Portfolio

Dron 9: Unsur-unsur kreativiti dalam P&P

Dron 9: Unsur-unsur kreativiti dalam P&P

TINJAUAN DRON 9:

UNSUR-UNSUR KREATIVITI DALAM P&P

 

Oleh Muhaimi Suhaili

 

Ciri-Ciri Kreatviti Dalam Pengajaran Bahasa Melayu

·                     Saspens

Unsur suspens ialah satu daripada ciri kreativiti. Guru-guru harus memikirkan cara untuk menjadikan suasana kelas benar-benar suspens. Tentulah unsur ini disisipkan pada mana-mana bahagian yang difikirkan sesuai. Dalam mana-mana karya, seperti drama, cerpen, novel, filem dan seumpamanya, terdapat unsur-unsur menjadikan sesebuah karya itu sentiasa diikuti kerana adanya unsur suspens. Begitu juga keadaannya apabila kita berada di dalam bilik darjah. Mengajar umpama kita “mempersembahkan sebuah karya” yang di dalam perjalanan pengajaran Bahasa Melayu itu ada disisip unsur-unsur tersebut. Keadaan yang menimbulkan unsur-unsur suspens itu mungkin seperti di bawah ini iaitu:

  • Memasukkan katak hidup di dalam kotak, dan ditutup dengan kain berwarna hitam.
  • Menempatkan ”helikopter mainan” dari satu sudut, dan secara tiba-tiba menerbangkannya di dalam kelas dan seterusnya mendaratkannya.
  • Muzik sayu dikumandangkan, kemudian satu kumpulan diminta mengusung satu bekas yang dibaluti kain pelikat (nota: Di dalam bekas tersebut terdapat kek lapis).
  • Muzik suspens dikumandangkan, dan kemudian tiba-tiba bergeraklah satu objek masuk ke dalam kelas. Murid-murid diminta meneka ”barang-barang” yang terdapat di dalam kotak (nota: di dalam kotak tersebut mengandungi 60 biji buah epal).
  • Guru bermain silap mata tentang pertukaran baju T dari warna hitam kepada warna putih.
  • Sentiasa menimbulkan sesuatu yang sensasi agar murid-murid sentiasa tertanya-tanya gimik yang cuba ditampilkan oleh seseorang guru itu. Contoh: ”Hari ini cikgu akan memberi hadiah kepada anda yang menunjukkan sikap yang baik ketika di dalam kelas. Hadiah itu sangatlah istimewa dan saya tidak akan beritahu sehingga tiba masanya saya memberikan hadiah tersebut kepada yang layak nanti.”
  • Tiba-tiba dengan tidak semena-mena seorang guru itu menolak sebuah motosikal di dalam kelas sebagai bahan bantu belajar untuk mengajar murid-murid tentang kisah mat rempit dan isu kemalangan jalan raya.
  • Guru meminta pelajar memeriksa di bawah mejanya untuk mengambil sampul surat yang diletakkan oleh guru sebelum murid-murid masuk di dalam kelas. Sampul itu kemudiannya diletakkan di atas meja dan murid-murid dilarang untuk melihat isi kandungannya sebelum arahan yang meminta untuk berbuat demikian. Apabila sampul dibuka murid-murid agak terperanjat kerana yang ada di dalam sampul tersebut ialah sekeping gambar berkumpulan kelas tersebut bersama-sama dengan guru (anda sendiri). Gambar tersebut kemudiannya dihadiahkan kepada setiap murid di dalam kelas tersebut.
  • Memasukkan hadiah di dalam sampul surat dan memberitahu murid-murid bahawa hari ini guru akan mencari tiga orang pemenang yang sentiasa menunjukkan sikap dan inisiatif yang tinggi ketika belajar. Sebelum kelas tamat guru memilih tiga orang tersebut dan menyerahkan sampul kepada setiap orang murid tersebut. Guru menyuruh ketiga-tiga muridnya membuka isi kandungan hadiah tersebut. Apabila dibuka rupa-rupanya hadiah tersebut ialah baucar KFC!

