Oleh Muhaimi Suhaili
SYUKURLAH! Ucapan itu saya panjatkan kepada Allah s.w.t., Tuhan Maha Kuasa. Dengan sedikit kekuatan ini, dengan ketentuan-Nya, dan kehendak-Nya, buku Lampu Perjalanan KPPB - IPGKTAR 2021, akhirnya berjaya juga diterbitkan. Saya kira, bab Lampu Perjalanan 11, pada bab terakhir ini ialah rumusan akhir yang dapat dititipkan daripada suara penyelaras KPPB.
Pembelajaran Bermakna
Pada tahun 2019, Ketua Jabatan saya, Jabatan Pengajian Melayu, Dr. Sara Beden mengatakan bahawa ada satu pedagogi baharu yang perlu ambil perhatian, melalui hebahan M3P.
“Pembelajaran Bermakna” katanya. Ketika itu, keterujaan kita ialah pada bentuk pembelajaran abad ke-21 yang menekankan 4C atau 4K, tetapi yang ini menekankan 6C! Dengan perkataan lain, pembelajaran bermakna ini ialah satu rakan kongsi yang bekerja untuk melakukan transformasi terhadap peranan guru sebagai aktivators dengan mencipta pengalaman mereka untuk membina kompetensi global dengan menyelesaikan masalah dalam dunia yang sebenarnya.
Daripada sumber yang saya rujuk ketika itu, pembelajaran bermakna ialah pembelajaran berkualiti yang kekal sepanjang hayat. Terdapat enam kompetensi global yang harus dicapai untuk memperoleh pembelajaran bermakna iaitu sahsiah (character), kewarganegaraan (citizenship), pemikiran kritis (critical thinking), kreativiti (creativity), kolaboratif (collaboration) dan komunikasi (communication).
Dalam laporan New Pedagogies for Deep Learning (NPDL) yang dianggotai oleh Amerika Syarikat, Kanada, Australia, New Zealand, Netherland, Finland dan Uruguay, mereka telah berkongsi tentang pelaksanaan pembelajaran bermakna yang banyak menggunakan kaedah pembelajaran berasaskan projek dengan menjurus kepada pencapaian enam kompetensi global atau 6Cs ini (Fullan, M. Et al. 2018).
Berdasarkan Rajah di bawah, terdapat empat aspek yang menyumbang ke arah Pembelajaran Bermakna iaitu amalan pedagogi, rakan pembelajaran, persekitaran pembelajaran, dan memanfaatkan kemudahan digital.
Dari aspek amalan pedagogi, satu gabungan proses amalan pedagogi dan amalan inovatif yang baharu muncul.
Dengan ini, persekitaran pembelajaran hendaklah membuka ruang dan peluang untuk murid menerokai kehidupan yang sebenarnya melalui aktiviti pembelajaran yang mencabar dan memberi ruang untuk mereka melakukan penerokaan dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan.
Itulah sedikit banyak yang cuba saya rujuk ketika itu. Menurut Fullan, M. et al. (2018), apabila guru memberi lebih banyak pilihan kepada pelajar dan serta memberi peluang untuk menyuarakan sesuatu dengan secara semula jadi, maka hal ini akan membawa kepada komunikasi dan kolaboratif yang baik antara pelajar dan pelajar serta guru.
Hal ini kerana, Pembelajaran Bermakna bersifat hands on dan sangat relevan kepada kehidupan peribadi dan peluang membangunkan rasa kesan yang kuat, perasaan yakin dan kompeten.
Kursus NPDL (ketika itu)
Dr. Sara Beden telah memilih saya untuk mewakili JPM - kerana setiap jabatan hendaklah menghantar calon untuk berkursus. Ketika itu memang minat untuk menekuni NPDL (ketika itu), dan perasaan itu amat mengujakan.
Kami mula berkursus melalui Bengkel NPDL meliputi dua fasa melibatkan Zon Sarawak.
IPG yang terlibat ialah IPG Kampus Tun Abdul Razak, dan IPG Kampus Batu Lintang. Fasa pertama telah diadakan di IPG Kampus Batu Lintang iaitu semua pensyarah yang terlibat bagi kedua-dua IPG tersebut.
