usaha berterusan ke arah memperkembang potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.
Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab, dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara seperti dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).
Manakala dalam Dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 – 2025 (KPM, 2013), menjelaskan bahawa terdapat enam ciri utama yang diperlukan oleh setiap murid untuk berupaya bersaing di peringkat global iaitu mempunyai pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian dan indentiti nasional iaitu sejajar dengan Falsafah Pendidikan Negara.
Oleh itu, usaha bersungguh-sungguh perlu dilakukan bagi memperkembang potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu. Dalam hal ini, usaha tersebut hendaklah selari dengan aspirasi murid.
Gambar: Potensi individu diperkembang melalui aktiviti berinovasi.
Daripada elemen aspirasi murid itu, aspek kemahiran berfikir sangat penting dalam sistem Pendidikan kita sejak dahulu lagi. Oleh itu, guru harus berpengetahuan tinggi untuk mengembangkan potensi murid ini melalui kemahiran berfikir.
Kemahiran berfikir ini telah ada dalam sistem Pendidikan kita sejak dahulu lagi yang lebih dkenali sebagai kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis (KBKK). Kemahiran berfikir diajar secara penerapan dalam subjek yang sedia ada di sekolah di bawah kemahiran bernilai tambah.
Kini, kemahiran berfikir mula memberi penekanan terhadap kemahiran berfikir aras tinggi dalam sistem pendidikan di Malaysia sesuai dengan perkembangan semasa. Oleh yang demikian kemahiran berfikir ini haruslah selari dengan aspirasi Falsafah Pendidikan Negara yang dapatlah dianalisis garapan idea tersebut seperti di bawah:
Fokus | Memperkembang potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu |
Tujuan | Mewujudkan insan seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani |
Tunjang | Berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan |
Tujuan holistik | Melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. |
Konsep KBAT
Konsep KBAT
KBAT ialah akronim untuk Kemahiran Berfikir Aras Tinggi atau HOTS iaitu High Order Thinking Skill. Menurut Bloom (2001) aras pemikiran seseorang itu diperingkatkan dari aras yang paling rendah kepada aras yang paling tinggi. Aras tersebut ditunjukkan seperti di bawah ini:
Rajah 1: Bloom (semakan Anderson & Kratwolth, 2001)
Oleh itu, konsep KBAT ialah sejauh manakah pemahaman guru untuk mengaplikasikan KBAT dalam pengajaran dan pembelajaran agar murid dapat membuat penaakulan dalam membuat keputusan dan menyelesaikan sesuatu masalah itu.
Apabila dalam aktiviti pembelajaran guru-guru menggunakan aras-aras tinggi iaitu mengaplikasi, menganalisis, menilai dan mencipta, maka seseorang guru itu telah menerapkan elemen KBAT dalam pembelajaran.
Sekiranya dalam pembelajaran yang dilaksanakan guru hanya menerapkan unsur Kemahiran Berfikir Aras Rendah (KBAR) iaitu peringkat mengingat dan memahami, maka elemen KBAT belum lagi diterapkan dalam pembelajaran.
Aras-aras Taksonomi Bloom & KBAT
Guru-guru haruslah menghayati dan menjiwai aras-aras taksonomi Bloom untuk memahami KBAT. Hari ini apabila seseorang guru menggunakan peta i-Think ketika mengajar, mereka mendakwa sudah ada unsur KBAT.
Apabila ditanya bagaimana peta buih atau peta bulatan itu dikaitkan dengan KBAT, mereka tidak dapat menjelaskannya. Hal ini disebabkan oleh kurang pemahaman tentang KBAT. Kesimpulannya, mereka tidak memahami tentang elemen KBAT dan sukar untuk mengaitkannya dengan peta i-Think.
Taksonomi Bloom menggariskan bahawa aras-aras berfikir murid dinyatakan dalam cognitive (C) berikut iaitu daripada aras yang paling rendah hingga ke aras paling tinggi iaitu bermula dengan C1: Mengingat, C2: Memahami, C3: Mengaplikasi, C4: Menganalisis, C5: Menilai, dan C6: Mencipta.
Dalam menyampaikan standard kandungan seperti yang terdapat dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) yang telah ditetapkan dalam kurikulum, sejauh manakah seseorang guru itu mengaplikasikan aras-aras di atas bagi memastikan KBAT itu dilaksanakan?
Isu yang kita peroleh daripada pemerhatian mendapati bahawa kebanyakan dalam kalangan guru tidak mengetahui dan memahami Taksonomi Bloom ini dan tidak dapat mengaitkan bahan, aktiviti, dan soalan yang digunakan dalam pembelajaran dengan KBAT.
KBAT di peringkat global
Kurikulum Pendidikan di Malaysia sentiasa ditambah baik sesuai dengan perkembangan semasa. Hal ini agar sistem Pendidikan kita sentiasa relevan dan dapat menangani perubahan.
