Alat Berfikir Cemerlang (ABC)
Mukadimah
Oleh Muhaimi Suhaili
ABC ialah akronim untuk Alat Berfikir Cemerlang© yang dihasilkan untuk membantu guru-guru melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.
Alat berfikir ini sesuai digunakan untuk semua mata pelajaran untuk menjadikan murid-murid berfikir lebih kritis dan kreatif.
Guru-guru boleh menggunakannya secara lisan atau menggunakan jadual pengurusan aktiviti yang perlu disediakan.
Berikut ialah tujuh alat berfikir ini yang cuba saya kongsikan bersama-sama.
ANDA JUGA BOLEH AKSES MODUL PEMBELAJARAN ABC MELALUI PAUTAN DI BAWAH INI: |
https://docs.google.com/presentation/d/15XOR9ovKBqmu214JqwL3RysLH7M1BqQQzpkIAYUh0vA/edit?usp=sharing |
ABC 1: TAG
Alat Berfikir Cemerlang 1: TAG©
Sumber imej: themuslimtimes.info
TAG ialah akronim untuk Teka-teki Al-Ghazali. Teknik ini adalah berdasarkan teka-teki Al-Ghazali seperti mana sesi dialog dengan anak-anak muridnya. Ketika pertanyaan ini dilontarkan, Al-Ghazali mengemukakan soalan yang berbentuk teka-teki.
Kebanyakan jawapan yang dijangka daripada muridnya biasanya yang tersurat. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa melatih murid untuk menjawab sesuatu yang lain daripada tersurat atau sesuatu yang dilihat atau difikir secara permukaan sahaja.
Teknik penyoalan ini menyasarkan murid supaya berfikir di luar sempadan dengan melihat perkara “yang tidak nampak” sebagai sasaran pembelajaran pula. Hal ini kerana kebanyakan murid akan menyasarkan jawapan yang betul dan nampak sahaja, manakala jawapan tersirat di sebaliknya sentiasa diabaikan. Dengan menggunakan teknik TAG ini, murid-murid akan dilatih untuk menjangkaui jawapan di luar imaginasi mereka.
Jadual ABC 1: Teka-teki Al-Ghazali (TAG) [Model penyoalan lisan / Komunikasi]
Soalan Ekstrem | Tersurat | Tersirat (Sasaran/Jawapan Pembelajaran | Pembuktian (Fakta, kejadian, pengalaman dll | Pengajaran/ Iktibar/ Implikasi |
Apakah benda yang paling ringan | 1. Kapas 2. Angin 3. Udara |
Meninggalkan solat | Surah? Fakta Kejadian yang berlaku sekarang |
Positif: Kita hendaklah... Negatif: Kita janganlah... |
Paling putih? | ||||
Paling panas? | ||||
Paling hitam? |
Berdasarkan jadual di atas, bolehlah dijadikan panduan kepada guru untuk melaksanakannya. Contoh soalan Al-Ghazali kepada anak-anak muridnya tentang soalan:
1. Apakah benda yang paling jauh? (Jawapan sasaran [tersirat]: masa yang kita tinggalkan)
2. Apakah benda yang paling dekat? (Jawapan sasaraan [tersirat]: kematian)
3. Apakah benda yang paling ringan? (Jawapan sasaran [tersirat]: meninggalkan solat)
4. Apakah benda yang paling berat? (Jawapan sasaran [tersirat]: amanah yang kita pegang)
5. Apakah benda yang paling besar? (Jawapan sasaran [tersirat]: nafsu)
6. Apakah benda yang paling tajam? (Jawapan sasaran [tersirat]: lidah manusia)
Untuk soalan 1 umpamanya, murid mungkin akan menjawab bulan, matahari, bintang dan sebagainya. Biasanya mereka akan menjawab sesuatu yang biasa dilihat oleh pancaindera “permukaan” sahaja. Guru harus memberitahu bahawa jawapan itu betul, tetapi jawapan yang tersirat diberi guru ialah masa yang kita tinggalkan. Jawapan ini ialah jawapan yang menjadi sasaran.