Tarikh pelaksanaannya ialah pada 1 hingga 4 April. Fasa kedua pula telah diadakan di IPG Kampus masing-masing iaitu di IPG Kampus Tun Abdul Razak, dan IPG Kampus Batu Lintang. Fasa kedua diadakan pada 14 hingga 16 April 2019.
Lampu Perjalanan
Bermulalah lampu perjalanan sebagai penyelaras KPPB ini di IPGKTAR selepas saya dipilih untuk mengetuai Jawatankuasa NPDL peringkat kampus.
Lampu Perjalanan ialah proses pembelajaran yang berlaku sama ada secara sedar mahupun tidak sedar. Perjalanan tersebut, ada ketikanya agak suram cahaya lampunya, sebelum menjadi lebih terang ke arah satu perjalanan.
Tentulah perjalanan tersebut agak samar-samar cahayanya, malah ada kalanya gelap tanpa panduan. Cahayanya, senantiasa berubah-rubah.
Saya cuba bawa pengalaman IPGKTAR dalam melayari bahtera KPPB yang nakhodanya ialah Pengarah itu sendiri, dan saya hanya sebagai ketua krew, dalam sebuah kapal, yang belayar menuju ke satu destinasi.
Dalam perjalanan itu saya menyedari bahawa KPPB menjadi satu agenda penting dalam sistem pembelajaran kita, dan saya fikir kita sedang menuju ke destinasi, demi destinasi. Setiap destinasi yang kita tuju, kita belajar bagaimana untuk sampai, dan apakah tujuan perjalanan pelayaran kita itu.
Perjalanan awal saya kira perjalanan yang sukar kerana penuh dengan ketidaktentuan, dan kesamaran. Akan tetapi, setiap kali menuju ke destinasi, kami belajar bagaimana mahu sampai, dengan tujuan yang jelas dan bagaimana kami tahu yang kami sudah sampai - analogi yang sering diungkap oleh Dr. Mustaffar.
Sememangnya perjalanan semester demi semester telah menunjukkan pencapaian dari aspek pembelajaran, dengan adanya usaha penambahbaikan. Ketika lampu perjalanan yang masih suram, kami layari juga bahtera KPPB ini meskipun hampir tidak sampai ke destinasinya.
Berkat ketekunan semua pihak, bukan sahaja warga IPG di semua kampus saya kira, tetapi komitmen IPGM, kita berjaya merealisasikan KPPB ini agar sentiasa hidup dan relevan.
Terima kasih kepada Task Force yang sentiasa memberi bimbingan ke mana harus dituju dan bagaimana mahu sampai dan bagaimana kita tahu yang kita sudah sampai.
Alhamdulillah, semoga lampu perjalanan KPPB akan sentiasa terang dalam mendepani tahun 2022 dan yang seterusnya.
Lampu Perjalanan KPPB IPGKTAR Tahun 2021 ini hanya kemuncaknya, tetapi kami juga menghidangkan lampur perjalanan sejak 2019 supaya kami dapat melihat semula sejarah pembelajaran kami iaitu merangkak dari bawah.
Alangkah hebatnya jika lampu itu sentiasa terang terutama pada malam yang gelap di semua 27 IPG kampus di seluruh Malaysia.
Dengan ini, tidak syak lagi, kita sudah menuju sederap lebih ke hadapan dan pada tahun-tahun yang mendatang, insya-Allah.
Cahaya Kebijaksanaan - Mencari Titik Kefahaman
Kekaburan ialah suatu proses belajar. Kalau tidak kabur, kita tidak belajar. Terima kasih kepada kekaburan.
Apabila berlaku kekaburan kita akan berusaha mencari pemahaman. Begitu juga halnya dengan KPPB ini.
Tidak dapat dinafikan bahawa proses mempelajari KPPB ini diselubungi dengan kekaburan pada peringkat awalnya.
Akan tetapi belajar ini satu proses yang berterusan. Syukurlah, pemahaman itu sedikit banyak dapat ditingkatkan.