Oleh sebab itu, kurikulum kita akan sentiasa disemak semula bagi satu-satu tempoh agar tidak ketinggalan dengan perubahan yang berlaku di seluruh dunia. Oleh itu, kita tidak dikatakan berada di sebuah pulau yang terpencil tetapi sentiasa ada hubung kait dengan dunia luar.
Terdapat tiga kaedah KBAT diajar di sekolah-sekolah di seluruh dunia iaitu menggunakan tiga pendekatan iaitu mengajar KBAT dalam subjek atau mata pelajaran, melalui penerapan bagi subjek atau mata pelajaran, dan secara bertema seperti Jadual 1 di bawah ini.
Jadual 1: Pendekatan KBAT di beberapa negara
Jepun – Dalam subjek Period of Intergrated Study | Subjek |
United Kingdom – Dalam subjek Critical Thinking | |
Malaysia – Dalam setiap subjek | Penerapan bagi subjek sedia ada |
Amerika Syarikat – Dalam subjek Matematik & Inggeris | |
Singapura – Dalam subjek Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Geografi dan Sejarah | |
Hong Kong – Melalui Liberal Studies (inquiry – Based Curriculum) | Bertema |
International Baccalaureate (IB) Primary Years Programme |
(KPM, Mingguan Malaysia, 2015)
Definisi KBAT
Definisi KBAT
KBAT didefinisikan sebagai keupayaan untuk mengaplikasikan pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam membuat penaakulan dan refleksi bagi menyelesaikan masalah, membuat keputusan ketika berinovasi, mencipta, berinovasi dan berupaya mencipta sesuatu (KPM, 2015). Daripada definisi tersebut, adakah murid kita diuji begitu rupa tentang keupayaan mereka untuk belajar dengan cara memasukkan elemen KBAT?
Daripada definisi tersebut, murid diharap dapat:
- Mengaplikasikan pengetahuan, kemahiran, dan nilai (dalam membuat penaakulan dan refleksi)
- Tujuan untuk menyelesaikan masalah
- Tujuan untuk membuat keputusan
- Tujuan untuk berinovasi
- Tujuan supaya berupaya mencipta sesuatu
- Mengaplikasikan pengetahuan, kemahiran, dan nilai
Rajah 2: Aras mengingat (C1), memahami (C2), dan mengaplikasi (C3)
Ketika mengaplikasikan pengetahuan, kemahiran, dan nilai, seseorang murid itu diandaikan sudah berada dalam aras pemikiran C3 (mengaplikasi), sekali gus C2 (memahami) dan C1 (mengingat) telah dikuasai. Sekiranya murid-murid hanya mengaplikasikan ilmu, pengetahuan dan nilai yang “diajar” pada hari itu semula, maka aras pemikiran murid itu berada pada tahap C3 iaitu mengaplikasi.
Akan tetapi sekiranya murid itu mengaplikasikan ilmu, pengetahuan dan nilai yang diajar pada hari itu untuk menangani atau menyelesaikan sesuatu persoalan yang baharu, atau untuk menghasilkan konsep baharu (berdasarkan ilmu yang diajar pada hari itu) maka aras pemikiran murid itu pada tahap C6 iaitu mencipta.
Contohnya, murid hari ini diajar untuk membuat masakan barat termasuklah resipi yang ada. Jika aktiviti pada hari itu menjelaskan langkah-langkah untuk menyediakan masakan barat maka aras pemikiran pada masa itu hanya pada aras C3. Contoh lain ialah, guru meminta murid itu membuat demontrasi tentang cara-cara menyediakan masakan barat yang diajar pada hari itu, maka aras pemikiran pada aras C3 sahaja. Sekiranya, murid-murid diminta menghasilkan atau mencipta satu menu baharu untuk diperkenalkan kepada rakan yang memenuhi cita rasa tempatan dan memenuhi selera atau tuntutan global, maka aktiviti itu pada aras C6 iaitu aras mencipta.
- Menyelesaikan masalah
Tugasan:
Seorang ayah bersama-sama dengan sepasang anaknya pergi membeli kuih. Harga kuih tersebut ialah RM1.00 untuk tiga biji. Mereka membeli kuih dengan mengeluarkan wang sebanyak RM3.00.
Seorang anak lelakinya telah makan sebanyak empat biji kuih, manakala anak perempuannya mengambil dua biji kuih iaitu satu dimakannya, manakala satu terjatuh di atas lantai yang kotor. Ayahnya pula makan sebiji kuih. Baki kuih tersebut ialah 2 biji.
Soalan tugasan:
- Berapakah jumlah keseluruhan biji kuih yang diterima oleh keluarga tersebut daripada penjual kuih?
