Rentak Kita

Dataran Nilai - Pusat Riadah Merakam 1000 makna

Dataran Nilai - Pusat Riadah Merakam 1000 makna

Oleh Muhaimi Suhaili

BAWAH serakan cahaya yang antara terang dan malap, sambil menikmati lagu Inggeris bertajuk Perfect nyanyian Ed Sheeran, malam seperti ini cukup mengujakan. 

Lagu yang diputarkan daripada suatu tempat, cukup jelas menjadikan suasana kelihatan sungguh indah, sesuai dengan lirik lagunya.

Sambil menikmati bebola ketam serta Nescafe tarik bungkus yang dibeli dari kedai makan yang berdekatan, di sini memang mencipta pengalaman yang cukup bermakna.

 

Semalaman di Dataran Nilai, Negeri Sembilan, sememangnya banyak memberi makna kepada yang suka bersantai dan menghirup udara segar malam.Banyak kali juga ke sini, tapi tiada pernah pula terfikir melukis suasana yang semeriah ini.Entah bagaimana malam ini, tiba-tiba keinginan itu terbetik pula.

Satu sudut yang kulihat, berderetan penyewa skuter, basikal dan bermacam jenis kenderaan, berkonvoi menelusuri jalan mengelilingi dataran sebesar padang bola sepak itu.Memang meriah apabila ada yang bergerak menyewa apa sahaja jenis kenderaan yang menggunakan kuasa bateri itu.

 

Aku biasanya menyewa skuter untuk anak-anak. 15 minit, RM15.00. 

Dengan berskuter serta mengharungi kesesakan jalan, mungkin anda boleh mengelilingi padang selama lima minit, dengan purata sekitar tiga atau empat kali pusinganbergantung kepada kesesakan.

Kita sebenarnya  boleh membuat beberapa aktiviti seperti berjoging, berkejaran dengan anak yang sedang berskuter - duduk-duduk, malah boleh senang menatap televisyen gergasi yang terpacak di suatu sudut yang strategik.

Dataran Nilai padaku, pusat riadah, merakam 1000 makna.

Lihat sahaja mana-mana sudut, budak-budak riang bermain dengan sorak riang mereka.

Banyak juga yang bertikar di padang seperti suasana camping lagaknya. 

Suatu malam tu, seingat aku, pernah warga kota Nilai memenuhi padang dataran ini untuk menonton perlawanan bola sepak secara LIVE di televisyen dengan paparan TV gergasi.

Cukup meriah dengan pekik penonton yang menyokong pasukan bola sepak dari Malaysia itu.

Akan tetapi, malam ini, memang malam untuk mereka bersantai. Segala-galanya tenang dan Dataran Nilai memang hidup.

Dari suatu sudut, kelihatan sekelompok keluarga dan sekumpulan rakan yang mungkin siswa-siswi yang belajar Institut Pendidikan Tinggi (IPT) yang berdekatan, duduk santai-santai.

Mereka kelihatan menikmati suasana malam sambil menghilang tekanan assignment yang tidak putus-putus agaknya.

Lihat sahaja, semuanya ada. Orang dewasa, ibu bapa, nenek datuk, dan semuanya. 

Tidak kalah kalangan remaja yang sedang dilamun cinta.

Pada wajah mereka ada cinta - ketawa, senyum, sambil teruja membilang bintang-bintang di langit sambil mengelakkan bubble (buih) yang berterbangan di udara.

Ketika catatan ini dibuat, kedengaran sebuah lagu Indonesia sedang berkumandang membelah suasana malam yang gamat dengan jeritan anak-anak.

Lagu cinta yang diputarkan itu menambahkan suasana romantik, menjadi detik-detik tersebut menjadi sebahagian daripada memori yang tidak dapat dilupakan.

Padaku, biar macam mana pun, setiap Sabtu, malam Ahad atau waktu cuti memang Dataran Nilai dipenuhi oleh pengunjung yang datang daripada kawasan sekitarnya.

Apabila pada hujung minggu, tempat parkir tentu sahaja tidak mencukupi, tetapi kedudukannya bersebelahan dengan AEON, pengunjung boleh menggunakan parking berbayar di kawasan letak kereta berdekatan.

Nilai ialah bandar baharu yang mula tumbuh sihat dengan pembangunan di sekelilingnya.

Warga Nilai tentu bangga mempunyai Dataran Nilai yang memang dijaga rapi oleh Majlis Perbandaran. 

Nilai ialah bandar sihat, terbit daripada keluarga yang sihat. 

Dataran Nilai bagiku, degup jantung Nilai, merakam kotanya yang sentiasa bersih, dengan suasana santai bersama keluarga untuk melupakan tekanan setelah penat bekerja.

Dataran Nilai memang tempat "perkelahan malam" yang cukup sesuai.

Sesiapa yang berhasrat ke Dataran Nilai, persekitarannya akan sentiasa menyambut anda. Usah bimbang.

 

*****

GARAPAN MINDA

Kita mungkin tidak dapat mengubah dunia, tetapi kita dapat melahirkan generasi yang akan mengubah dunia. - muna

 

Disclaimer

Kami menyediakan bahan dan maklumat berdasarkan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman kami. Pengguna dinasihatkan untuk memilih dan menilai sendiri mana-mana maklumat yang sesuai dan autentik, serta memasukkan daripada sumber mana dipetik. Kami tidak bertanggungjawab atas kerosakan atau kemudaratan atau seumpama dengannya, yang berlaku akibat menggunakan bahan dan maklumat yang kami kongsikan. Semoga ilmu ini dapat dimanfaatkan bersama demi kemaslahatan sejagat.

Pelawat

Hari Ini35
Semalam140
Minggu Ini310
Bulan Ini1089
Jumlah Pelawat146786

Who Is Online

1
Online

2024-05-08