Dalam buku ini, Cahaya Kebijaksanaan - Mencari Titik Kefahaman merupakan proses utama dalam belajar. Setiap kali berbengkel dan juga terlibat dalam bimbingan profesional, kita cuba mencari titik kefahaman itu bagi memperoleh cahaya kebijaksanaan.
Walaupun ada ketikanya kita belajar daripada apa yang didengar dan diberitahu, tetapi kita juga belajar daripada rakan-rakan apa yang dibuat oleh mereka.
Belajar daripada 27 rakan lain merupakan perkara yang sangat bermakna. Setiap rakan adalah rakan pembelajaran.
Titik kefahaman diperoleh melalui pembentangan dan maklum balas yang diberikan oleh TF. Untuk memahami sesuatu proses itu kita hendaklah berguru.
Dalam siri-siri bengkel dan juga bimbingan profesional ini, saya yakin dan percaya, titik kefahaman telah kita peroleh.
Titik kefahaman berlaku ketika kita berfikir dan membuat pemerhatian dan kita garapkan melalui kata-kata.
Setiap bahagian atau bab dalam buku ini disisipkan konsep titik kefahaman tentang dunia sebenar kita daripada bijak pandai.
Semoga bacaan tuan puan dalam laporan dan siri-siri showcase tersebut menjadi untaian titik bagi menemui kefahaman yang dicari.
Belajar sebenarnya mencari titik kefahaman dengan memasukkan “konsep kejelasan” daripada kekaburan, yang hanya bukan sahaja digunakan untuk melakukan unpack terhadap sesuatu kurikulum.
CAHAYA KEBIJAKSANAAN: Setiap bahagian atau bab dalam buku ini disisipkan konsep titik kefahaman tentang dunia sebenar kita daripada bijak pandai
Backward Design dan pentaksiran
Sangat menarik apabila konsep backward design ini perlu kita faham dan aplikasikan dalam model KPPB ini.
Tidak dapat dinafikan bahawa proses pembelajaran itu berakhir dengan pentaksiran bagi mengukur hasil pembelajaran yang hendak dicapai.
Elemen pentaksiran merupakan aspek penting dalam pembelajaran. Dahulunya, kita akan mereka bentuk sesuatu pembelajaran tanpa berfikir pun apakah bentuk pentaksiran akan kita lakukan bagi mengukur sesuatu pengetahuan dan kemahiran yang kita ajar. Akan tetapi, dalam KPPB, aspek backward design menjadi sebalik.
Konsep The Understanding by Design atau Kefahaman melalui Reka bentuk (KmR) menyatakan bahawa proses pembelajaran itu bukan satu kebetulan tetapi dirancang dengan amat teliti bagi memastikan hasil pembelajaran dicapai.
Kejayaan sesuatu perkara itu, sebagai logiknya diperoleh melalui perancangan yang rapi. Biarlah masa merancang itu menjadi 90% daripada keseluruhannya, 10% pula tindakan, tetapi impaknya besar, berbanding kita merancang 10%, dengan 90% tindakan, tetapi impaknya minimum.
Apatah lagi jika perancangan kita, tanpa hala tuju. Maka akhirnya hasil pembelajaran yang diperoleh tiada mendatangkan apa-apa hasil. Realitinya dahulu, kita mengajar dahulu, dan selepas habis, baru kita fikir apakah bentuk pentaksiran yang akan kita buat.
Walau bagaimanapun, melalui backward design kita akan fikir dahulu bentuk pentaksiran yang akan kita lakukan sebelum proses pembelajaran berlaku sama ada ketika menghasilkan kerja kursus, kuliah, tutorial dan seumpamanya.
Dengan ini kita sudah fikirkan bagaimana membawa pelajar ke arah mereka hendak pergi. Apakah tujuan mereka belajar, dan bagaimana mereka tahu mereka sudah sampai?
Oleh yang demikian, pada hemat saya kita harus membudayakan backward design dalam proses pengajaran dan pembelajaran, dan yang paling mudah di dalam kuliah kita.
Kita dah tahu HPK yang perlu dikuasai oleh pelajar sama ada dari aspek pengetahuan atau kemahiran, maka selepas itu kita bertanya kepada diri kita sendiri untuk mencapai HKP ini bagaimanakah bentuk pentaksiran yang akan kita lakukan.