- Mengapakah jumlah biji kuih tersebut berbaki dua. Berikan alasan-alasan anda mengapa keadaan ini berlaku?
Tugasan di atas merupakan satu bentuk soalan yang mengkehendaki seseorang murid itu menjawab soalan bagi menyelesaikan masalah yang diberikan. Apabila secara keseluruhan seseorang berjaya menyelesaikan sesuatu masalah berdasarkan idea-idea yang dihasilkan itu maka seseorang murid itu berada pada aras C6; iaitu menghasilkan idea untuk menyelesaikan masalah. Untuk soalan 1, seseorang itu perlu mempunyai aras pemikiran C1, C2, C3, C4. Bagi soalan 2 pula, seseorang murid itu akan melalui aras-aras C4, C5, dan C6.
- Membuat keputusan
Cuba bayangkan bahawa dalam kehidupan kita, setiap hari kita mempunyai pilihan dan setiap pilihan itu kita terpaksa membuat keputusan. Kita berharap bahawa setiap yang kita buat itu betul. Sama ada keputusan yang dibuat itu betul atau salah, keputusan harus dibuat. Semua keputusan yang dibuat itu bagi membolehkan kita menyelesaikan sesuatu masalah. Untuk menyelesaikan sesuatu masalah, kita terpaksa membuat keputusan. Oleh yang demikian, kita terpaksa menganalisis masalah dan punca bagi membuat keputusan yang betul.
Oleh itu, untuk membuat sesuatu keputusan, seseorang murid itu perlu memahami masalah, menganalisis dan menilai sesuatu hujah atau cadangan bagi memastikan seseorang itu dapat membuat keputusan yang betul dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Di sinilah, seseorang murid itu membuat penaakulan dan refleksi sebelum membuat keputusan. Oleh sebab itu, pentingnya seseorang itu perlu belajar menggunakan banyak alat berfikir bagi menentukan bahawa keputusan yang dibuat itu benar-benar kritis dan dapat menangani sesuatu persoalan.
Seseorang guru itu boleh menggunakan beberapa alat berfikir bagi membantu seseorang murid itu lebih kritis dan kreatif dalam membuat sesuatu keputusan. Contohnya, melalui CoRT1, oleh Edward de Bono, seseorang itu boleh menggunakan alat-alat berfikir untuk membuat keputusan tentang sesuatu persoalan dengan menggunakan alat-alat berfikir di bawah (sekadar memberi beberapa contoh):
- CAF (Consider All Factors)
- M.I (Plus, Minus, Interesting)
- FIP (First Important Priorities)
- C&C (Consequence and Sequel)
Melalui alat-alat berfikir seperti CAF, P.M.I, F.I.P, dan C & S; seseorang murid itu dapat membuat penilaian atau MENILAI idea-idea yang dicadangkan itu. Aras pemikiran pada tahap ini ialah C5 (menilai).
Contoh tugasan:
Masalah kesesakan lalu lintas yang teruk berlaku di kawasan sekolah pada waktu puncak telah memberi implikasi yang tinggi terhadap pengguna jalan raya.
Berikan beberapa cadangan untuk mengatasi masalah tersebut dan berikan justifikasi kenapa anda memberi cadangan tersebut. (Catatan: menghasilkan cadangan merupakan aras mencipta, manakala memberi justifikasi ialah aras menilai).
- Berinovasi
Aspek berinovasi turut diberi penekanan dalam sistem Pendidikan kita. Dalam menangani perubahan yang berlaku dari masa ke masa, kita menghadapi banyak masalah dan kesulitan dalam menghadapi kehidupan. Dalam konteks ini, murid perlu dilatih untuk berhadapan dengan sesuatu persoalan dengan cara menyelesaikan sesuatu persoalan dalam kehidupan mereka dengan cara berinovasi. Contohnya, di China, serorang murid telah mencipta payung yang boleh menyelesaikan masalahnya apabila dia pergi ke sekolah dalam keadaan cuaca yang sangat terik. Idea tersebut telah menjadi satu inovasi yang sangat praktikal untuk mengatasi masalah yang dihadapi oleh murid-murid di kawasan pedalaman China itu. Dengan cara ini penerapan kemahiran berfikir dalam subjek tertentu oleh guru boleh diterapkan bagi menyelesaikan sesuatu masalah yang mungkin berlaku melalui budaya berinovasi.
- Berupaya mencipta sesuatu
Selain itu, murid juga perlu diterapkan keupayaan berfikir dan mencipta sesuatu. Perkara ini dapat diterapkan dan dibudayakan secara penerapan dalam sistem pendidikan kita. Oleh itu, aktiviti yang dirancang oleh guru itu hendaklah menerapkan aktiviti menghasilkan sesuatu seperti mencipta kereta masa depan, menghasilkan sebuah rumah bagi menangani masalah banjir, pusat beli belah mengikut imaginasi murid dan sebagainya. Untuk melahirkan murid-murid yang berdaya cipta ini, aktiviti pertandingan inovasi boleh diadakan di peringkat sekolah rendah lagi. Untuk melahirkan masyarakat yang berdaya cipta, harus bermula dari bawah, seperti ungkapan peribahasa, “melentur buluh itu biar daripada rebungnya”.
