Rentak Kita

Kejelasan dan Gaya Penulisan dalam Penulisan Akademik

Oleh Muhaimi Suhaili

 

 

Pengenalan

Dalam penulisan akademik, kejelasan dan gaya penulisan sangat penting bagi memastikan sesebuah wacana itu disampaikan dengan tepat dan berkesan. Penulisan akademik yang menggambarkan tahap keintelektualan seseorang dalam menyampaikan gagasan dan menjadikan idea yang disampaikan itu benar-benar ilmiah, berfakta dan mempesonakan pembaca yang inginkan ilmu. Oleh itu sesuailah dengan sifat-sifat yang harus ada dalam wacana itu seperti jelas, berobjektif,  penggunaan bahasa formal, dan penulisan ayat yang jelas. Selain itu aspek penulisan juga amat menekankan perkembangan idea secara logik. Dalam bahagian ini aspek koheren dan kohesif akan dibincangkan dengan mengambil kira pandangan beberapa tokoh tentang aspek-aspek yang harus ada dalam aspek dan kohesif ini.

 

 

Konsep kejelasan dan gaya bahasa

Kamus Dewan (1998) mentakrifkan kejelasan ialah perihal sifat, keadaan yang jelas, nyatanya, terangnya; manakala gaya pula ialah cara menulis atau bertutur, cara membuat sesuatu, terutama yang menjadi ciri sesuatu zaman atau seseorang. Selain itu, takrifan penulisan turut dinyatakan yang bermaksud perihal atau kegiatan menulis iaitu mengarang dan lain-lain. Kejelasan dapat dihasilkan melalui ayat-ayat yang tepat dan tidak meleret-leret, istilah-istilah yang konkrit, tidak kabur dan tidak terlalu umum. Nilai kejelasan ini berkaitan secara rapat dengan nilai-nilai yang lain yang dihuraikan kemudian (Mohd. Sidin, 1996). Dalam penulisan, gaya yang baik ialah seperti memakai sepasang kasut yang baik. Anda tidak mengamat-amatinya. Gaya menulis bergantung kepada subjek dan pembaca. Ini bermakna gaya menulis dalam sesuatu subejk bagi satu golongan pembaca berbeza daripada gaya yang digunakan dalam sebuah buku lain untuk golongan pembaca yang lain (Klitgaard, 1983).

 

Penggunaan bahasa formal

Bahasa yang formal ialah bahasa yang digunakan memenuhi aspirasi penulisan akademik yang menjadi ciri penting dalam penulisan. Penggunaan bahasa yang formal bermaksud bahasa yang digunakan itu berstatus rasmi dan memenuhi ciri-ciri penulisan akademim tersebut. Antaranya ialah pemilihan perkataan yang tepat. Contohnya:

  1. "Kebanyakan mereka yang saya temu bual..." kepada "Kebanyakan subjek kajian...".

Begitu juga penggunaan bahasa yang ringkas dan tepat agar mesej yang disampaikan benar-benar berkesan. Contoh kata-kata yang ringkas dan tepat ialah:

  1. "Apa yang jelas kelihatan daripada dapatan kajian ini ialah..." kepada "Dapatan kajian ini menunjukkan...".

Penulisan akademik yang baik akan mengetepikan unsur-unsur penggunaan bahasa lisan yang kelihatan dalam penulisan. Oleh itu, elakkan penggunaan kata-kata lisan hingga terbawa-bawa perkataan hingga mengikis ciri-ciri keakademikannya. Contoh:

  1. saya, anda, nak, duduk sajalah;

Variasi dalam ayat juga amat penting terutama penggunaan ayat aktif dan pasif. Penulisan haruslah menggunakan ayat aktif dan pasif mengikut kesesuaian iaitu berdasarkan penegasan terhadap subjek yang hendak diberi penekanan. Contoh:

  1. "Kajian ini memfokuskan teknik mnemonik dalam pembelajaran..." atau "Teknik mnemonik dalam pembelajaran difokuskan dalam kajian ini...".