Dalam konteks pentaksiran dalam bentuk formatif umpamanya, kita sudah fikir apakah soalan-soalan lisan yang kita sediakan kepada pelajar untuk kita tahu tahap pencapaian mereka terhadap HPK yang kita ajar. Begitu juga dengan aktiviti-aktiviti lain.
Oleh itu, kita percaya bahawa dengan merancang sebaik-baiknya amalan pembelajaran kita dengan merancang dahulu apakah bentuk pentakiran sebelum aktiviti pembelajaran, pasti akan memudahkan proses sesuatu pembelajaran itu.
Bagaimanapun, kita juga perlu tahu mengukur sejauh manakah kefahaman pelajar menguasai sesuatu pengetahuan dan kemahiran itu berdasarkan maklum balas pelajar dalam kelas kita. Tidak kiralah, sama ada kita menggunakan instrumen yang kita hasilkan atau melalui sesi refleksi.
Unpack dan kejelasan
Kita perlu kejelasan dalam membuat unpack (merungkai) dan kita merungkai untuk memastikan berlakunya kejelasan.
Kedua-dua perkara ini amat penting pada hemat saya kerana mempunyai perkaitan.
Konsep unpack memang berlaku dalam kehidupan kita, cuma kita tidak menjadikan perkara itu sebagai satu senarai semak yang jelas untuk diutamakan. Dalam kehidupan kita, merungkai berlaku di mana-mana, dalam mesyuarat, dalam membicarakan sesuatu isu, dalam dewan peperiksaan, dalam sesi bual bicara, dalam penghasilan inovasi dan banyak lagi yang berlaku dalam kehidupan kita. Dalam tindakan kita, kejelasan itu penting.
Apakah “misi” kita? Kena jelas. Dalam inovasi design thinking, idea unpack memang diajar. Bermula dengan empati dan susuli dengan define.
Dalam inovasi, masalah ditakrif begitu rupa agar jalan penyelesaiannya akan menjadi lebih jelas.
Pada peringkat define, kita mentakrifkan masalah tersebut dari akarnya, malah masalah tersebut diterokai melalui client kita.
Ketika dalam mesyuarat, pengerusi akan mentakrifkan satu-satu isu untuk mencari jalan penyelesaian.
Dalam Dewan Peperiksaan pun, pelajar apabila menjawab sesuatu soalan seperti soalan esei pun mereka mentakrif soalan tersebut. Atau dengan perkataan lain apakah “kehendak” soalan itu.
Jika tidak merungkai betul-betul atau dengan jelasnya, maka mungkin pelajar tersebut menjawab soalan yang terkeluar daripada tajuk.
Dalam konteks KPPB, elemen kejelasan sangat penting mentakrifkan hasil pembelajaran. HPK atau Standard Kandungan (SK) dan Standard Pembelajaran (SP) itu hendaklah dirungkai sejelas-jelasnya agar kita tahu apa pelajar peru belajar, dan kita dapat ukur setakat keberhasilan pembelajaran mereka.
Oleh itu itu, hasil pembelajaran yang sepatutnya diperoleh pelajar itu menepati, bukan sahaja apa yang mereka belajar, tetapi mereka tahu setakat mana pencapaian atau penguasaan mereka terhadap apa yang mereka belajar. Oleh itu, aspek merungkai dan kejelasan ini penting.
KPPB telah memberi pemahaman kepada saya bahawa dalam mereka bentuk sesuatu pembekajaran itu, kejelasan haruslah menjadi prinsip yang jelas, yang menjadi senarai semak yang diberi penekanan.
Reka bentuk pembelajaran
Dalam KPPB, reka bentuk pembelajaran merupakan satu model yang boleh kita aplikasikan yang merangkumi amalan pedagogi, pemanfaatan digital, rakan pembelajaran dan persekitaran pembelajaran.
Kerangka dalam reka bentuk pembelajaran juga perlu mempunyai prinsip yang jelas tentang ciri-ciri atau senarai semak yang jelas dan dapat diingat seperti dalam model pembelajaran murid, yang saya lihat lebih jelas elemen-elemennya.