·                     Dramatik

Unsur dramatik mungkin mengandungi unsur-unsur kinestetik, atau menduga atau menyentuh perasaan seseorang pelajar ketika pengajaran dan pembelajaran. Dengan perkataan lain, guru kreatif dalam membentuk langkah-langkah pengajaran yang dramatik iaitu dari satu langkah ke satu langkah. Kesinambungan langkah tersebut benar-benar ”membawa perasaan” pelajar sama ada guru mahu mewujudkan perasaan sedih atau gembira. Dengan perkataan lain, guru bijak mewujudkan perasan sedih yang tidak terhingga atau gembira yang bukan kepalang. Antara contohnya ialah:

  • Video ”Selamat Hari Raya Petronas” ditayangkan untuk membawa perasaan keinsafan dan sedih murid-murid.
  • Selepas itu diikuti dengan latihan menulis dalam kad ”Hari Ibu”.
  • Selepas itu aktiviti membaca kata-kata yang terdapat dalam kad ucapan tentang sebab-sebab mereka sayang kepada ibu. Kad tersebut dimasukkan ke dalam kotak dan akan dipilih oleh murid secara rawak dan terus membaca di depan kelas.
  • Aktiviti memasukkan kad tersebut di dalam sampul dan diserahkan kepada ibu masing-masing apabila sampai ke rumah nanti. (Kalau yang tidak ada ibu, mereka diminta menulis kad tersebut ditujukan kepada bapa. Jika bapa mereka pula tidak ada, pilihlah mana-mana keluarga terdekat yang menjaga mereka seperti nenek, datuk, kakak, abang, atau ibu dan bapa saudara).

Untuk aktiviti di atas dilampirkan bersama-sama Rancangan Pengajaran Harian (RPH) 1 berserta dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran tersebut agar lebih jelas lagi seperti yang terdapat dalam Lampiran 1.

 

·                     Tematik

Pengajaran tematik merupakan kaedah pengajaran yang banyak memberi faedah kepada pelajar. Dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu, kemahiran berbahasa diajar tetapi pengisiannnya ialah berdasarkan tema atau tajuk yang ditentukan. Di sekolah-sekolah, pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu diajar secara bertema seperti tajuk-tajuk yang ditetapkan. Akan tetapi masih ada guru-guru yang belum memahami sepenuhnya pengajaran bertematik ini. Menurut Noriati (2009), pengajaran menggunakan tema merupakan pengajaran yang disampaikan melalui konsep atau idea yang besar. Satu-satu tema itu dipecahkan kepada beberapa komponen kecil. Pendekatan secara bertema akan membolehkan pelajar menganalisis, membuat generalisasi dan mengaplikasikan pengetahuan. Penggabungan pelbagai idea yang berkaitan kepada satu konsep yang lebih luas atau tema membolehkan pelajar menyatukan pelbagai fakta. Secara keseluruhannya, pendekatan tematik akan memberikan peluang kepada pelajar mengalami pelbagai pengalaman dalam situasi yang berlainan.

 

Antara prinsip pendekatan tematik ialah:

  1. Tema dipilih harus sesuai dengan minat dan kebolehan serta pengalaman pelajar. Pemilihan tema yang sesuai akan dapat meningkatkan penglibatan aktif pelajar semasa mereka menjalankan aktiviti.
  2. Tema haruslah berkait rapat dengan kehidupan harian pelajar kerana pengalaman yang dibekalkan adalah benar dan memberikan makna yang lebih berkesan kepada mereka.
  3. Tema mempunyai skop yang luas dan meliputi pelbagai bidang. Guru perlu bijak mencari dan memilih aktiviti untuk mengembangkan kemahiran kanak-kanak. Skop yang sempit akan menyukarkan guru membuat perancangan aktiviti yang pelbagai.
  4. Sekuen sesuatu tema amat penting bagi pelajar agar mereka dapat mengikuti perkembangan topik dengan lancar. Dengan turutan, pelajar dapat melihat secara keseluruhan dan kesinambungan antara idea. Pembelajaran bermakna akan tercapai jika sekuen tema teratur dan sistematik.
  5. Aktiviti pembelajaran yang dirancang berdasarkan tema harus merangkumi pelbagai bidang kurikulum. Penggabungjalinan ini bertujuan untuk menyumbang dari segi aspek intelek, emosi, jasmani dan sosial.
  6. Pengajaran dan pengembangan tematik memerlukan pencetusan idea yang banyak dan pelbagai. Konsep bermain sambil belajar hendaklah diberikan penekanan. Guru yang kreatif dan inovatif dapat menghasilkan suasana pembelajaran yang seronok, kondusif dan menggalakkan.

