Lawatan JPM IPGM KRM ke DNB - Apabila Sekalian Gajet dan Peranti Diberi 'Nyawa' oleh 5G

Oleh Muhaimi Suhaili

Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

 

APAKAH yang dapat dikatakan dalam sesi lawatan ke Digital Nasional Berhad baru-baru ini melainkan perkataan WOW!


Gambar: DNB mengalu-alukan kunjungan pelajar-pelajar JPM, IPGM KRM ke Portal My5G

Lawatan akademik

Menyantuni Digital Nasional Berhad (DNB) lewat lawatan akademik oleh Jabatan Pengajian Melayu (JPM), Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Raja Melewar,  pada 1 April yang lalu hanyalah satu kebetulan apabila namanya muncul di mulut seorang rakan.

Lawatan tersebut adalah yang kedua selepas membuat penerokaan dan memperoleh maklumat pembelajaran melalui Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM) sebagai salah satu program Rakan Pembelajaran Siri 2 dalam Kapasiti Pedagogi Pembelajaran Bermakna (KPPB).

 

Gambar: Lawatan akademik pelajar-pelajar PISMP Ambilan 2022/2027 Opsyen Bahasa Melayu, JPM, IPGM Kampus Raja Melewar di Portal My5G

Program tersebut dilaksanakan bagi memberi panduan dan gambaran kepada pelajar untuk melaksanakan tugasan Pentaksiran Berterusan bagi kursus BMMB3203 Morfologi Bahasa Melayu, BMMB3213 Kurikulum Bahasa Melayu Sekolah Rendah dan BMMB3223 Pengajaran Kemahiran Bahasa dalam Bahasa Melayu.

Pentaksiran berterusan tersebut dilaksanakan secara interdisciplinary melibatkan pelajar Bahasa Melayu Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Ambilan Jun 2022 (Tahun 1, Semester 2). 

Selain itu, lawatan tersebut membantu pelajar mengaplikasikan teknologi digital dalam pembelajaran sesuai dengan tugasan yang berikan iaitu menghasilkan bahan bantu belajar digital terkini berbentuk pembelajaran Virtual Reality bawah “The Big Idea: Eksplorasi Bahasa Mencetuskan Inovasi”.

 

Gambar: Salah satu seksyen pendidikan tentang penggunaan pembelajaran menggunakan “virtual reality” dalam portal showcase digital tersebut.

Lawatan akademik tersebut diharapkan dapat memberi panduan dan berkongsi pengalaman tentang prospek dan masa hadapan kaedah pembelajaran berbentuk Virtual Reality ini. 

Klik Artikel: Pembelajaran Virtual Reality - Bersediakah Malaysia ke arah itu?

Di mana lokasi DNB?

DNB terletak di bangunan Tun Razak Exchange, Persiaran TRX, Kuala Limpur, Wilayah Persekutuan, dan Portal My5G pula ditempatkan di bahagian lobi bangunan berkenaan. 

 

Sumber gambar: www.nst.com.my. Bangunan Tun Razak Exchange (TRX)

Di situlah terletaknya portal showcase digital yang dianggap sebagai tercanggih di Malaysia malah antara yang terbaik di dunia.

Apabila sampai, anda akan dilayan mesra oleh krew DNB yang terdiri daripada angkatan baharu.

Mereka akan menerangkan maklumat tentang 5G di Portal My5G mengikut seksyen masing-masing.


Gambar: Barisan krew DNB yang berdiri di belakang tabir di sebalik lawatan ke Portal My5G.

Sebagai pengenalan, pelawat dibawa menikmati dunia teknologi dengan berada di bilik teater mini iaitu selayang pandang pengenalan tentang peranan 5G dalam menghubungkan masa depan masyarakat Malaysia dengan kehidupan yang serba mungkin.

 

Gambar: Rakaman foto sebelum tayangan dimulakan di sebuah bilik teater mini.

Pemahaman konsep 5G

Selepas itu, pelawat dibawa ke lokasi yang menunjukkan gajet-gajet yang digunakan dalam rangkaian mudah alih yang melibat Generasi Pertama (1G), Generasi Kedua (2G), Generasi Ketiga  (3G), Generasi Keempat (4G) dan Generasi Kelima (5G).

Seksyen ini antara lain memberi pemahaman kepada pelawat tentang konsep 5G yang dapat dipaparkan melalui penggunaan gajet-gajet dari segi evolusinya.

Kewujudan 5G adalah untuk menangani perubahan dalam dunia yang serba mungkin ini dan ada kaitannya dengan generasi sebelum ini yang didahului dengan teknologi 1G.

Apakah teknologi 1G?

Gambar ihsan oleh Fard Fakhrul. Showcase yang menunjukkan evolusi penggunaan telefon dari generasi pertama hinggalah generasi kelima.

Sejarah 1G

Sebelum itu, kita lihat dahulu sejarah awal tercetusnya inovasi telefon mudah alih.

Perkhidmatan telefon mudah alih perdagangan pertama dilancarkan di Jepun oleh Nippon Telegraph dan Telefon (NTT) pada tahun 1978.

Sebelum itu, menurut sumber, telefon bimbit pertama telah dicipta oleh Martin Cooper pada 3 April 1973 yang beratnya ialah dua kilogram dan terhad hanya untuk panggilan suara sahaja. 

 

 

Sumber gambar: Time.com. Martin Cooper mencipta telefon bimbit pertama ketika bekerja di Motorola.

Sejarah menunjukkan bahawa 1G mula  diperkenalkan pada tahun 1980-an. 

Inovasi yang tercetus ketika itu meletakkan 1G sebagai satu teknologi tanpa wayar dan menjadi telekomunikasi komersil yang pertama seumpamanya.