Bagi rakan pembelajaran, perlu ada dalam bentuk kerangka yang lebih jelas tentang aspek-aspeknya, hitam putihnya. Kerangka akan mudah orang ingat. Umpamanya, apakah bentuk amalan pedagoginya secara jelas.
Penekanan terhadap pembelajaran berpusatkan murid ada dinyatakan tetapi masih perlu dilihat semula kejelasannya.
Akan tetapi Model Pembelajaran Murid lebih jelas umpamanya dalam belajar cara belajar, ditekan tiga elemen secara jelas iaitu maklum balas, metakognitif dan agensi.
Saya lihat aspek ini lebih jelas kerangkanya.
Saya amat bersetuju bahawa dalam amalan pedagogi perlu ada pembelajaran berpusatkan murid meskipun tidak dinyatakan dengan jelas.
Oleh itu, model reka bentuk pembelajaran perlu mempunyai kerangka yang jelas.
Amalan pedagogi
Ada prinsip yang saya lihat, ialah tentang amalan pedagogi yang berpusatkan murid. Kita mungkin perlu lebih menekankan aspek ini.
Umpamanya, dalam showcase itu sendiri, jangan berasa ragu tentang keupayaan pelajar sebagai pelaksana dalam aktiviti showcase. Jika hal ini kita praktikkan, kita sudah mengaplikasi amalan pedagogi yang menggunakan strategi berpusatkan murid.
Suatu ketika saya melawat sekolah amanah, di sebuah sekolah rendah (SK Empila, Kota Samarahan) ketika itu, kebetulan ada satu majlis yang diadakan di sekolah tersebut.
Apabila saya tiba di sekolah tersebut, di tempat letak kereta, sudah ada pelajar yang menunggu untuk menunjukkan arahnya.
Apabila mendaftar nama, kelihatan satu kumpulan murid menyambut di meja pendaftaran.
Sejurus majlis bermula, kelihatan dua murid pengacara majlis muncul.
Mereka menjadi pengerusi majlis. Baca doa pula murid. Persembahan juga murid.
Pendek kata, semua murid, kecuali ucapan guru besar.
Saya melihat di sini amalan pedagogi yang berpusatkan murid bukan sahaja dilaksanakan di dalam bilik darjah tetapi dipraktikkan dalam dunia yang sebenarnya.
Dalam showcase kita, inilah masanya pelajar kita menggunakan medan ini untuk berada di dunia yang sebenarnya.
Bak kata Encik Zulkufli, "hari itu ialah hari pelajar dan kita perlu meraikan. Jangan takut kepada kesilapan kerana itu ialah satu daripada proses pembelajaran".
Oleh sebab itu, ketika showcase diadakan, elok kita gilap bakat mereka dalam penganjurannya.
Kita sebagai pensyarah menjadi pembimbing dan fasilitaor kepada mereka. Dengan ini kita telah mempraktikkan amalan pedagogi yang berpusatkan pelajar, dalam dunia yang sebenarnya.
Mereka akan ingat peristiwa itu sebagai suatu pengalaman pembelajaran yang bermakna.
Pengalaman pembelajaran sebenarnya akan memberi pembelajaran yang lebih bermakna.
The Big Idea
Sesuatu yang menjadi keunikan kepada KPPB ialah The Big Idea (TBI) atau idea utamanya. Hal ini akan menjadi lebih unik lagi apabila adanya unsur interdisplinary yang diterapkan dalam mereka bentuk pembelajaran tersebut.
Bagi saya, TBI bukan pada kerja kursus tetapi dalam apa sahaja aktiviti pembelajaran, malah dalam mana-mana wacana sekali pun.
Dalam buku ini juga sudah menerapkan TBI melalui Lampu Perjalanan yang ditandai juga dengan cahaya di hujung terowong, Cahaya kebijaksanaan - mencari titik kefahaman! Semuanya di bawah satu TBI: Proses Pembelajaran ialah Satu Perjalanan Mencari Titik Kefahaman.
Konsep TBI sebenarnya sudah ada kita laksanakan. Cuma, apabila dalam KPPB, konsep ini ditekankan dan diraikan sebegitu rupa.