Sebagai contoh dilampirkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran secara bertema seperti dalam Lampiran 1 iaitu RPH 1 berserta dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Dalam RPH 1 itu mengandungi tema ”kasih sayang”. Dengan pemahaman tentang pengajaran secara tematik ini, guru akan lebih yakin mengajar dan sentiasa terdorong untuk memikirkan cara yang kreatif apabila menggunakan pendekatan tematik ini.

 

·                     Kelainan dari segi pendekatan

Dalam pedagogi pendidikan, pendekatan yang paling tradisional ialah yang berorientasikan guru. Hal ini disebabkan oleh pelajar-pelajar lebih banyak belajar mendengar dan melihat, berbanding daripada belajar menyatakan sesuatu dan menulis, dan belajar dengan bertindak atau membuat sesuatu. Pendekatan ini memang mempunyai banyak kekurangan. Dalam prinsip pengajaran yang terdapat dalam Pengalaman Kon Dale (Dale’s Cone of Experience) menyatakan bahawa seseorang murid itu akan mengingat 10% daripada apa yang mereka baca, 20% daripada apa yang mereka dengar, 30% daripada apa yang mereka lihat, 50% daripada apa yang mereka dengar dan lihat, 70% daripada apa yang mereka kata dan tulis, dan 90% daripada apa yang mereka buat.

Oleh sebab itu pendekatan ”lain daripada yang lain” ialah berfokuskan murid-murid iaitu guru menggunakan bahan, aktiviti, dan bahan bantu mengajar yang sesuai untuk mereka belajar atau memperoleh ilmu pengetahuan. Kaedah pengajaran yang berfokuskan kepada pendekatan kontruktivisme ternyata memberi kesan yang mendalam kepada murid-murid itu sendiri. Dengan perkataan lain, seorang guru itu menghasilkan satu aktiviti yang bersesuaian untuk menterjemahkan isi pelajaran hari tersebut. Aktiviti tersebut hendaklah yang berorientasikan murid-murid. Selain itu, bahan-bahan juga boleh dihasilkan untuk membantu guru menjelaskan atau mengajar aspek yang ingin diajar pada hari tersebut. Jika guru mempunyai aktiviti yang baik, dan bahan yang menarik, pasti sesebuah pengajaran Bahasa Melayu itu akan berkesan. Guru pula tidaklah keletihan jika hanya menggunakan pendekatan berpusatkan guru. Dengan pelbagai variasi ini guru sudah berjaya menampilkan unsur ”kelainan” yang dimaksudkan itu.

 

·                     Inovatif

Ciri-ciri kekreatifan yang harus ada dalam pengajaran Bahasa Melayu ialah inovatif. Inovatif dari segi istilah dalam Kamus Dewan membawa maksud penciptaan sesuatu yang baru yang tidak ada sebelum ini. Jika kita melihat dari aspek makna kreativiti itu sendiri sesuatu idea yang baru dan tidak perlu dibuat oleh orang lain sebelum ini. Hal ini menunjukkan bahawa inovatif membawa makna yang hampir sama, Cuma apabila kita bercakap tentang inovatif bermaksud sesuatu yang dilsaya kan itu ialah bersifat penciptaan yang baru. Inovatif dalam pengajaran terutama bagi mata pelajaran Bahasa Melayu amatlah penting dan menjadi sesuatu yang seharusnya menjadi keutamaan. Guru-guru cemerlang ialah guru-guru yang menunjukkan kecemerlangan dalam pengajaran dan pembelajaran. Mereka seharusnya menjadi sumber inspirasi dalam penghasilan bahan yang bersifat inovatif itu.