Selain itu, gunakan fikiran, bukan emosi dalam menyampaikan mesej hingga menulis perkataan seperti:

  1. "Memanglah keadaannya begitu meskipun nampak tidak betul sahaja tingkah lakunya...".

 

Penulisan secara objektif

Penulisan secara objektif ialah gaya penulisan yang melaporkan sesuatu idea atau gagasan, atau kejadian dengan bahasa yang tepat serta ringkas. Penulisan dalam jurnal atau laporan terhadap sesuatu kejadian itu disampaikan dengan tepat dan benar. Penggunaan ayat pasif yang tepat dan penggunaan kata nama yang sesuai berbanding kata kerja dengan bersubjekkan saya, seperti:

  1. "Saya mengutip data ini..." kepada "Data ini dikutip...".
  2. "Saya mencadangkan supaya..." kepada "Dicadangkan supaya...", dan
  3. "Dalam catatan ini saya akan mengupas..." kepada "Tulisan ini mengupas...".

 

Penulisan ayat yang jelas

Penulisan yang jelas akan memastikan sesebuah penulisan itu mempunyai isi yang mencukupi dan sangat tepat. Meskipun isinya berkembang dan dihuraikan, namun penulisan ayat yang jelas tetap dikekalkan tanpa dipengaruhi panjang atau pendeknya sesebuah wacana itu. Menurut Asmah (2009), kejelasan teks dalam penulisan ditakrifkan sebagai teks mestilah jelas, yakni mudah dibaca. Kejelasan teks terletak pada penyusunan idea dengan menggunakan bahasa yang mudah difahami dan yang memberi kesan kesepaduan teks. Dua faktor ini membawa kita kepada ciri koherensi dan kohesi. Perkembangan idea secara logik : koheren dan kohesif.

 

Perkembangan idea secara logik: koheren dan kohesif

Kohesi

Kohesi ialah ciri wacana yang membawa keserasian hubungan antara satu unsur linguistik dengan unsur linguistik yang lain dalam sesuatu wacana untuk menghasilkan satu wacana yang lengkap. Keserasian hubungan ini lazimnya dilihat melalui hubungan antara suatu perkataan, frasa atau ayat, dengan perkataan, frasa atau ayat lain dalam wacana yang sama. Kohesi ini dikenali juga sebagai tautan. Contohnya:

  1. Ali dan adiknya pulang ke kampung untuk berhari raya. Mereka pergi ke sana untuk berhari raya.

Kohesi antara ayat-ayat di atas wujud melalui pertalian antara Ali dan adiknya dengan mereka dan antara ke kampung dengan ke sana  (Nik Safiah, Farid, Hashim & Abdul Hamid, 2008).

Tautan dalam kajian yang pernah dibuat oleh Sanat (2002) mendefinisikan tautan sebagai hubungan antara sesuatu unit teks dengan unit teks yang lain melalui peranti tautan. Hubungan bentuk lingusitik itu dikatakan boleh berlaku secara hubungan semantik. Melalui Model Tautan Pindaan (MTP), beliau membahagikan tautan kepada tiga jenis utama iaitu tautan perulangan, tautan kolokasi, dan tautan penghubung ayat. Untuk perbincangan kohesi atau tautan ini, penulisan ini hanya berfokus kepada tautan penghubung ayat sahaja yang terdiri daripada tautan penghubung ayat tambahan, tautan penghubung ayat tentangan, tautan penghubung ayat sebab – musabab, tautan penghubung ayat waktu, dan tautan penghubung ayat terusan.

 1. Tautan penghubung ayat tambahan

Antara contohnya: Dan, Dengan perkataan lain, Atau, Tegasnya, Selain dari itu, Lebih-lebih lagi, Apalagi, Malah, Umpamanya, Malahan, Ertinya, Juga, Ataupun, dan Dalam pada itu.