KBAT - Penjajaran Aspek Kurikulum, Pedagogi dan Pentaksiran
KBAT - Penjajaran Aspek Kurikulum, Pedagogi dan Pentaksiran
Penjajaran dalam aspek kurikulum, pedagogi, dan pentaksiran bermaksud bahawa wujudnya keselarasan bagi ketiga-tiga aspek ini dengan satu hala tuju yang sama. Kandungan kurikulum yang dihasilkan selari dengan proses pedagogi iaitu sebagai alat untuk menyampaikan kurikulum tersebut.
Aspek kandungan yang dinyatakan dalam kurikulum pula dinilai dalam pentaksiran. Oleh itu, tidak wujud apa yang dipelajari itu tidak akan ditanya dalam pentaksiran. Oleh itu, selagi seseorang guru itu mengajar berdasarkan kurikulum, kandungan tersebut akan dinilai dalam pentaksiran.
Dalam KSSR dan KSSM sekarang ini, elemen kurikulum, pedagogi, dan pentaksiran dilaksanakan secara selari. Dengan perkataan lain, kandungan atau isi pengajaran oleh guru itu hendaklah disampaikan dengan menggunakan pedagogi yang sesuai, dan kandungan itulah merupakan kontruk yang diuji dalam pentaksiran. Sekiranya ketiga-tiga elemen tidak sehala maka output yang dihasilkan itu tidak memenuhi hasrat yang diinginkan dalam sistem Pendidikan kita.
Contohnya, kandungan yang disampaikan itu hendaklah menggunakan kaedah (pedagogi) yang sesuai agar sistem penyampaian itu menjadi lebih berkesan. Dalam hal ini, kandungan yang diajar itu dapat dijawab oleh murid.
Terdapat pelbagai cara kreatif yang boleh kita gunakan untuk menerapkan KBAT dalam:
i. Tugasan yang diberikan
ii. Soalan-soalan yang dikemukakan
iii. Aktiviti-aktiviti pembelajaran
iv. Kokurikulum
KBAT dalam Tugasan
KBAT dalam Tugasan
Tugasan biasanya diberikan dalam kumpulan. Tugasan itu boleh juga dalam bentuk individu yang dianggap sebagai projek murid berkaitan dengan kandungan pembelajaran guru. Tugasan itu juga bolehlah penghasilan sesuatu produk atau hasil yang bersifat masa depan, penghasilan baharu, produk yang berbeza dan lain-lain sebagai aktiviti murid di dalam kelas atau sebagai tugasan yang dilakukan di rumah. Untuk memenuhi KBAT, tugasan tersebut hendaklah menggunakan kata kunci yang sesuai mengikut aras yang boleh digunakan oleh guru. Berikut ialah kata kunci yang sesuai digunakan mengikut aras yang dikehendaki seperti dalam Taksonomi Bloom seperti dalam Jadual 2 di bawah ini.
Jadual 2: Contoh-contoh kata kunci soalan mengikut aras
KBAT |
Menilai (evaluating)
|
Mencipta (creating) Bentukkan Cadangkan Ciptakan Berikan saranan Gabungkan Janakan Selesaikan Putuskan Selesaikan Putuskan Rancangkan Rumuskan Sediakan Hasilkan Sintesiskan |
Mengaplikasi (Applying) Bina Gambarkan gunakan Kemukakan Kira Laksanakan Selesaikan Simulasikan Sesuaikan Terapkan Tunjukkan |
Menganalisis (Annalysing) Banding beza Bandingkan Bezakan Buat analisis Buat eksperimen Buat inferens Buat kiraan Buat hitungan Cerakinkan Diagnosiskan Diskriminasikan Ilustrasikan Kategorikan Modelkan Perincikan Rangkakan Teliti Periksa |
KBAR | Mengingat (remembering) Kenal pasti Labelkan Namakan Nyatakan Padankan Pasangkan Pilihkan Sebutkan Senaraikan Tandakan |
Memahami (understanding) Huraikan Jelaskan Terangkan Terjemahkan Tulis semula Hitungkan Simpulkan |
Sumber: KPM (2016)
Contoh-contoh tugasan:
1. “Think of an idea to change our world – and put it into ACTION!
(Tugasan yang diberikan oleh seorang guru dalam sebuah filem Hollywood bertajuk Pay It Forward).
2. Hasilkan satu kiub untuk mengajar guru-guru tentang panduan penghasilannya dan kemudian kumpulan anda diminta memuat naik panduantersebut dalam Youtube.