Selepas itu, guru memberi justifikasi atau kewajaran jawapannya tentang masa yang berlalu akan bertambah jauh untuk kita tinggalkan. Selepas itu, guru pula bertanya dengan pengajaran atau iktibar daripada peristiwa itu. Contohnya, kita hendaklah sentiasa menghargai masa yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T kepada kita. Yang ini pengajaran yang mengambil aspek positif.
Kita janganlah membuang masa yang ada dengan melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Yang ini pula mengambil iktibar daripada sifat-sifat negatif yang kita lakukan tentang masa.
Guru-guru boleh bertanya secara lisan atau aktiviti dalam kumpulan bagi melengkapkan soalan melalui jadual ABC ini. Murid-murid boleh berkolaboratif dalam kumpulan untuk mencipta jawapan dan seterusnya memberi penilaian dan justifikasi jawapan mereka. Di sini kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis berlaku. Kaedah ini bolehlah disesuaikan mengikut keadaan.
ABC 2: MAL
Alat Berfikir Cemerlang 2: MAL©
MAL ialah akronim untuk Metafora dan Analogi Luqman. Nama ini sekadar mengambil inspirasi daripada Luqman iaitu tokoh dalam Al-Quran yang banyak menggunakan metafora dan analogi untuk menyatakan sesuatu.
Tokoh ini sangat terkenal dengan kebijaksanaannya hingga digelar sebagai Luqman Al-Hakim. Kata-kata nasihat beliau sebagai ayah sangat popular dengan ungkapan yang jelas dan tajam, selain menggunakan metafora dan analogi. Daripada buku-buku tentang Luqman, terdapat kata bijak pandai yang menggunakan unsur metafora dan analogi ini.
Rajah: ABC 2: Metafora dan Analogi Luqman (MAL)
Berdasarkan rajah di atas, metafora dan analogi dapat dibahagikan kepada empat kategori.
1. Konkrit kepada abstrak (metafora)
2. Abstrak kepada konkrit (metafora)
3. Konkrit kepada konkrit (analogi)
4. Abstrak kepada abstrak(analogi)
Dalam pengajaran bahasa umpamanya, elemen KOMSAS banyak menggunakan gaya bahasa metafora dan analogi, tetapi murid kurang memahami asas pembentukan frasa tersebut hingga ke peringkat memberi makna yang tepat. Selain itu, dalam mata pelajaran Kesusasteraan Melayu juga banyak menggunakan gaya bahasa di atas yang perlu dikuasai oleh murid.
Metafora
Konkrit kepada Abstrak
Konkrit | Makna | Abstrak | Makna | Makna bersepadu sesuai dengan konteks |
pelabuhan | tempat kapal berlabuh | rindu | perasaan yang sangat ingat akan seseorang atau sesuatu | Tempat sementara untuk melepaskan rindu |
pintu | hati |
Konkrit → Abstrak = pelabuhan+rindu, pintu+hati
Abstrak kepada Konkrit
Abstrak | Makna | Konkrit | Makna | Makna bersepadu sesuai dengan konteks |
semangat | keinginan yang tinggi | harimau | kuat dan rakus | Semangat yang kuat dan tinggi untuk mendapat sesuatu |
cinta | mumtaz |
Abstrak → Konkrit = semangat+harimau, cinta Mumtaz
Analogi
Abstrak kepada Abstrak
Abstrak | Kata Pemeri | Abstrak |
cinta | ialah | persahabatan |
Abstrak → Abstrak = Cinta ialah persahabatan
Konkrit kepada Konkrit
Konkrit | Kata Pemeri | Konkrit |
Kepala kereta api | ialah | pemimpin |
gerabak | ialah | pengikut-pengikutnya |
Konkrit → Konkrit = Kepala kereta api ialah pemimpin, manakala gerabaknya ialah pengikutnya
Guru-guru perlulah membimbing murid menggunakan jadual pengurusan yang diberikan itu dan melatih murid mencari makna sesuatu metafora dalam sesuatu wacana terutamanya dalam kajian kesusasteraan Melayu umpamanya. Selain itu, murid-murid boleh juga mencipta metafora dan analogi mereka sendiri dan meminta murid lain mencari makna di sebalik frasa tersebut. Dengan ini murid-murid lebih banyak mencipta idea sendiri di samping mereka menilai dan menganalisis makna yang dicadangkan itu. Di sinilah pemikiran kritis dan kreatif berlaku.