Penterjemahan komik sebenarnya mampu mengangkat budaya sesuatu masyarakat untuk pergi lebih jauh. Malah, komik mampu menjadi bahan pengajaran dan pembelajaran di sekolah seperti yang diterapkan oleh masyarakat Jepun.

Wan Halizawati Wan Mahmood, 40-43.

2. Tautan penghubung ayat Tentangan

Antara contohnya: Bagaimanapun, Hanya, Tetapi, Namun demikian, Walau bagaimanapun, Dalam keadaan demikian jua pun, Biarpun begitu, Cuma, Sebaliknya, Sebenarnya, Memang, dan Walaupun begitu.

Di samping itu, kaedah ini dapat mengisi kekosongan di dalam kelas yang sering diselitkan dengan kaedah kuliah semata-mata tanpa ada aktiviti yang menyeronokkan pelajar. Oleh sebab itu, berbagai-bagai cara yang digunakan oleh guru dan pakar pendidikan dunia untuk menjadikan pengalaman belajar adalah sesuatu yang menyeronokkan (Ahmad Fadzli, 2009). Penggunaan mnemonik ini bukan sahaja menyeronokkan malah dapat meningkatkan kerjasama antara ahli kumpulan. Dengan penggunaan kaedah ini sekurang-kurangnya guru tidak bergantung kepada kaedah kuliah semata-mata atau menggunakan satu kaedah sahaja. Tambahan pula, guru-guru juga dapat bereksperimen bagi meningkatkan ingatan pelajar-pelajar terhadap apa yang diajar.

 3. Tautan penghubung ayat sebab - musabab

Antara contohnya: Berhubungan dengan ini, Maka, Yang demikian, Oleh itu, Kerana, Sebab, Dengan demikian, Dengan begitu, Seperti yang telah diterangkan, Dengan begini, Maka itu, kerana itu, dan Maka itulah.

Maka, di sinilah letaknya pokok persoalan; bagaimanakah rupa wajah bahasa yang bahagia? Sebelum menanggapinya, kita perlu terlebih dahulu bergulat dengan pertanyaan ini; adakah benar Bahasa yang memberikan rasa bahagian kepada manusia?

Mohd Tarmizi Hasran, 26-28.

 

4. Tautan penghubung ayat waktu

Antara contohnya: Sekarang pun, Pertamanya, Yang kedua, Kesimpulan, sehingga hari ini, Sehingga…nanti, Kemudian, dan Pendeknya.

Kesimpulannya, mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa bahasa Melayu sama sekali bukan sekadar di pinggran tetapi sudah terlalu tinggi peranannya semenjak bermulanya sejarah kewujudkan bahasa Melayu.

Saiman, 30-33

 

5. Tautan penghubung ayat terusan

Dari Masjid Muhammad, kami berjalan lebih kurang 200 meter menuju ke Hogia Sophia yang terletak di Istanbul itu. Bangunan yang berusia lebih 17 dekad itu seperti benteng-banteng konstinapel yang masih berdiri tegak di jajaran sepanjang Kawasan bandar raya dua benua itu.

 

Koheren

Menurut Kamus Dewan (1998), koheren diertikan sebagai ada kesinambungan (keterikatan) antara satu ayat dengan ayat yang lain dalam sesebuah wacana supaya mudah difahami. Manakala runtutan pula didefinisikan sebagai deretan, jajaran, leretan. Runtutan merujuk kepada kualiti persepsi sesebuah teks secara relatif sehingga dapat difahami (Sanat, 2002)

Koheren yang juga dikenali sebagai runtutan, merupakan kesinambungan idea yang terdapat dalam sesebuah wacana sehingga menjadikan teks itu bemakna. Contohnya:

Teknologi maklumat dicipta dan dikembangkan oleh Dunia Barat. Oleh demikian, bahasa asas bidang ini sudah sewajarnya Bahasa Inggeris. Namun begitu, teknologi maklumat telaah tersebar luas ke seluruh dunia, ke alam yang bahasa Inggeris tidak menjadi Bahasa utama. Maka perlu berlaku penyesuaian, iaitu kepada suasana yang penggunaan bahasa lain menjadi selari dengan Bahasa Inggeris.