3. Hasilkan sebuah topeng untuk aktiviti lakonan mengikut kreativiti anda.
4. Ciptakan lipatan atau origami untuk menghasilkan mana-mana bentuk atau imej yang dapat dikaitkan dengan tema kasih sayang yang akan kita pelajari pada minggu depan.
5. Anda dikehendaki menemu bual guru di sekolah anda tentang cara-cara menggunakan masa dengan bijak di sekolah. Selepas itu anda diminta merumuskan hasil dapatan dan pengalaman tersebut untuk dikongsikan dengan rakan-rakan anda di perhimpunan sekolah.
KBAT dalam Soalan
KBAT dalam Soalan-soalan yang Dikemukakan
Elemen-elemen KBAT juga boleh diterapkan melalui soalan-soalan yang dikemukakan kepada murid-murid yang boleh membangunkan tahap pemikiran seperti yang terdapat dalam taksonomi Bloom.
Contohnya, seperti Jadual 3 di bawah.
Jadual 3: Soalan-soalan yang membangunkan tahap pemikiran Bloom
Aras Pemikiran dan Penyoalan |
Penerangan |
Bahasa pemikiaran |
Soalan pemula |
|
Soalan kompleks |
Mencipta |
Gabungkan maklumat untuk mencipta sesuatu yang baharu |
Mereka bentuk, emncipta, menambah baik, merancang, membina, menggubah |
Bagaimanakah kitab oleh mereka bentuk? Bolehkah kita menambah? Apa yang akan berlaku jika |
Menilai |
Membuat pertimbangan dan penilaian untuk membuat kesimpulan |
Menentukan kedudukan, menyimpul, menilai, mentaksir, menentukan |
Mengapa anda berfikir tentang…? Mengapa anda sua ini…? Apakah yang terbaik…? |
|
Menganalisis |
Pecahkan kepada bahagian yang lebih kecil – meneliti secara lebih mendalam dan memahami perhubungan |
Membanding beza, mengelas, menyusun, meneliti, menganalisis |
Bagaimana mereka sama/berbeza? Bagaimana ia berfungsi…? Apakah bukti…? |
|
Mengaplikasi |
Mengaplikasikan pengetahuan kepada situasi atau pengalaman baharu |
Menunjukkan, menggunakan, mengaplikasi, membina, menggambarkan |
Apakah contoh-contoh lain yang anda tentang ini? |
|
Soalan mudah |
Memahami |
Mengungkap semula dan mentaksir untuk menunjukkan pemahaman |
Menyatakan semula, menerangkan, mentafsir, menterjemah, merumus |
Apakah maknanya? Apakah kegunaannya? Bolehkah anda terangkan? |
Mengingat |
Jawapan berfakta, mengingat semula dan mengenal |
Mengulangi, menamakan, mengingat semula, menyatakan, menyenaraikan |
Siapakah? Apakah? Di manakah? Apabila? Yang manakah…? |
Sumber: KPM (2017)
Selain itu, soalan-soalan lisan boleh diaplikasikan dengan menggunakan satu daripada Alat Berfikir Cemerlang iaitu SMB iaitu akronim untuk Soalan Mendaki Bukit. Soalan-soalan yang dihasilkan adalah berdasarkan aras Taksonomi Bloom yang biasa digunakan untuk membina sesuatu instrumen. Aras-aras ini sebagai panduan kepada guru apabila berinteraksi atau bertanya kepada murid-murid tentang sesuatu tema dan secara tidak langsung aras pemikiran murid semakin meningkat.
Selain itu, aktiviti kemahiran menulis juga boleh diaplikasikan dengan meminta murid dalam kumpulan menghasilkan soalan-soalan mendaki bukit. Dengan ini, guru juga dapat melatih murid-murid mesra dengan soalan KBAT malah menghasilkan soalan KBAT. Aras taksonomi Bloom (Semakan 2001) adalah seperti di bawah:
Rajah 3: Soalan-soalan daripada rendah ke tinggi seperti mendaki bukit
Berikut ialah contoh-contoh penggunaan SMB melalui penghasilan soalan yang boleh digunakan oleh guru atau murid mengikut kesesuaian aktiviti di dalam bilik darjah. Soalan-soalan tersebut dicadangkan bermula dengan yang mudah iaitu aras mengingat dahulu sebagai soalan “memanaskan badan”. Kemudian diikuti dengan soalan yang menguji pemahaman seseorang murid tentang sesuatu idea, pengetahuan atau fenomena sama ada yang telah diketahui oleh mereka atau sesuatu yang terdapat dalam petikan. Kemudian diikuti soalan mengaplikasi yang lebih menjurus kepada penggunaan atau bagaimana sesuatu itu dilaksanakan iaitu peringkat mengaplikasi. Murid kemudian bolehlah diminta untuk menganalisis sesuatu idea, tema atau fenomena itu dengan cara membanding beza sebelum mereka diajukan soalan yang bersifat penilaian. Pada bahagian menganalisis dan menilai inilah kemahiran berfikir dilaksanakan dengan secara kritis apabila murid mula mencerakin, menganalisis dan menilai sesuatu persoalan yang dikemukakan. Akhir sekali, guru tanyalah soalan aras mencipta. Dengan ini cabaran murid berfikir lebih tinggi untuk menghasilkan resolusi terhadap sesuatu isu atau fenomena berdasarkan soalan tersebut dapat dilaksanakan. Begitulah cara menghasilkan soalan daripada soalan aras bawah, menaik ke atas seolah-olah mendaki bukit. Itulah sebabnya alat berfikir ini dinamakan sebagai Soalan Mendaki Bukit. Contoh penggunaan alat berfikir ini dapatlah dijelaskan seperti di bawah ini berdasarkan jadual pengurusan yang tersebut.