ABC 3: SMB
Alat Berfikir Cemerlang 3: SMB©
SMB ialah akronim untuk Soalan Mendaki Bukit. Soalan-soalan yang dihasilkan adalah berdasarkan aras Taksonomi Bloom yang biasa digunakan untuk membina sesuatu instrumen. Aras-aras ini sebagai panduan kepada guru apabila berinteraksi atau bertanya kepada murid-murid tentang sesuatu tema dan secara tidak langsung aras pemikiran murid semakin meningkat.
Kemahiran yang sangat sesuai ialah kemahiran bertutur dan mendengar, dan aras-aras tersebut sebagai idea kepada guru untuk menanyakan soalan yang bermula daripada soalan yang mudah menjadi soalan yang sukar.
Murid-murid kalau diajar tentang aras dan bagaimana hendak menghasilkan soalan berdasarkan aras untuk meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi secara berperingkat.
Selain itu, aktiviti kemahiran menulis juga boleh diaplikasikan dengan meminta murid dalam kumpulan menghasilkan soalan-soalan mendaki bukit. Dengan ini, guru juga dapat melatih murid-murid mesra dengan soalan KBAT malah menghasilkan soalan KBAT.
Aras taksonomi Bloom yang disemak semula oleh Anderson & Krathwohl (2001) adalah seperti rajah di bawah:
Berikut ialah contoh-contoh penggunaan SMB melalui penghasilan soalan yang boleh digunakan oleh guru atau murid mengikut kesesuaian aktiviti di dalam bilik darjah. Soalan-soalan tersebut dicadangkan bermula dengan yang mudah iaitu aras mengingat dahulu sebagai soalan “memanaskan badan”.
Kemudian diikuti dengan soalan yang menguji pemahaman seseorang murid tentang sesuatu idea, pengetahuan atau fenomena sama ada yang telah diketahui oleh mereka atau sesuatu yang terdapat dalam petikan. Kemudian diikuti soalan mengaplikasi yang lebih menjurus kepada penggunaan atau bagaimana sesuatu itu dilaksanakan iaitu peringkat mengaplikasi.
Murid kemudian bolehlah diminta untuk menganalisis sesuatu idea, tema atau fenomena itu dengan cara membanding beza sebelum mereka diajukan soalan yang bersifat penilaian. Pada bahagian menganalisis dan menilai inilah kemahiran berfikir dilaksanakan dengan secara kritis apabila murid mula mencerakin, menganalisis dan menilai sesuatu persoalan yang dikemukakan.
Akhir sekali, guru bolehlah menanyakan soalan aras mencipta. Dengan ini cabaran murid berfikir lebih tinggi untuk menghasilkan resolusi terhadap sesuatu isu atau fenomena berdasarkan soalan tersebut dapat dilaksanakan.
Begitulah cara menghasilkan soalan daripada soalan aras bawah, menaik ke atas seolah-olah mendaki bukit. Itulah sebabnya alat berfikir ini dinamakan sebagai Soalan Mendaki Bukit.
Aktiviti ini bukan sahaja sesuai digunakan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, malah untuk subjek-subjek lain juga. Contoh penggunaan alat berfikir ini dapatlah dijelaskan seperti di bawah ini berdasarkan jadual pengurusan yang tersebut.