Umpamanya pada 24 Ogos 2010, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Sri Aman dengan kerjasama Pasukan Petugas Khas Guru Cemerlang (PPKGC) Sri Aman telah mengadakan Sesi Perkembangan Profesionalisme Keguruan di Dewan Suarah Sri Aman baru-baru ini. Sesi ini telah disertai oleh 160 orang pegawai pejabat pelajaran daerah, para pengetua sekolah menengah, guru besar, penolong kanan, ketua bidang, ketua panitia dan guru-guru cemerlang dari sekitar daerah Sri Aman dan Lubok Antu. Yang menariknya ialah pengisian slot oleh Guru Cemerlang Gred Khas C dari Kolej Datuk Patinggi Abdillah, Kuching iaitu Phang Sin Nan. Phang yang kini mengajar mata pelajaran Fizik di Kolej Datuk Patinggi Adbillah, Kuching juga banyak berkongsi pengalaman menarik sambil menayangkan banyak video bagi meningkatkan daya kreativiti para peserta. Pemikiran yang jelas dalam minda guru cemerlang ini ialah perkongsian tentang pentingnya “nilai inovasi” dalam pengajaran dan pembelajaran. Menerusi tajuk sesi iaitu Isu dan cabaran: The Delivery process in the Classroom, Phang yang pernah menerima banyak anugerah inovasi dalam mata pelajaran Sains dan Matematik di peringkat negeri atau kebangsaan sejak tahun 1995 mahu peserta mencuba sesuatu yang baru bagi memberi kesan positif terhadap sesi pembelajaran pelajar di kelas.

                Selain itu, ceramah  oleh seorang bekas pengetua memegang jawatan berpangkat JUSA C iaitu Tengku Azuan Tengku Mohamed yang menyampaikan ceramah kepada guru-guru pelatih Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak pada tahun 2010 menyatakan bahawa kejayaan seseorang guru untuk sampai ke tahap cemerlang ialah harus berani menongkah arus iaitu pada masa orang lain asyik mengikut arus. Dengan perkataan lain, seseorang pemimpin atau guru itu harus berani mengemukakan idea yang lain daripada yang lain dalam pengurusan mahu pun dalam pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu, guru yang menjadi pemimpin di dalam bilik kelas haruslah berani mengemukakan idea-idea yang kreatif dan inovatif. Guru-guru bahasa Melayu haruslah berani menyahut cabaran untuk menggalasnya untuk menjadi, bukan sahaja guru yang kreatif, malah akhirnya akan menjadi guru yang cemerlang.

·                     Ada plot-plot

Pengajaran Bahasa Melayu yang kreatif seharusnya ada perancangan yang rapi dalam penentuan langkah-langkah pengajaran itu agar benar-benar mencapai objektif. Sesebuah sesi pengajaran itu haruslah ada:

  • Set induksi
  • Langkah-langkah
  • Penutup

Dengan perkataan lain perancangan aktiviti pengajaran dan pembelajaran itu kita boleh analogikan sebagai plot-plot dalam sesebuah cerita itu. Kita anggap bahawa penceritaan itu sebagai tema atau isi-isi pelajaran yang hendak kita sampaikan. Seperti juga dalam mana-mana penceritaan sama ada sebuah cerita pendek (cerpen), novel, drama dan seumpamanya, seharusnya ada plot-plot tertentu. Begitu juga ”penceritaan” di dalam kelas. Set induksi di dalam kelas itu diibaratkan dengan permulaan cerita, manakala langkah-langkah pula ialah pecahan konflik. Untuk langkah terakhir pula ialah klimaks sebuah cerita itu yang akhirnya akan menghasilkan sesuatu yang besar hendak kita capai. Dalam konteks pengajaran ialah perkara besar yang ingin kita capai dalam pengajaran dan pembelajaran sehingga murid-murid memahami secara keseluruhan isi pelajaran pada hari tersebut. Manakala penutup pula ialah peleraian. Kita boleh lihat analoginya seperti di bawah ini melalui perjalanan sesebuah pengajaran dan pembelajaran itu.

Rajah 7 : Plot-plot sebuah cerita

 

Set induksi

Langkah 1

Langkah 2

Langkah 3

Langkah 4

(Langkah terakhir)

Penutup

Permulaan

Konflik 1

Konfliks 2

Konflik 3

 

Klimaks

Peleraian

Rajah 8 : Analogi pengajaran yang mempunyai plot-plot

Oleh sebab itu, apabila kita ingin merancang sesuatu pengajaran dan pembelajaran itu, hendaklah dalam fikiran sudah kita gambarkan bahawa pengajaran dalam tempoh satu jam itu dianalogikan sebagai satu plot dalam sesebuah cerita. Dalam plot-plot tersebut harus ada konfliks-konfliks (aspek dramatik) yang cuba ditonjolkan dalam pengajaran bahasa Melayu itu sendiri. Sehinggalah mencapai satu puncak yang tinggi yang mungkin menjadi intipati utama dalam sesebuah pengajaran itu.