Jadual 4: ABC 3 - Soalan Mendaki Bukit (SMB) / Taksonomi Kognitif
Peringkat / Aras Taksonomi Bloom |
Objektif pertanyaan |
Contoh soalan |
MENCIPTA |
Menghasilkan /mencipta PAL (Punca, Akibat, Langkah) |
Sekiranya anda bekerja di sebuah syarikat pengiklanan, cadangkan warna tema yang sesuai untuk mempromosikan tempat letak kenderaan untuk pelanggan anda. Berikan justifikasi anda.
|
MENILAI |
Menilai PAL (Punca, Akibat, Langkah) |
Sejauh manakah anda bersetuju bahawa semua bangunan di Malaysia dicat dengan menggunakan warna hijau?
|
MENGANALISIS |
Perbezaaan / banding beza |
Buat analisis warna tentang kumpulan warna gelap dengan kumpulan warna cerah.
|
MENGAPLIKASI |
Bagaimana? (cara/ proses) |
Tunjukkan cara penghasilan warna hijau.
|
MEMAHAMI |
Kenapa (sebab + akibat)? |
Kenapa awak suka menggunakan baju berwarna biru? |
MENGINGAT |
Apa, siapa, bila, mana (ASBM?) |
Pen ini berwarna apa? (guru menunjukkan sebatang pen berwarna hijau) |
Berikut ialah contoh lain berdasarkan satu tema atau tajuk – “botol air”.
a. Apakah nama benda ini? (aras mengingat)
b. Kenapa benda ini diperlukan? (aras memahami)
c. Bagaimanakah cara minum air yang sopan? (aras mengaplikasi)
d. Apakah perbezaan botol plastik dengan botol kaca? (aras menganalisis)
e. Penggunaan botol sebagai bekas minuman tidaklah relevan lagi. Berikan justifikasi anda. (aras menilai)
f. Cadangkan caracara untuk menghasilkan air jika dunia dilanda kemarau yang teruk secara berterusan dalam tempoh yang lama. Cadangkan penggunaan lain untuk botol selain digunakan sebagai bekas minuman dan buat justifikasinya (aras menilai & mencipta)
KBAT dalam Aktiviti Pembelajaran
KBAT dalam Aktiviti Pembelajaran
Elemen KBAT juga boleh diterapkan melalui aktiviti di dalam kelas. Contohnya, guru boleh menggunakan Alat Berfikir Cemerlang SJS. SJS ialah akronim untuk Semua Jadi Satu. SJS ialah alat berfikir yang disesuai melalui konsep yang dibawa oleh Steve Jobs dalam mempromosikan produk-produk keluaran Apple.
Dalam penghasilan i-Phone, beliau mengemukakan idea telefon pintar yang berfungsi bukan sekadar telefon untuk membuat panggilan, malah lebih daripada itu. Semuanya terangkum sekali dengan pelbagai fungsi seperti yang ada dalam telefon pintar sekarang. SOLO pula ialah taksonomi SOLO yang menjelaskan tentang tahap peningkatan kerencaman dalam proses seseorang murid memahamkan sesuatu perkara yang dibina oleh Biggs dan Collin (1982), di dalam KPM (2013).
Berdasarkan Taksonomi SOLO, murid memahami sesuatu mengikut tahap yang bermula dengan tahap prestruktural, diikuti tahap-tahap berikut iaitu unistruktural, multistruktural, relational, dan akhir sekali abstrak lanjutan. Berdasarkan konsep “semua dalam satu” dan idea tentang proses pemahaman seseorang daripada peringkat yang kecil sehingga membentuk satu konsep, maka SJS ini terbentuk.