TBI akan membantu murid belajar membina pengetahuan dan kemahiran baharu.
Kelebihan TBI membuka satu dimensi pengetahuan dan kemahiran baharu selain yang terkandung dalam HPK dan SK serta SP.
Alangkah besarnya impak tersebut TBI ini kalau kita praktikkan dalam mana-mana platform pembelajaran, bukan sahaja dalam kerja kursus, tetapi kita juga boleh membina moto kelas. Kita juga boleh membina soalan dengan memasukkan TBI terutama soalan beraras tinggi.
Tidak ada isu bahawa soalan tersebut soalan yang mudah diramalkan atau berulang tetapi soalan itu akan menjadi segar dan mencabar pemikiran aras tinggi pelajar apabila mereka menjawabnya.
Pelajar akan menggunakan pengetahuan dan kemahiran dalam satu HPK yang dipelajari untuk membina pengetahuan baharu. Pendek kata, yang paling penting ialah bagaimana pengetahuan dan kemahiran yang dikuasai dan dipelajari itu dapat membina pengetahuan baharu dengan menetapkan TBI.
Oleh itu, mereka bukan sahaja menerokai pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari dalam HPK, mereka juga dapat menerokai dimensi baharu TBI tersebut.
Keadaan akan lebih mudah lagi kepada pelajar mencari dimensi baharu TBI apabila tiga daripada kursus-kursus itu diambil oleh pelajar tersebut dan mereka tidak perlu berasa sukar untuk mencari sumber rujukannya iaitu tiga dalam satu.
Konsep interdisplinary ini akan mengurangkan sedikit beban mencari maklumat yang ada berhubungan dengan TBI.
Pada hemat saya, KPPB telah membuka minda kita bahawa perlunya pelajar itu membina pengetahuan dan kemahiran baharu daripada HPK yang dipelajari berdasarkan dimensi TBI.
Essential Question
Essential Question (EQ) merupakan elemen yang penting dalam KPPB kita ini.
Aspek ini sebenarnya sangat powerful kerana dengan soalan, orang akan mencari jawapan dan dalam mencari jawapan itu proses pembelajaran berlaku meskipun soalan yang ditanya itu seperti tidak masuk akal dan kelihatan “b#d#h”.
Umpamanya penemuan prinsip tarikan graviti yang menjadi fenomena dan penemuan sains yang mengagumkan.
Dengan idea itu, kita dapat mengapungkan sekalian banyak satelit di seluruh dunia di ruang angkasa hanya bermula dengan EQ yang kelihatan “b#d#h” dan tidak masuk akal.
Umpamanya ketika duduk di bawah pokok, tiba-tiba Isaac Newton bertanya: Mengapakah kalau epal jatuh harus ke bawah? Proses berfikir dan mencari jawapan akhirnya menemui teori tarikan graviti ini.
Oleh itu, jangan perlekeh EQ dalam sesuatu proses pembelajaran itu. Sumbangan idea “b#d#h” itu telah membawa satu impak yang besar dalam tamadun manusia.
Dalam KPPB, apabila ada idea tentang EQ ini, sebenarnya kita boleh memberi impak yang besar kepada pelajar tersebut terutama apabila mereka membina soalan-soalan yang mencabar.
Dengan ini akan memandu mereka ke arah penerokaan ilmu yang mencabar daya pemikiran kritis dan kreativiti seseorang pelajar itu.
Saya percaya, aktiviti membina EQ terutama dalam aktiviti di dalam bilik kuliah dan darjah boleh menjadikan pelajar itu berfikir dengan menerokai sesuatu isu itu dengan lebih mendalam dan kritis lagi. Semakin banyak EQ yang dicetuskan, semakin banyak jawapan yang dicari.
Apabila kita bermula dengan soalan, kita akan menemui jawapannya.
Dalam kehidupan kita seharian, berapa banyak persoalan yang kita tanya dalam diri kita sendiri, dan berapa banyak jawapan yang diperoleh.
Cuma cepat atau lambat sahaja proses mendapat jawapan itu. Mulakan dengan pertanyaan, kita pasti akan memperoleh jawapan.