Jadual Pengurusan ABC 3: Soalan Mendaki Bukit (SMB) / Taksonomi Kognitif
Peringkat / Aras Taksonomi Bloom |
Objektif pertanyaan |
Contoh soalan |
MENCIPTA |
Menghasilkan /mencipta PAL (Punca, Akibat, Langkah) |
Sekiranya anda bekerja di sebuah syarikat pengiklanan, cadangkan warna tema yang sesuai untuk mempromosikan tempat letak kenderaan untuk pelanggan anda. Berikan justifikasi anda.
|
MENILAI |
Menilai PAL (Punca, Akibat, Langkah) |
Sejauh manakah anda bersetuju bahawa semua bangunan di Malaysia dicat dengan menggunakan warna hijau?
|
MENGANALISIS |
Perbezaaan / banding beza |
Buat analisis warna tentang kumpulan warna gelap dengan kumpulan warna cerah.
|
MENGAPLIKASI |
Bagaimana? (cara/ proses) |
Tunjukkan proses atau cara penghasilan warna hijau tersebut.
|
MEMAHAMI |
Kenapa (sebab + akibat)? |
Kenapa campuran warna kuning dan biru dapat menghasilkan warna hijau?
|
MENGINGAT |
Apa, siapa, bila, mana (ASBM?) |
Pen ini berwarna apa? (guru menunjukkan sebatang pen berwarna hijau) |
Berikut ialah contoh lain berdasarkan satu tema atau tajuk – “botol air”.
a. Apakah nama benda ini? (aras mengingat)
b. Kenapa benda ini diperlukan? (aras memahami)
c. Bagaimanakah cara minum air yang sopan? (aras mengaplikasi)
d. Apakah perbezaan botol plastik dengan botol kaca? (aras menganalisis)
e. Penggunaan botol sebagai bekas minuman tidaklah relevan lagi. Berikan justifikasi anda. (aras menilai)
f. Cadangkan penggunaan lain untuk botol selain digunakan sebagai bekas minuman. (aras mencipta)
ABC 4: SJS
Alat Berfikir Cemerlang 4: SJS©
Sumber imej: inc.com
SJS ialah akronim untuk Semua Jadi Satu. SJS ialah alat berfikir yang disesuai melalui konsep yang dibawa oleh Steve Jobs dalam mempromosikan produk-produk keluar Apple.
Dalam penghasilan i-Phone, beliau mengemukakan idea telefon pintar yang pertama di dunia iaitu berfungsi bukan sekadar telefon untuk membuat panggilan, malah lebih daripada itu.
Semuanya terangkum sekali dengan pelbagai fungsi seperti yang ada dalam telefon pintar sekarang.
SOLO pula ialah taksonomi SOLO yang menjelaskan tentang tahap peningkatan kerencaman dalam proses seseorang murid memahamkan sesuatu perkara yang dibina oleh Biggs dan Collin (1982).
Berdasarkan Taksonomi SOLO, murid memahami sesuatu mengikut tahap yang bermula dengan tahap prastruktural, diikuti tahap-tahap berikut iaitu unistruktural, multistruktural, relational, dan akhir sekali abstrak lanjutan.
Berdasarkan konsep “semua dalam satu” dan idea tentang proses pemahaman seseorang daripada peringkat yang kecil sehingga membentuk satu konsep, maka SJS ini terbentuk.
Daripada dapatan ini, SJS terbentuk bagi menghasilkan aktiviti di dalam kelas sama ada guru berinteraksi secara lisan melalui soal jawab atau guru membuat aktiviti berdasarkan langkah-langkah yang dicadangkan di atas daripada peringkat yang mudah sehinggalah di peringkat pembentukan konsep baharu.
Dengan ini, ABC 4 SJS ini akan melatih murid ke arah berfikir secara konsepsual yang sangat jelas sehinggalah murid berjaya membentuk konsep baharu daripada pemahaman mereka terhadap konsep yang sedia ada. Berikut ialah contoh ABC 4 SJS seperti dalam Jadual pengurusan di bawah.