Daripada dapatan ini, SJS terbentuk bagi menghasilkan aktiviti di dalam kelas sama ada guru berinteraksi secara lisan melalui soal jawab atau guru membuat aktiviti berdasarkan langkah-langkah yang dicadangkan di atas daripada peringkat yang mudah sehinggalah di peringkat pembentukan konsep baharu.
Dengan ini, ABC 4 SJS ini akan mengarahkan murid ke arah berfikir secara konsepsual yang sangat jelas sehinggalah murid berjaya membentuk konsep baharu daripada pemahaman mereka terhadap konsep yang sedia ada. Berikut ialah contoh ABC 4 SJS seperti dalam Jadual pengurusan di bawah.
Jadual 5: ABC 4- Semua Jadi Satu (SJS)
Struktur Pemaha-man |
APA? Peringkat hendak memper-kenalkan idea |
SATU IDEA Menyata-kan idea awal / satu idea |
BANYAK IDEA Menyena-raikan idea-idea lain |
BUAT KAITAN/ HUBUNG-AN ANTARA IDEA |
HASILKAN IDEA BAHARU BERDASAR-KAN KAITAN TERSEBUT |
Soalan / Aktiviti |
Tayangan sedutan idea tentang cerita Cicak Man |
Siapakah watak utama dalam cerita tersebut? |
Berikan watak-watak adiwira yang pernah anda tonton. |
Nyatakan ciri-ciri / sifat-sifat yang kebanyak-annya dimiliki oleh adiwira ini. |
Pada pendapat anda, cadangkan watak utama adiwira abad ke-21.
Filem-filem sekarang harus menampilkan watak hero versi Asia. Cadangkan ciri-ciri tersebut. |
Jawapan |
Adiwira |
Cicak Man |
Superman Spiderman Iron Man Batman |
Bijak Kuat Kacak Berani dll
|
(Murid akan mencadang idea tentang ciri-ciri adiwira tersebut, tetapi dalam konsep baharu - adiwira versi Asia.) |
Alat SJS diharap dapat melatih seseorang murid itu menjadi lebih kritis dan kreatif, dan akhir sekali, perkara atau ilmu yang dipelajari oleh mereka berjaya membimbing mereka mencipta konsep baharu dalam kehidupan manusia sekarang.
Guru yang kreatif boleh mengambil beberapa aspek atau input-input atau tajuk-tajuk dalam mata pelajaran yang diajar dan boleh diaplikasikan secara lisan mahupun secara lebih sistematik melalui aktiviti kumpulan berdasarkan jadual pengurusan yang diberikan.
{KBAT dalam Aktiviti Kokurikulum}
Menurut Maznah (2015), setiap sekolah perlu menunjukkan satu komuniti pembelajaran profesional untuk membantu guru membudayakan KBAT dalam pembelajaran, pengajaran dan pentaksiran disokong oleh lima aktiviti iaitu:
1. Pengajaran bersama-sama rakan
2. Tunjuk cara dalam pengajaran
3. Sistem sokongan rakan sekerja
4. Pengkongsian pintar antara komuniti sekolah dengan komuniti di luar sekolah
5. Pengajaran secara kolaboratif
Kurikulum |
|
Kokurikulum |
|
Keberhasilan Murid |
· KBSR · KSSM |
⇒ |
· Kelab / Persatuan · Pasukan Badan Beruniform · Sukan dan permainan
|
⇒ |
· Pengetahuan · KEMAHIRAN BERFIKIR · Kemahiran dwibahasa · Kemahiran memimpin · Etika dan kerohanian · Indentiti Nasional
|
Rajah 3: Kaitan kurikulum, kokurikulum, dan keberhasilan murid
Sememangnya penerapan KBAT dalam kurikulum dapat dilakukan tetapi perlu dibimbing oleh guru. Umpamanya, dalam pertandingan berbahasa sekarang ini, kita lihat guru banyak membuat sesuatu di belakang tabir. Hakikatnya, ada ketika pertandingan seumpama itu adalah pertandingan antara guru dengan guru, bukan antara murid dengan murid. Murid hanya alat semata-mata untuk merealisasikan gagasan guru. Walaupun tidak semuanya berlaku tetapi pemikiran konvensional ini masih ada dalam kalangan sekolah yang mengambil bahagian seperti daalam Jadual 6 di bawah ini.
Jadual 6: Pemikiran konvensional dalam aktiviti pertandingan
Pemikiran konvensional |
|
Guru buat skrip |
Murid ikut skrip |
Guru hasilkan idea |
Murid akur dengan idea |
Guru pemikir |
Murid ikut apa yang guru fikir |
Guru perancang |
Murid pelaksana |
Guru buat skrip pidato/syarahan/bahas dll |
Murid hafal skrip pidato/syarahan/bahas dll |
Guru mempunyai autoriti membuat keputusan dan menyelesaikan masalah |
Murid mengikut keputusan / tidak membuat keputusan/ tidak menyelesaikan masalah sendiri |
Kalau dalam pertandingan berbalas pantun, guru sepatutnya memberi tugasan dan biarkan mereka yang merancang sehinggalah ke peringkat penghasilan atau output (pertandingan). Guru hanya menjadi pembimbing dan mencadangkan idea, dan mereka perlu melatih pelajar untuk menilai idea guru. Dengan ini murid belajar melalui proses sehingga ke aras menilai (C5), dan mencipta (C6) seperti dalam Rajah 4.