Dengan ini proses belajar itu akan menjadi lebih bermakna. Pada hemat saya, elemen EQ ini telah menstrukturkan cara berfikir kita dengan lebih sistematik dan prinsip EQ ini perlu dipraktikkan secara sedar, bukan secara kebetulan.
Sumber imej: pbs.org
EQ: Mengapakah epal yang jatuh harus ke bawah?
Bimbingan kurikulum & Sokongan Profesional
Terima kasih yang tidak terhingga kepada IPGM khususnya kepada Dr. Razila sendiri yang prihatin bagi memastikan sokongan profesional ini dilaksanakan secara berterusan dari semester ke semester.
Saya sendiri banyak belajar daripada Dr. Mustaffar, Dr Azah, Encik Zulkufli, Dr. Abdul Hadi, Dr. Kartini, Puan Jurina, Dr. Razak dan lain-lain TF yang tidak dapat saya sebutkan di sini.
Sememangnya kita banyak memperoleh ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam KPPB ini.
Kadang-kadang muatan tanah ilmu yang diperoleh itu hampir dapat memenuhi lori pengangkut tanah, tetapi ada ketikanya tanah itu jatuh bertaburan ke tanah.
Mereka membimbing untuk membersihkan tanah-tanah yang jatuh ke tanah itu bagi memastikan perjalanan pembelajaran kita selancar perjalanan tanpa jalan yang licin dan kotor. Dengan ini kita sampai ke destinasi perjalanan.
Oleh itu, pada hemat saya, sokongan profesional pada masa akan datang boleh dilaksanakan juga secara fizikal kerana sentuhan fizikal itu membawa impak yang besar dalam proses pembelajaran selain menyediakan alternatif secara dalam talian.
Saya juga melihat bahawa sokongan profesional itu hendaklah dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan tidak berlaku ketirisan.
Konsep yang sama juga berlaku di IPG apabila bimbingan kurikulum perlu dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan ilmu yang diperoleh itu berlaku secara konsisten dan tekal.
Pada saya, perkongsian daripada rakan-rakan daripada IPG lain juga sebenarnya banyak membuka dimensi dan sisi baharu dalam pembelajaran bagi memahami KPPB ini.
Showcase dan maklum balas
Secara peribadi saya banyak belajar sesuatu daripada showcase. Saya melihat showcase ini satu sesi berkongsi rezeki yang kita peroleh daripada menanam sekalian banyak buah, dan berkongsi bagaimana hasil itu dapat dimanfaatkan oleh orang lain.
Umpama menanam, kita akan kutip hasilnya, dan kita kongsikan bagaimana proses menanam, menjaga dan menuai ini dikongsikan.
Dengan ini saya melihat bahawa pakar-pakar dalam tanaman ini akan memberi maklum balas tentang kekuatan dan aspek-aspek penambahan yang perlu ditingkatkan lagi ke arah aspek redesign selepas itu.
Daripada showcase kita sebenarnya berkongsi ilmu dan bagaimana idea-idea yang kita tidak terfikir itu dapat dilaksanakan.
Medan showcase bukan sahaja kita buat dalam skala besar seperti mana yang kita laksanakan di peringkat IPG, Zon atau kebangsaan. Dalam kelas atau sekolah sendiri kita boleh membuat showcase dalam skala kecil.
Paling tidak pelajar tunjukkan hasil pembelajaran mereka pada hari tersebut dengan melekat di dinding sebagai showcase, atau di kantin tentang apa yang mereka telah pelajari.
Dengan ini kita boleh laksanakan pada bila-bila masa seperti hari PIBG, hari keluarga, sekolah terbuka dan lain-lain majlis.
Yang penting bagaimana mereka berkongsi ilmu yang diperoleh dan mereka mempamerkan dapatan atau mungkin dalam bentuk produk atau idea yang diperoleh dan dipraktikkan dalam kehidupan sebenarnya.
Model-model KPPB
Sehingga peringkat ini kita dapati bahawa rata-rata para pensyarah dan pelajar sudah memahami lima model KPPB iaitu reka bentuk pembelajaran, Model pembelajaran murid, 3R, 3E, dan 6C.