Jadual Pengurusan ABC 4: Semua Jadi Satu (SJS)
Struktur Pemaha-man |
APA? Peringkat hendak memper-kenalkan idea |
SATU IDEA Menyata-kan idea awal / satu idea |
BANYAK IDEA Menyena-raikan idea-idea lain |
BUAT KAITAN/ HUBUNGAN ANTARA IDEA |
HASILKAN IDEA BAHARU BERDASARKAN KAITAN TERSEBUT |
Soalan / Aktiviti |
Tayangan sedutan idea tentang cerita Cicak Man |
Siapakah watak utama dalam cerita tersebut? (soalan ditanya selepas menonton atau membaca dll0 |
Berikan watak-watak adiwira yang pernah anda tonton atau anda tahu. |
Nyatakan ciri-ciri / sifat-sifat yang kebanyakannya dimiliki oleh adiwira ini. |
1. Pada pendapat anda, cadangkan watak utama adiwira abad ke-21.
2. Filem-filem sekarang harus menampilkan watak hero versi Asia. Cadangkan ciri-ciri tersebut. |
Jawapan |
Adiwira (memperkenalkan idea atau konsep adiwira yang dialami mereka) |
Cicak Man |
Superman Spiderman Iron Man Batman |
Bijak Kuat Kacak Berani dll
|
(Soalan (1), murid boleh mencadangkan idea tentang watak utama adiwira yag bersesuaian dengan abad sekarang ini. Soalan (2), murid boleh mencadangkan ciri-ciri adiwira tersebut, tetapi dalam konsep baharu – adiwira versi Asia.) |
Alat SJS diharap dapat melatih seseorang murid itu menjadi lebih kritis dan kreatif, dan akhir sekali, perkara atau ilmu yang dipelajari oleh mereka berjaya membimbing mereka mencipta konsep baharu dalam kehidupan manusia sekarang. Guru yang kreatif boleh mengambil beberapa aspek atau input atau tajuk dalam mata pelajaran yang diajar dan boleh diaplikasikan secara lisan mahupun secara lebih sistematik melalui aktiviti kumpulan berdasarkan jadual pengurusan yang diberikan.
ABC 5: SAF
Alat Berfikir Cemerlang 5: SAF©
SAF ialah akronim untuk Strategi Al-Fateh. Idea kejayaan Sultan Al-Fateh menakluki Konstantinopel adalah idea yang paling kreatif, tidak masuk akal dan “paling gila”. Setelah pelbagai usaha yang dilakukan untuk menawan Konstantinopel tidak berjaya, akhirnya tercetus idea untuk menarik 70 kapal “belayar” merentasi bukit Galata iaitu dari selat Bosporus ke selat Golden Horn dengan jarak 4.8 kilometer.
Semua berlaku dalam satu malam sahaja! Sejarah terlakar apabila kejayaan memindahkan kapal di daratan pada malam 22 April 1453 itu. SAF mengambil inspirasi daripada kejadian tersebut bandar ini sekarang dikenali sebagai Istanbul, di Turki.
ABC 5: SAF ialah berfikir sesuatu yang berlawanan daripada kebiasaan. Ciri-ciri lain dapatlah dikatakan berfikir secara lawan jam atau pusingan tawaf atau menongkah arus atau berfikir mencabar kebiasaan. Rajah ABC 5: SAF di bawah menunjukkan bahawa anak panah melawan arah jam inilah dinamakan sebagai Strategi Al-Fateh.
Rajah ABC 5: SAF
Apabila guru hendak melaksanakan aktiviti dengan menggunakan SAF ini, berilah satu pernyataan yang berupa persoalan atau isu yang harus diselesaikan.
Guru kemudian membuat provokasi dengan meletakkan SAF pada akhir pernyataan tersebut bagi menandakan bahawa guru mahu murid melakukan idea-idea yang tidak masuk akal. Dalam aktiviti ini nanti pelbagai cadangan penyelesaian masalah yang tidak logik.