Dalam contoh di atas, kesinambungan idea terjalin melalui perkataan dan frasa teknologi maklumat dalam ayat pertama, Bahasa asas bidang ini dalam ayat kedua, tersebar luas ke seluruh dunia dalam ayat ketiga, dan berlaku penyesuaian dan penggunaan Bahasa lain dalam ayat keempat. Keempat-empat ayat dalam perenggan di atas menjadi koheren daan bermakna.  (Nik Safiah et al. 2008)

Menurut Asmah (2009), faktor penting untuk mencapai koherensi ialah susun atur ayat dan susun atur idea atau fakta. Ini bermakna bahawa dalam susun atur ayat termaktub susun atur fakta. Serentetan tindakan, peristiwa dan sebagainya disusun mengikut tahap-tahap berlakunya dan ini mempunyai perkaitan dengan masa. Selanjutkan beliau mengkategorikan koheren ini kepada empat iaitu susun atur lazim (nomal ordering), susun atur berdasarkan peristiwa, susun atur bilazim (abnormal ordering), dan susun ataur bebas (free ordering).

1. Koheren: Susun atur lazim (normal ordering)

Contoh yang berikut ini menunjukkan perkaitan linear berdasarkan tahap-tahap tindakan, dan tahap-tahap ini dihuraikan dalam ayat satu demi satu.

Tugas jawatankuasa kecil ini ialah mengkaji sama ada pelaksanaan sistem pelajaran dan kurikulumnya sekarang dapat melahirkan keperluan tenaga rakyat, jangka pendek dan jangka Panjang. Untuk tugas ini, Jawatan Kuasa Kecil Rakyat telah menubuhkan  dua kumpulan kerja, satu mengkaji sistem pelajaran dan satu lagi mengkaji kurikulum di semua peringkat pelajaran dan kedua-duanya mengemukakan syor-syor kepada Jawatankuasa Tenaga Rakyat.

Susun atur seperti yang terdapat dalam petikan di atas itu diberi nama susun atur lazim (normal ordering), dan susun atur inilah yang biasa digunakan dalam penulisan akademik. Penghuraian akan menjadi lebih mudah dan jelas jika kita menggunakan susun atur ini.

2. Koheren: Susun atur berdasarkan peristiwa

Dari Masjid Muhammad, kami berjalan lebih kurang 200 meter menuju ke Hogia Sophia yang terletak di Istanbul itu. Bangunan yang berusia lebih 17 dekad itu seperti benteng-banteng konstinapel yang masih berdiri tegak di jajaran sepanjang Kawasan bandar raya dua benua itu.

Contoh yang di atas ialah susun atur peristiwa yang digambarkan perjalanan penulis ketika berjalan kaki dari Masjid Muhammad ke Hogia Sophia. Persepsi penulis ditunjukkan melalui Hogia Sophia yang dibandingkan keutuhannya sama dengan benteng-banteng konstinapel yang masih berdiri tegak hingga sekarang yang terletak di bandar raya yang lebih dikenali sebagai Istanbul itu. Susun aturnya seperti di bawah:

 3. Koheren: Susun atur bilazim (abnormal ordering)

TIADA yang lebih indah dan besar ganjarannya selain dapat berbakti kepada kedua ibu bapa. Namun bagaimana pula buat mereka yang telah kehilangan kedua-dua insan tercinta itu? Bagi penceramah terkenal Indonesia, Ali Saleh Mohammed Ali Jaber atau lebih dikenali sebagai Ali Jaber, anak-anak masih berkesempatan untuk berbakti dan membuat kebaikan terhadap ibu bapa meskipun mereka sudah tiada. Menurut pendakwah kelahiran Madinah itu, ia adalah dengan mengeluarkan sedekah yang dilakukan atas nama ibu bapa tidak kira di mana sahaja terutama di kawasan yang boleh memberi manfaat sejagat.