Dari situ, teknologi ini mendapat perhatian pengguna dan menikmati bahagian pasaran yang semakin melebar seperti cendawan tumbuh selepas hujan.

Pada tahun 1981, 1G mula  diperkenalkan di beberapa negara Eropah dan pada tahun 1983 pula, 1G telah menembusi pasaran Amerika Syarikat.

 

Sumber gambar: Salepeaket.live. Daripada isyarat radio analog 1G, kepada inovasi tanpa wayar merentasi sempadan imaginasi manusia.

Teknologi yang digunakan ketika itu hanyalah  isyarat radio analog untuk berkomunikasi. 

Jika sebelum itu, sambungan kabel diperlukan untuk berkomunikasi antara satu sama lain, tetapi selepas perkembangan tersebut,  teknologi 1G mula gah di persada global dengan inovasi tanpa wayar.

Dunia menyaksikan satu fenomena baharu  apabila fasa 2G mengambil tempat iaitu apabila telefon berada di tangan-tangan  manusia dan situlah istilah hand phone atau telefon bimbit atau telefon genggam mula popular.

 

Gambar: Telefon di tangan sebagai asas perbincangan - perkakasan digital ini tidak akan berfungsi dengan berkesannya jika tidak “diberi” nyawa oleh 5G.

Bagaimana pula 5G? 

Persoalannya, bagaimana pula dengan 5G?

Jawapannya, sudah tentulah lebih canggih daripada itu apabila 5G memintas empat generasi.

5G ialah rangkaian mudah alih generasi ke-5 yang merupakan standard mudah alih global baharu selepas rangkaian 1G, 2G, 3G dan 4G.  

5G membolehkan rangkaian jenis baharu yang direka bentuk untuk menghubungkan hampir semua orang termasuk “mengangkut” bersama-samanya mesin, objek dan peranti.

 

Gambar: Replika bandar pintar yang disokong oleh teknologi 5G.

Teknologi tanpa wayar 5G ini bertujuan untuk menyampaikan kelajuan data puncak yang lebih tinggi, kependaman ultra rendah, dan mempunyai lebih kebolehpercayaan.

Selain itu, 5G dapat menampung kapasiti rangkaian yang besar, peningkatan ketersediaan dan pengalaman yang lebih seragam kepada lebih ramai pengguna dengan membawa satu pengalaman dalam dunia yang seolah-olah benar.

 

Gambar: Kamera  yang menggunakan teknologi 5G dapat membawa anda ke Tebingan Sungai Kuching secara langsung.

Oleh sebab 5G mempunyai prestasi yang lebih tinggi dan kecekapan yang lebih baik, sudah tentu akan memperkasakan pengalaman baharu pengguna serta menghubungkan pelbagai industri baharu.

Antaranya dalam bidang pertanian, telekomunikasi, pembangunan bandar pintar, perubatan, pertahanan, perniagaan di gedung beli-belah,  pembinaan, komunikasi maya, keselamatan, permainan video, pendidikan, hiburan, dan lain-lain.

Dalam portal showcase digital itulah, pelawat dibawa menikmati kecanggihan teknologi digital yang disokong oleh teknologi rangkaian mudah alih 5G ini dalam pelbagai industri.

 

Gambar: Dalam bidang keselamatan, 5G membantu meningkatkan keupayaan imej berimpak tinggi ketika ditangkap oleh kamera litar tertutup.

Ericsson sebagai peneraju penciptaan perkakasan canggih dalam showcase tersebut telah berganding bahu dengan teknologi 5G ini.

Biar banyak mana inovasi perkakasan yang dihasilkan, namun apa yang dapat membuka mata pelawat ialah gajet-gajet dan peranti canggih ciptaan manusia tidak akan berguna jika tidak “diberi nyawa” oleh teknologi 5G ini.

Perkakasan itu ialah jasadnya, tetapi 5G itu rohnya!

 

Gambar: Encik Mohd Izan Yusop, Ketua Jabatan, Jabatan Pengajian Melayu, IPGM KRM ketika mendengar taklimat daripada fasilitator.

Bayangkan jika realiti maya telah dipertingkatkan melalui komunikasi secara hologram dan apabila dron-dron dapat dikawal merentasi sempadan benua dengan teknologi 5G ini, bukankah ini sesuatu yang luar biasa?

 

Gambar: 5G membantu mengupayakan komunikasi dan interaksi secara hologram.

Jika Malaysia dapat mengekalkan kepantasan dan pertumbuhan paling cepat menggunakan 5G di rantau ini, tentu tidak lama lagi kita akan saksikan kereta-kereta boleh memandu sendiri di jalan-jalan, malah di lebuh raya di Malaysia!

Mampukah anda menahan kemaraan teknologi baharu 5G ini?

Jika anda hendak berbuat demikian, anda seolah-olah menahan air terjun dengan menggunakan kedua-dua telapak tangan anda!

*****

Related Articles

GARAPAN MINDA

Kita mungkin tidak dapat mengubah dunia, tetapi kita dapat melahirkan generasi yang akan mengubah dunia. - muna

 

Disclaimer

Kami menyediakan bahan dan maklumat berdasarkan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman kami. Pengguna dinasihatkan untuk memilih dan menilai sendiri mana-mana maklumat yang sesuai dan autentik, serta memasukkan daripada sumber mana dipetik. Kami tidak bertanggungjawab atas kerosakan atau kemudaratan atau seumpama dengannya, yang berlaku akibat menggunakan bahan dan maklumat yang kami kongsikan. Semoga ilmu ini dapat dimanfaatkan bersama demi kemaslahatan sejagat.

Pelawat

Hari Ini28
Semalam205
Minggu Ini562
Bulan Ini233
Jumlah Pelawat145930

Who Is Online

1
Online

2024-05-02