Pada peringkat ini, tidak perlu penilaian yang dibuat kerana kita mahu berlaku penjanaan idea. Memberi penilaian awal idea dengan mengemukakan ketidaklogikan idea itu akan mematikan idea. Itulah peraturan yang harus ditekankan di dalam bilik darjah sesuai dengan konsep pemikiran Design Thinking.
Cuba bayangkan sahaja, contoh yang menjadi sejarah, “kapal belayar membelah bukit” - tidak logik bukan? Akan tetapi idea itulah menjadikan idea yang paling praktikal dan benar-benar berkesan menyelesaikan masalah.
Contoh aktiviti yang boleh dilaksanakan dalam pengajaran dan pembelajaran adalah seperti yang dicadangkan di bawah. Marilah kita cari langkah-langkah untuk mengatasi masalah ini dengan menggunakan kaedah SAF.
a. Bagaimanakah kita dapat mengatasi masalah pembalakan haram?SAF?
b. Bagaimanakah cara kita mengatasi masalah kemalangan jalan raya selain menggunakan kaedah yang sedia ada sebelum ini? SAF?
c. Cara-cara supaya rumah sentiasa bersih dan kemas? SAF?
d. Berikan saranan agar dapat menjimatkan penggunaan elektrik. SAF?
e. Langkah-langkah diambil oleh sekolah agar dapat memberi motivasi kepada murid. SAF
f. Cipta satu kaedah untuk melakukan penjarakan sosial ketika dunia dilanda dengan ancaman COVID-19. SAF
ABC 6: LOK
Alat Berfikir Cemerlang 6: LOK©
LOK ialah akronim untuk Logik Khidir. Dalam surah Al-Kahfi, ayat 60 – 82 menceritakan bagaimana Nabi Musa menuntut ilmu dengan Nabi Khidir. Tindakan yang dilakukan oleh Nabi Khidir dalam perjalanan mereka itu adalah sesuatu yang tidak logik sehingga “menewaskan kesabaran” Nabi Musa yang menjadi syarat peristiwa menuntut ilmu itu iaitu:
- Membocorkan perahu
- Membunuh seorang budak
- Mendirikan dinding sebuah rumah
Semua perkara di atas adalah tidak logik dilakukan oleh Nabi Khidir menurut perkiraan Nabi Musa dari segi logiknya. Bayangkan sebelum hendak sampai ke daratan, Nabi Khidir membocorkan perahu yang ditumpangi oleh mereka sendiri.
Apabila sampai ke daratan, Nabi Khidir tiba-tiba membunuh seorang budak iaitu jiwa yang tidak berdosa mengikut perkiraan Nabi Musa, dan yang terakhir sekali ialah mendirikan dinding sebuah rumah iaitu suatu pertempatan yang penduduk kampungnya tidak mahu membantu untuk memberi makanan ketika mereka berdua benar-benar berada dalam keadaan kelaparan.
Walaupun syarat asalnya iaitu Nabi Musa berjanji tidak akan menegur, mempertikai atau memberi komen tentang apa yang berlaku sepanjang perjalanan mereka, kesabaran Nabi Musa tidak dapat dibendung. Beliau menegur tindakan Nabi Khidir sekali gus melanggar syarat.
Sehingga perjalanan terakhir mereka, Nabi Musa telah melanggar syarat lagi dengan memberi maklum balas bahawa mereka sepatutnya mendapat upah daripada tindakan membina dinding sebuah rumah.
Akhirnya, benarlah kata Nabi Khidir pada awalnya bahawa Nabi Musa tidak akan sabar dengan apa yang berlaku ketika “proses menuntut” ilmu ini sebelum memulakan perjalanan mereka lagi.
Pada bahagian akhirnya, sebelum mereka berpisah, Nabi Khidir menjelaskan sebab-sebab tindakan itu iaitu yang pertama, sebab beliau membocorkan perahu tersebut kerana di hadapan mereka ada seorang raja yang zalim akan merampas setiap perahu. Dengan tindakannya itu, akan menyelamat pemilik perahu yang miskin itu dirampas perahunya.
