Oleh Muhaimi Suhaili
Pengenalan
LAPANGAN Terbang Antarabangsa Incheon (ICN) ialah lapangan terbang terbesar di Korea Selatan dan antara yang paling sibuk di dunia.
Fungsinya adalah sebagai hab utama untuk perjalanan antarabangsa dan pintu masuk ke Asia Timur.
Catatan ini memberikan sekilas pandang umum tentang lapangan terbang ini, termasuk sejarahnya, kekuatan dan kekurangan, fakta menarik serta butiran pengangkutan awam.
Sejarah Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon
Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon dibina untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas udara yang semakin meningkat di Lapangan Terbang Antarabangsa Gimpo.
Reka bentuknya menampilkan kemudahan terkini dengan teknologi canggih dan perkhidmatan mesra penumpang.
Kedudukannya di tapak sebuah pulau yang dikenali sebagai Yeongjong iaitu bawah Daerah Jungyang, Incheon yang turut menempatkan kampung kecil, ladang dan pantai yang indah.
ICN dihubungkan dengan sebuah jambatan yang dikenali sebagai Yeongjong yang merentangi Laut Kuning di Korea Selatan dengan panjangnya 4,420 meter menuju ke tanah besar.
Jambatan ini menggabungkan tiga sistem struktur berbeza iaitu bahagian jambatan gantung (550 meter), bahagian jambatan kekuda (2,250 meter), dan bahagian jambatan kotak keluli (1,620 meter).
Pulau-pulau seperti Yongyu, Sammok, dan Sinbul yang terpisah sebelum ini telah digabungkan dengan Pulau Yeongjong dengan tanah tebus guna yang dibina untuk pembinaan lapangan terbang ini.
ICN dibuka pada 29 Mac 2001, selepas hampir lapan tahun setengah pembinaannya yang bermula dengan menambak laut antara Pulau Yeongjongdo dan Pulau Yongyudo pada tahun 1992.
Kelebihan
ICN menawarkan kemudahan cemerlang seperti dua terminal modennya, mempunyai standard kebersihan, pelbagai kemudahan termasuk pilihan membeli-belah, makan dan hiburan.
Lapangan terbang ini terkenal dengan kecekapan operasinya dalam pengendalian bagasi, pemeriksaan keselamatan dan proses imigresen.
Selain itu, ICN menyediakan perkhidmatan pelanggan secara konsisten dengan menerima penilaian tinggi dengan kakitangannya yang mesra dan membantu.
Kelebihan lain ialah akses penghubung ke serata tempat ke Seoul malah ke bahagian lain di Korea Selatan melalui pelbagai pilihan pengangkutan yang cekap.
Penggunaan aplikasi Naver Map banyak membantu dan memberi panduan kepada pengembara untuk pergi dari satu tempat ke tempat yang lain dengan efisiennya.
Kekurangan
Jarak ke Seoul agak jauh dan perjalanan mungkin mengambil masa.
Kedudukannya yang terletak lebih kurang 50 kilometer ke barat Seoul menjadi hambatan kepada pengembara dan urusan pergerakan kerja yang kebanyakannya berpusat di bandar metropolitan Seoul.
Selain itu, kesesakan berlaku terutama perjalanan pada musim puncak dengan kebanjiran pengguna.
Sebagai sebuah negara maju, sedikit banyak akan mempengaruhi kos bagi pengembara dari luar negara khususnya dari negara membangun dengan nilai mata wang yang berbeza serta kos sara hidup yang lebih tinggi.
Oleh itu, sesetengah perkhidmatan di ICN seperti teksi, makan dan membeli-belah adalah mahal.
Sesetengah kes, masalah bahasa turut dialami terutama kalangan pemandu teksi yang tidak boleh bertutur dalam bahasa Inggeris.
Selain itu, bagi pengembara muslim, cabaran untuk mendapatkan makanan halal adalah sangat tinggi.
Fakta Menarik
ICN mempunyai Zon Pengalaman Budaya Korea.
Para pengembara boleh belajar tentang seni dan kraf tradisional Korea.
Lapangan terbang ini mempunyai padang golf, spa dan gelanggang luncur ais.
Pokok-pokok hidup turut menghiasi ruang legar di dalam lapangan terbang.
Kini ICN mempunyai 111 Pintu (Gate) iaitu 44 pintu di Terminal 1, Concource A (disambungkan ke Terminal 1): sebanyak 30 pintu dan Terminal 2 pula ialah 37 pintu.
ICN mempunyai sistem pengendalian bagasi automatik yang merupakan salah satu yang paling maju di dunia.
Oleh sebab itu, ICN telah menerima banyak anugerah kerana menjadi salah satu lapangan terbang terbaik di dunia.
Sejak 2006, ICN telah berturut-turut diberi penilaian sebagai lapangan terbang terbaik di dunia dan menerima penarafan lima bintang penuh oleh Skytrax.
Pengiktirafan berprestij seumpama ini turut dikongsi oleh Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong dan Lapangan Terbang Changi Singapura.
Butiran Pengangkutan Awam
Airport Railroad Express (AREX) di ICN menyediakan dua jenis perkhidmatan iaitu All Stop Train dan Express Train.
Kereta Api Ekspres dengan kelajuan tinggi terus ke Stesen Seoul. Tiket boleh dibeli di lapangan terbang atau dalam talian.
Bas Limosin Lapangan Terbang adalah selesa dengan menyediakan laluan terus ke hotel dan kawasan utama di Seoul.
Tiket boleh dibeli di kaunter maklumat pengangkutan lapangan terbang.
Selain itu, sistem kereta api bawah tanah Seoul adalah luas dan cekap.
Pengembara boleh menaiki AREX ke Stesen Seoul dan kemudian berpindah ke kereta api bawah tanah untuk sampai ke destinasi.
Kad T-money disyorkan untuk memudahkan pembayaran dan pembeliannya boleh dibuat di mesin-mesin di lapangan terbang.
Kad ini bukan sahaja boleh digunakan untuk membayar mana-mana jenis pengangkutan malah untuk membeli makanan dan seumpamanya.
Lebihan dalam kad boleh refund di mana-mana pusat perkhidmatan malah di kedai-kedai storage 24 jam.
Kesimpulannya
ICN dianggap setanding dengan lapangan terbang antarabangsa terkemuka lain dari segi kemudahan, perkhidmatan dan kecekapan.
Lapangan terbang ini secara konsisten berada pada kedudukan tinggi dalam kedudukan lapangan terbang global.
Dengan tumpuan ICN terhadap perkhidmatan pelanggan, teknologi canggih dan kemudahan yang pelbagai, telah membezakannya sebagai lapangan terbang bertaraf dunia.
Oleh sebab itu ICN sentiasa berada di kedudukan antara lapangan terbang teratas di dunia, memenangi pelbagai anugerah untuk kualiti perkhidmatan dan kemudahannya.
Contohnya, ICN telah menduduki tempat pertama di dunia untuk Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (ASQ) selama 12 tahun.
*****