Mereka juga faham bagaimanakah mengaplikasikan model ini dalam aktiviti pembelajaran. Mungkin agak klise apabila setiap kali showcase kita perlu bertanya soalan yang sama dalam sesuatu showcase.
Seperti mana yang Encik Zulkupli katakan bahawa, soalan-soalan dalam showcase bagi Kolokium KPPB kepada pelajar kali ini ialah soalan yang beyond daripada biasa. Soalan-soalan itu mencabar minda mereka.
Hal ini sangat sesuai dan perlu bagi menyediakan pelajar yang berfikiran kritis dan kreatif.
Jika mereka memang benar-benar belajar berdasarkan prinsip-prinsip tersebut, saya yakin dan percaya pelajar kita akan dapat mengadaptasi soalan-soalan terbuka dan mencabar minda mereka.
Dengan ini, kita menyediakan pelajar yang bukan pada aras mengingat semata-mata tetapi lebih jauh lagi hingga ke peringkat menilai dan mencipta.
Dengan ini kita mendidik dan membuktikan kepada mereka bagaimana pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh itu dapat dipraktikkan dalam kehidupan seharian.
Bukannya soalan-soalan yang sudah ada skripnya dan pelajar-pelajar dapat menjawab soalan berdasarkan skrip yang dapat diramalkan itu.
Sifu: Dr. Haji Mustaffar Abd. Majid
Banyak perkara yang dipelajari daripada “sifu” KPPB kita ini. Berikut ialah tiga antaranya yang saya kongsikan dan selalu diulang untuk kita mengingatnya.
Menyatakan definisi Operasi NPDL (pada masa itu)
- Pelajar dapat menguasai kemahiran dan pengetahuan yang dipelajari.
- Pelajar dapat menggunakan kemahiran dan pengetahuan tersebut untuk menghasilkan kemahiran dan pengetahuan baharu.
- Pelajar dapat menggunakan kemahiran dan pengetahuan baharu tersebut dalam kehidupan sebenarnya.
Membuat analogi ketika memberi maklum balas kepada pelajar.
Anda hendak pergi ke mana?
- Apa tujuan anda ke sana?
- Bagaimana anda tahu yang anda sudah sampai?
Pesanan
- Kalau niat kita kerana Allah, sebenarnya setiap ayat, setiap langkah, setiap patah kata yang kita kongsikan dengan anak-anak kita, pelajar-pelajar kita, insya-Allah, akan menjadi amal soleh yang akan kita bawa ke sana. Kita kumpullah apa yang kita bawa, jangan kita kumpulkan apa yang akan kita tinggalkan -Dr. Haji Mustaffar Abd. Majid.
Cabaran KPPB dalam dunia VUCA
Cabaran KPPB bagi saya bagaimanakah kita menyediakan model yang KPPB yang kalis masa depan dalam menangani dunia VUCA.
Kita harus memperkemas dan menambah baik KPPB agar bukan sahaja menyediakan satu proses pembelajaran yang harus dicapai oleh pelajar dan murid, tetapi menyediakan mereka untuk berhadapan dengan dunia VUCA yang sebenarnya - bersifat tidak stabil, tidak tentu, kompleks dan penuh kekaburan, serta tidak dapat diramalkan.
Terima kasih
Maaf jika suara ini tidak kuat, untuk menyatakan ekspresi daripada kaca mata atau sisi seorang pensyarah biasa di IPG dengan menggunakan topi penyelaras.
Pendapat yang saya nyatakan mungkin tidak mewakili falsafah KPPB itu sendiri disebabkan kejahilan dan kesilapan saya.
Saya masih cuba untuk belajar supaya tidak jatuh di lubang yang sama, dan belajar untuk bangun dan bangkit semula.
Terima kasih semua!
*****
Saya masih cuba untuk belajar supaya tidak jatuh di lubang yang sama, dan belajar untuk bangun dan bangkit semula - muna. |
Kalau ada tempayan yang pecah,
Jangan disimpan di tepi perigi;
Kalau ada ungkapan yang salah,
Jangan dipendam di dalam hati.
*****