Rajah 4: Aras menilai (C5), dan mencipta (C6)
Contohnya lain ialah pertandingan perbahasan. Tajuknya ialah:
“Hang Jebat ikon generasi baharu berbanding Hang Tuah”
Kalau kita lihat dalam aras yang telah ditetapkan ialah murid itu sepatutnya:
- Tahu apa yang dibuat
- Faham tajuk tersebut
- Dapat mengaplikasikan tajuk dalam situasi lain
- Dapat menganalisis idea tersebut dalam pelbagai dimensi
- Mampu menilai dan mempunyai strategi untuk membuat bidasan
- Menghasilkan idea-idea melalui brainstorming untuk membentuk resolusi /strategi sekiranya sesuatu isu itu dibangkitkan atau mematahkan hujah lawan
Kalau dalam sesuatu pertandingan, kita lihat sesebuah sekolah sahaja yang menang kerana gurunya, bukan kerana muridnya. Semua aspek atau peringkat yang dinyatakan di atas itu perlu dilakukan oleh murid, bukan guru.
Dengan perkataan lain, pembelajaran tersebut sepatutnya dalam sesuatu pertandingan itu hendaklah berpusatkan murid, bukan guru.
Pemikiran konvensional masih berlaku kerana guru tidak memberi autoriti kepada murid mereka untuk memahami sendiri tajuk, mengaplikasi, menganalisis, menilai, dan menciptanya.
Adakah kita bangga kemenangan sesebuah sekolah itu kerana kuatnya hafalan mereka ketika bertanding dalam pidato (mengingat), tetapi tidak melatih murid berfikiran lebih kritis dan kreatif.
Oleh itu, elakkan daripada menjadikan murid itu alat untuk “memuntahkan” idea guru yang tinggi falsafahnya, tetapi murid sendiri tidak belajar untuk menjadi “ahli falsafah.”
Kesimpulan
Kesimpulan
Alat terbaik untuk menyelesaikan masalah kita ialah otak kita sendiri. Penyelesaian masalah bermula dengan pemikiran yang jelas. Pemikiran yang asas ialah pemikiran saintifik dan kreatif (Mackall, 2003).
Tidak kira apa sahaja jenis pemikiran yang kita gunakan, segala-galanya bergantung kepada tujuan kita sama ada untuk mengasah pemikiran seseorang pada tahap rendah ataupun tahap tinggi.
Secara tidak langsung pembelajaran murid sama ada dari soalan, tugasan atau aktiviti yang dilaksanakan di dalam darjah akan menentukan peringkat mana pemikiran pelajar itu hendak dibawa.
Oleh itu, kemahiran berfikir aras tinggi perlu dikuasai oleh seseorang guru tersebut dengan lebih mendalam dan jelas agar pengaplikasian KBAT dapat dilaksanakan mengikut standard kurikulum yang telah ditetapkan.
Dengan yang demikian, kita berharap akan dapat melahirkan murid-murid kelas pertama yang kritis dan kreatif pemikiran mereka.
*****
RUJUKAN
Dandi Daley Mackall. (2003). Problem Solving. New Delhi: Viva Books Private Limited.
Institut Pendidikan Guru Malaysia. (2017). Panduan Latihan Kursus i-THINK Bersemuka. Cyberjaya: IPGM.
Institut Pendidikan Guru Malaysia. (2016). Buku Panduan Pentaksiran. Cyberjaya: IPGM.
Kementerian Pendidikan Malaysia. (2015, Mac). KBAT (Kemahiran Berfikir Aras Tinggi) Cabar Minda Pelajar. Mingguan Malaysia, pp. 1-16.
Kementerian Pendidikan Malaysia.(2013). Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 (Pendidikan Prasekolah hingga Lepas Menengah). Putrajaya: KPM.
Kementerian Pendidikan Malaysia.(2016). Kurikulum Standard Sekolah Rendah Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan - Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran Tahun 1. Putrajaya: KPM, BPK.
Lembaga Peperiksaan KPM.(2013). Pentaksiran Kemahiran Berfikir Aras Tinggi. Kuala Lumpur: LPKPM.
Muhaimi Suhaili.(2017). Apabila Dron Mendarat Di Dalam Bilik Darjah - Ekslplorasi Bahasa dan Inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Kota Samarahan: Jabatan Pengajian Melayu, IPGKTAR.