Hisyamuddin (2019)

Berdasarkan wacana contoh di atas, pada ayat pertama membicarakan tentang kebaktian kita kepada ibu bapa yang pdrgi dahulu daripada kita yang mempunyai ganjaran yang sangat besar. Pada ayat kedua pula tentang kesempatan seseorang untuk berbakti kepada orang tuanya meskipun mereka sudah tiada menurut Ali Jaber. Ayat ketiga pula menyatakan tentang amalan sedekah atas nama ibu bapa yang telah pergi merupakan kesempatan yang boleh direbut oleh seseorang,  Walaupun ketiga-tiga ayat itu membicarakan hal yang tidak sama, tetapi kerangka keseluruhan wacana itu bercerita tentang tema amalan bersedekah ini.

4. Koheren: Susun atur bebas (free ordering)

Kelibatnya yang baru keluar dari Pusat Islam itu bak bidadari yang sopan. Memang matanya seperti sinar purnama yang boleh memanah sanubari. Bibirnya pula seperti semerah mekar buah delima. Kulit pipinya seperti telur yang baru dikupas. Apabila minum air kelihatan mengalir dari batang lehernya.

Setiap ayat di atas mempunyai susun atur yang bebas apabila mempunyai fokus masing-masing seperti perbicaraan  tentang kelibat, mata, bibir, pipi dan kecerahan kulitnya. Namun, keseluruhan tema wacana tersebut membicarakan kecantikan seorang wanita.

 

Langkah-langkah dalam penulisan

Dalam era ledakan maklumat dan transformasi digital, keupayaan menguruskan maklumat secara sistematik merupakan kompetensi teras yang perlu dikuasai oleh setiap pengkaji dan ahli akademik. Maklumat yang tidak diurus dengan baik bertukar menjadi lambakan data yang tidak mempunyai nilai fungsional. Oleh itu, kertas kerja ini membincangkan dua komponen utama dalam literasi maklumat, iaitu (i) Kemahiran Perolehan dan Pengurusan Maklumat, serta (ii) Kemahiran Pemprosesan dan Penyampaian Maklumat. Penguasaan kedua-dua aspek ini memastikan proses penghasilan ilmu berlaku secara sahih, kritis, dan beretika.

 

A. Kemahiran Perolehan dan Pengurusan Maklumat

Proses pembinaan ilmu bermula dengan keupayaan mengenal pasti, mencari, dan menyusun sumber yang relevan dengan objektif kajian.

 

1. Sumber Pencarian Maklumat

Sumber maklumat boleh diakses menerusi tiga saluran utama:

  1. Pencarian di Perpustakaan: Walaupun teknologi digital berkembang pesat, perpustakaan kekal sebagai institusi hulu bagi maklumat berwibawa. Proses carian yang berkesan melibatkan penggunaan sistem Online Public Access Catalog (OPAC) untuk mengesan kedudukan fizikal bahan melalui nombor panggilan perpustakaan. Selain itu, perpustakaan menyediakan akses kepada pangkalan data jurnal melanggan yang tidak dapat diakses secara terbuka di internet.

  2. Pelayaran Internet: Carian digital memerlukan strategi yang teratur untuk mengelakkan isu kebanjiran maklumat (information overload). Pengkaji perlu memanfaatkan enjin carian akademik (seperti Google Scholar dan Scopus) serta menggunakan Boolean Operators (AND, OR, NOT) untuk mengecilkan skop carian. Penilaian domain (seperti .edu dan .gov) juga kritikal bagi memastikan data yang diperoleh datang daripada platform yang bereputasi.

  3. Sumber Primer dan Sumber Sekunder: Pengkaji perlu bijak membezakan kategori sumber. Sumber primer ialah bahan mentah atau bukti langsung yang belum ditafsir (contoh: artifak, transkrip temu bual asal, teks ucapan, atau data eksperimen). Sumber sekunder pula merupakan bahan yang telah diulas, dianalisis, atau ditafsir daripada sumber primer (contoh: artikel jurnal ulasan, buku teks, dan biografi). Keseimbangan antara kedua-dua jenis sumber ini menjamin keutuhan hujah akademik.