Yang kedua pula, beliau membunuh budak itu kerana apabila anak muda (kafir), dikhuatiri kedua-dua ibu bapanya dipaksa kepada kesesatan dan kekafiran sedang mereka adalah orang mukmin. Allah akan menggantikannya dengan anak lain yang lebih baik kesuciannya dan lebih sayang akan kedua-dua ibu bapanya.
Peristiwa ketiga pula ialah perihal dinding rumah yang didirikan itu ialah milik anak yatim piatu di kota itu, dan di bawahnya tersimpan harta mereka berdua, sedangkan ayahnya seorang yang soleh. Allah menghendaki apabila sudah dewasa mereka berdua akan mengeluarkan simpanannya itu sebagai rahmat daripada-Nya.
Begitulah tindakan yang tidak logik tetapi mempunyai justifikasinya. ABC 6: LOK ialah kita menerima tindakan yang tidak logik itu dengan mencari logik yang tersembunyi daripada tindakan tersebut. Oleh itu, kita mencari justifikasi atau kewajaran tindakan yang tidak logik atau peristiwa atau fenomena yang tidak logik itu.
Guru-guru boleh menyediakan pernyataan yang tidak logik kemudian membuat provokasi dengan meletakkan LOK? pada akhir akhir pernyataan. Berikut ialah contoh aktiviti yang boleh dilaksanakan berdasarkan jadual pengurusan di bawah.
Jadual Pengurusan ABC 6: Logik Khidir (LOK) / Menerima yang tidak logik untuk mencari logik tersembunyi
Tidak Logik* | Mencari justifikasi daripada yang “Tidak Logik” |
Membunuh budak kecil yang tidak berdosa (LOK?) | Apabila besar nanti akan derhaka dan membunuh ibu bapanya |
Membocorkan perahu (LOK?) | Di depannya ada raja yang merampas setiap perahu yang lalu |
Guru dipukul murid (LOK?) | Guru hendak membunuhnya. |
Belajar tanpa pergi ke sekolah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). (LOK?) | Menggunakan Google Classroom dan Google Meet, atau aplikasi lain yang sesuai. |
*Catatan: Sedia situasi / pernyataan /tugasan /soalan yang TIDAK LOGIK dan murid mencari dan membuat andaian yang bersifat justifikasi. |
Contoh lain:
Guru memberi situasi atau pernyataan seperti di bawah agar murid dapat memikirkan andaian yang bersifat justifikasi:
- Semua guru ialah guru perempuan. LOK?
- Kapal terbang terpaksa mendarat di atas gunung. LOK?
- Parkir kenderaan tidak disediakan lagi. LOK?
- Kereta tidak mempunyai tayar. LOK?
- Telefon tidak digunakan lagi. LOK?
- Perempuan sahaja yang bermain bola sepak. LOK?
- Dunia tidak menggunakan internet lagi. LOK?
ABC 7: PAL
Alat Berfikir Cemerlang 7: PAL©
PAL ialah akronim untuk Punca + Akibat + Langkah. Alat berfikir ini membantu meluaskan daerah jangkauan pemikiran murid berasaskan idea yang paling asas. Apabila sesuatu isu atau masalah dikemukakan kepada pelajar, ada tiga perkara asas yang selalu menjadi idea untuk perbincangan iaitu punca masalah tersebut berlaku, kesan daripada masalah tersebut, dan akhirnya, langkah yang harus dilakukan untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Punca juga mempunyai makna lain yang menjadi kata kunci iaitu sebab atau faktor, atau kenapa perkara tersebut berlaku. Akibat pula mempunyai makna lain seperti kesan, implikasi, impak, kebaikan, keburukan, faedah dan manfaat, atau perkataan yang membawa maksud yang sama.