2. Pengurusan Maklumat

Maklumat yang diperoleh wajib diuruskan secara sistematik untuk mengelakkan keciciran data dan isu plagiarisme. Pengurusan maklumat moden melibatkan penggunaan perisian pengurusan bibliografi (seperti Mendeley, Zotero, atau EndNote). Perisian ini bukan sahaja menyimpan dokumen digital, malah membantu membina sitasi dalam teks dan senarai rujukan secara automatik berasaskan gaya format tertentu (seperti APA atau Harvard). Peringkat ini juga melibatkan klasifikasi fail mengikut tema atau bab penulisan secara konsisten.

 

B. Kemahiran Pemprosesan dan Penyampaian Maklumat

etelah maklumat dikumpul dan disimpan, fasa seterusnya ialah menukarkan maklumat tersebut menjadi satu bentuk pengetahuan yang bermakna untuk disebarkan.

 

1. Pemprosesan Maklumat

Pemprosesan maklumat melibatkan aktiviti kognitif peringkat tinggi yang merangkumi empat langkah:

  • Analisis Asas Maklumat Kualitatif dan Kuantitatif: Data yang dikumpul dianalisis mengikut sifatnya. Data kualitatif (berbentuk teks atau visual) dianalisis menggunakan pendekatan seperti analisis tematik untuk mengesan corak naratif. Data kuantitatif (bernombor) pula diproses melalui statistik deskriptif (min, median, mod, peratusan) menggunakan perisian analisis data untuk melihat trend secara berangka.

  • Pentafsiran dan Pembuatan Kesimpulan: Pengkaji tidak sekadar membentangkan data, tetapi bertanggungjawab memberikan makna kepada data tersebut (pentafsiran) dengan menghubungkaitkannya dengan teori atau kajian lepas. Seterusnya, satu kesimpulan yang objektif dibina berdasarkan bukti empirikal yang kukuh.

  • Penilaian Maklumat: Setiap maklumat tertakluk kepada penilaian kritis bagi memastikan mutunya. Kaedah penapisan seperti Ujian CRAAP (Currency, Relevance, Authority, Accuracy, Purpose) digunakan untuk memastikan maklumat yang dipetik bersifat terkini, sahih, ditulis oleh pakar wibawa, tepat, dan bebas daripada kecenderungan berat sebelah (bias).

  • Pensintesisan Maklumat: Proses ini memerlukan pengkaji menggabungkan idea, teori, atau dapatan daripada pelbagai sumber berbeza menjadi satu hujah baharu yang koheren. Pensintesisan menunjukkan kedalaman pemikiran pengkaji kerana ia melampaui teknik ringkasan biasa.

 

2. Penyampaian Maklumat

Penyebaran maklumat yang telah diproses dilakukan melalui tiga medium utama:

  1. Asas Penulisan Ilmiah: Maklumat dizahirkan dalam bentuk teks formal yang mematuhi struktur akademik (Pengenalan, Kajian Literatur, Metodologi, Dapatan, dan Perbincangan). Laras bahasa yang digunakan mestilah objektif, berasaskan fakta, dan disokong oleh sistem rujukan yang telus bagi memelihara etika akademik.

  2. Penyampaian Lisan: Maklumat disampaikan secara bersemuka atau maya melalui pembentangan kertas kerja. Kemahiran ini menuntut penstrukturan idea yang ringkas, penggunaan alat bantuan visual yang minimum tetapi impak tinggi, serta kawalan aspek bukan lisan seperti intonasi suara dan hubungan mata (eye contact) dengan audiens.

  3. Penyampaian Melalui Media Massa: Bagi memastikan ilmu akademik dapat dimanfaatkan oleh masyarakat awam, penyampaian melalui media massa (seperti akhbar, infografik digital, atau media sosial) memerlukan perubahan laras bahasa. Laras bahasa yang kompleks perlu dipermudah tanpa menjejaskan fakta asal (science communication) agar maklumat tersebut mudah difahami oleh komuniti bukan akademik.

Secara keseluruhannya, rantaian kemahiran maklumat yang bermula daripada fasa pencarian sehinggalah kepada fasa penyampaian merupakan satu ekosistem yang saling berkait. Kegagalan dalam mana-mana peringkat sama ada kecacatan dalam menilai sumber mahupun kelemahan dalam menyampaikan hujah akan menjejaskan kualiti ilmu yang dihasilkan. Oleh itu, pemantapan kemahiran perolehan, pengurusan, pemprosesan, dan penyampaian maklumat secara berterusan adalah agenda kritikal dalam melahirkan sarjana yang berwibawa dan beretika.

  

C. Proses dan Kitaran Penulisan Akademik

Penghasilan penulisan akademik yang bermutu tinggi tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya melalui satu kitaran proses yang sistematik dan berperingkat.

1. Memilih Masalah atau Topik Penulisan

Fasa awal ini merupakan penentu hala tuju keseluruhan kajian. Pemilihan topik perlu memenuhi beberapa kriteria akademik:

  • Pernyataan Masalah (Problem Statement): Topik yang dipilih mesti bersandarkan kepada isu sebenar, jurang kajian (research gap), atau konflik teori yang memerlukan penyelesaian.

  • Kebolehlaksanaan (Feasibility): Pengkaji perlu menilai sama ada topik tersebut mampu diselesaikan dalam kekangan masa, kos, dan akses kepada sumber atau responden.

  • Skop yang Fokus: Topik tidak boleh terlalu luas sehingga gagal dibahas secara mendalam, dan tidak terlalu sempit sehingga kekurangan bahan rujukan.

2. Mengumpul Maklumat atau Data untuk Penulisan

Setelah topik ditetapkan, pengkaji beralih ke fasa pengumpulan data berpandukan metodologi yang jelas.

  • Data Primer: Diperoleh secara langsung di lapangan melalui edaran borang soal selidik, sesi temu bual, pemerhatian, atau ujian makmal.

  • Data Sekunder: Dikumpul melalui analisis dokumen, sorotan literatur terhadap jurnal-jurnal terdahulu, dan laporan rasmi agensi.

  • Etika Penyelidikan: Proses pengumpulan data wajib mematuhi prinsip etika, termasuk mendapatkan kebenaran termaklum (informed consent) daripada responden dan menjaga kerahsiaan data.

3. Menyusun dan Mengornaisasikan Data

Lambakan data yang mentah perlu disaring dan disusun mengikut kerangka konseptual penulisan agar menghasilkan naratif yang logik dan koheren.

  • Pembuatan Rangka Kerja (Outlining): Menyusun isi utama dan sub-isi mengikut keutamaan (kronologi, kepentingan, atau hubungan sebab-akibat).

  • Pemetaan Minda dan Kluster Data: Mengelompokkan dapatan kajian yang setara ke dalam bab atau bahagian yang spesifik (contohnya, membahagikan dapatan mengikut objektif kajian).

  • Aliran Hujah (Paragraph Cohesion): Memastikan setiap perenggan mempunyai satu idea utama (topic sentence) yang disokong oleh bukti, serta dihubungkan dengan ayat transisi yang lancar ke perenggan seterusnya.

4. Meneliti Semula Hasil Penulisan (Revision)

Peringkat penulisan semula atau revision memfokuskan kepada penilaian makro iaitu struktur, logik, dan keutuhan hujah.

  • Semakan Struktur: Memastikan hujah yang dibawa selari dengan pernyataan masalah dan menjawab persoalan kajian yang dikemukakan di bahagian pengenalan.

  • Penilaian Kejelasan Idea: Membuang bahagian yang lewah (berulang-ulang), menambah baik hujah yang lemah dengan sokongan literatur baharu, dan menyusun semula urutan subtopik jika alirannya mengelirukan.