Langkah pula membawa maksud yang sama seperti usaha, pendekatan, alternatif penyelesaian, kaedah, resolusi, cara atau perkataan yang membawa maksud yang sama.
Tiga idea asas inilah yang menjadi kunci dalam pembincangan sesuatu pembelajaran yang berlaku, malah menjadi kata kunci yang digunakan dalam peperiksaan.
Kemahiran menulis isi tersurat dan tersirat terdapat dalam kurikulum sekolah rendah dan menengah. Umpamanya, bahagian membuat ulasan atau rumusan, murid dikehendaki mencari isi-isi tersirat daripada isi tersurat. ABC 7: PAL merupakan alat berfikir yang dapat membantu murid meluaskan zon pemikiran dalam menjanakan idea.
Umpamanya sesuatu pernyataan tersurat boleh dijadikan isi tersirat sama ada punca, akibat mahupun langkah. Seperti biasa, apabila pernyataan diberikan, murid diprovokasikan dengan kata tambatan PAL? Hal ini dapat diperlihatkan seperti contoh jadual pengurusan di bawah:
Jadual Pengurusan ABC 7: PAL [Punca + Akibat + Langkah]
Tersurat | Tersirat PAL |
Dia hamil. PAL? | Dia sudah berkahwin. (PUNCA) |
Cuaca hari ini panas. PAL? | Perniagaan air tebu menguntungkan. (AKIBAT) |
Jumlah guru perempuan semakin meningkat. PAL? | Mungkin orang lelaki tidak berminat menjadi guru. (PUNCA) |
Jumlah sekolah meningkat. PAL? | Murid-murid semakin ramai. (PUNCA) |
Hujan tidak berhenti. PAL? | Perniagaan payung menguntungkan. (AKIBAT) |
COVID-19 semakin merebak. | Kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). (LANGKAH) |
Masalah disiplin semakin meningkat. PAL? | Ibu bapa hendaklah memberi perhatian kepada anak-anak mereka. (LANGKAH) |
Contoh lain, murid diminta membuat ulasan tentang jadual yang diberikan di bawah berdasarkan tugasan yang diberikan kepada murid-murid tahun enam. Murid harus mahir menghasilkan isi tersirat daripada isi tersurat seperti yang dinyatakan dalam jadual di bawah.
Jadual tentang Bilangan Kes Demam Denggi
Bulan | Bilangan |
|
Januari | 30 | |
Februari | 40 | |
Mac | 60 |
Isi-isi yang dicadangkan dalam ulasan tersebut adalah seperti di bawah ini.
Pengenalan | Maklumat yang dipaparkan tersebut adalah tentang kes demam denggi. |
Isi tersurat | Didapati bilangan kes demam denggi meningkat dari bulan Januari hingga Mac 2016. |
Jumlah yang tertinggi ialah sebanyak 60 kes pada bulan Mac. | |
Hal ini membimbangkan semua pihak. (Kesan) | |
Antara puncanya ialah persekitaran yang tidak bersih. (Punca) | |
Selain itu, berpunca daripada air yang bertakung. (Punca) | |
Isi tersirat | Kes demam denggi boleh menyebabkan kematian. (Akibat) |
Kita hendaklah menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes. (Langkah) (Akibat) | |
Kempen tentang bahaya nyamuk aedes perlu diadakan melalui media sosial. (Langkah) | |
Penutup | Kesimpulannya, sentiasalah berhati-hati dengan wabak denggi ini. (Langkah) |
Daripada jadual di atas, murid-murid menulis isi tersurat yang dinyatakan. Bagi isi tersirat pula, murid akan menulis PAL yang mungkin boleh dimasukkan agar memperlihatkan kemahiran mereka menulis isi tersirat.
Berdasarkan contoh jadual di bawah terdapat empat isi tersirat yang dihasilkan (dicondongkan) berdasarkan isi tersurat iaitu satu isi tentang “akibat”, dan tiga untuk isi “langkah”. Isi “punca” pula telah banyak dibincangkan di bahagian isi-isi tersurat.