5. Menyemak Hasil Penulisan (Prooffreading)

Fasa terakhir ini memfokuskan kepada penilaian mikro iaitu aspek mekanikal dan teknikal penulisan sebelum diterbitkan atau dihantar.

  • Kesalahan Tatabahasa: Menyemak struktur ayat, penggunaan kata hubung, sintaksis, tanda baca, dan ejaan mengikut laras bahasa Melayu formal atau standard akademik.

  • Kesalahan Teknikal: Memastikan format penulisan (saiz fon, langkau baris, jargin) mematuhi gaya panduan yang ditetapkan. Paling kritikal, menyemak ketepatan teknikal in-text citation (sitasi dalam teks) agar sepadan dengan senarai rujukan di bahagian belakang bagi mengelakkan implikasi plagiarisme secara tidak sengaja.

 

Penutup

Secara keseluruhannya, rantaian kemahiran maklumat, kitaran proses penulisan, dan penerapan elemen kejelasan wacana merupakan satu ekosistem yang saling berkait rapat. Kegagalan dalam mana-mana peringkat sama ada kecacatan dalam menyaring data mentah, kelemahan menyusun tautan (kohesi) perenggan, mahupun kecuaian teknikal semasa proofreading akan menjejaskan kredibiliti ilmu yang dihasilkan. Oleh itu, penguasaan kemahiran perolehan, pengurusan, pemprosesan, dan kitaran penulisan secara beretika dan berstruktur merupakan agenda kritikal dalam melahirkan hasil penulisan akademik yang berwibawa, berimpak tinggi, dan dinamik.

 

Rujukan

Asmah Omar (2006). Panduan wacana akademik  Teori dan Penerapan. Kuala Lumpur:  Dewan Bahasa dan Pustaka.

Asmah Omar. (2008). Ensiklopedia Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hisyamuddin Ayub. (2019, Mac, 19). ‘Jambatan’ pahala buat roh ibu bapa. Utusan Online. Retrieved from: http://www.utusan.com.my

Mohd Tarmizi Hasran. (2018, Disember). Penterjemahan komik. Dewan Bahasa, 12, 26-28.

Mohd. Sidin Ahmad Ishak. (1996). Ketrampilan menulis. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Nik Safiah Karim, Farid M. Osman, Hashim Musa, & Abdul Hamid Mahmood. (2008). Tatabahasa Dewan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Noresah Baharom (Ketua Editor). (1998). Kamus Dewan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

S.A. Klitgaard. (1983). Pegangan pengarang petua dan proses. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Saiman Abdul Wahab. (2018, Disember). Bahasa Melayu sekadar di pinggiran. Dewan Bahasa, 12, 30-33.

Sanat Md. Nasir. (2002). Tautan dalam wacana Bahasa Melayu akhbar. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Siti Nur Hidayah Othman Bakar. (2017, Disember). Pembentukan prinsip psikolinguistik. Dewan Bahasa, Bil. 12, 46-47.

Wan Halizawati Wan Mahmood. (2018, Disember). Penterjemahan komik. Dewan Bahasa, 12, 40-43.

*****

 

 

GARAPAN MINDA

Kita mungkin tidak dapat mengubah dunia, tetapi kita dapat melahirkan generasi yang akan mengubah dunia. - muna

 

Disclaimer

Kami menyediakan bahan dan maklumat berdasarkan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman kami. Pengguna dinasihatkan untuk memilih dan menilai sendiri mana-mana maklumat yang sesuai dan autentik, serta memasukkan daripada sumber mana dipetik. Kami tidak bertanggungjawab atas kerosakan atau kemudaratan atau seumpama dengannya, yang berlaku akibat menggunakan bahan dan maklumat yang kami kongsikan. Semoga ilmu ini dapat dimanfaatkan bersama demi kemaslahatan sejagat.

Perkongsian

Pelawat

Hari Ini34
Semalam579
Minggu Ini2070
Bulan Ini7524
Jumlah Pelawat518219

Who Is Online

1
Online

2026-08-13