 

·                     Menggunakan pelbagai teknik

Teknik adalah pengendalian suatu organisasi yang benar-benar berlaku  di dalam bilik darjah di mana ia digunakan untuk mencapai sesuatu objektif. Di antara teknik yang dicadangkan adalah seperti berikut:

  • Teknik drama
  • Teknik permainan bahasa
  • Teknik perbincangan
  • Teknik bercerita

 

Penggunaan pelbagai teknik sebenarnya menggambarkan pemikiran kreatif seorang guru Bahasa Melayu itu. Guru yang hanya menggunakan satu kaedah menggambarkan pemikiran yang beku, stereotaip, statik dan tidak berubah-ubah. Oleh hal yang demikian, guru-guru Bahasa Melayu sepatutnya banyak bereksperimen menggunakan pelbagai teknik yang banyak diperkenalkan dalam dunia pendidikan.

 

 

Ciri-Ciri Kreativiti Lain Dalam Pengajaran Bahasa Melayu

Terdapat lapan ciri berfikir secara kreatif:

  • Sengaja menghasilkan idea baru, konsep baru dan tanggapan baru
  • Mengutamakan cara lain dalam melihat sesuatu yang sedang difikirkan
  • Memberi fokus kepada usaha hendak mengubah idea yang ada pada masa kini
  • Mencari cara baru bagi menggantikan penyelesaian yang sedang digunakan sekarang
  • Tidak berpuas hati dengan jawapan yang digunakan sekarang
  • Sengaja menghasilkan idea-idea yang dapat memeranjatkan fikiran-fikiran biasa
  • Menganggap idea yang baik tidak perlu kelihatan logik pada awalnya
  • Menumpukan perhatian kepada kemungkinan-kemungkinan yang mungkin berlaku pada masa akan datang

Cara untuk meningkatkan kemahiran secara kreatif ialah:

  • Peruntukan masa yang secukupnya bagi menghasilkan idea-idea baru
  • Ada keinginan menjadi lebih kreatif
  • Tidak berputus asa
  • Berfikir positif
  • Wujudkan budaya berfikir secara kreatif
  • Mengetepikan ego
  • Inginkan perubahan
  • Buat pemerhatian ke atas produk, reka cipta dan idea kreatif yang berjaya
  • Berbual dengan orang lain yang tidak memiliki kepakaran yang sama dengan anda

 

Kesimpulan

Kreativiti guru dalam pengajaran Bahasa Melayu sering diperkatakan tetapi tidak semua guru mengambil tindakan untuk melaksanakannya di dalam bilik darjah. Hal ini kerana unsur-unsur tersebut tidak diterapkan oleh pihak sekolah secara menyeluruh. Keadaan ini menyebabkan literasi kreatif tidak menjadi amalan di sesebuah sekolah itu. Selain itu, idea-idea kreatif yang diterapkan dalam pengajaran Bahasa Melayu tidak akan membawa makna apa-apa jika kebebasan pelajar mencari idea-idea baru itu disekat. Usaha ini haruslah dilsaya kan dengan bersungguh-sungguh dan penuh kesedaran untuk merealisasikan wawasan kita melahirkan generasi yang kritis pemikirannya dan kreatif pula dalam menghasilkan sesuatu produktiviti itu.

Pendidik kreatif dapat menyuburkan dan membangunkan kreativiti masyarakat. Manakala masyarakat yang kreatif dapat membina organisasi yang kreatif dan organisasi yang kreatif dapat membina sebuah negara yang kreatif. Membina sebuah negara kreatif bukanlah suatu kerja yang mudah. Ia memerlukan perancangan dan pelaksanaan yang komprehensif dalam pelbagai dimensi ekonomi, politik dan sosial. Justeru, usaha ini memerlukan perancangan dan pelaksanaan yang bersifat menyeluruh. Oleh itu peranan guru Bahasa Melayu di sekolah atau yang mengajar di bilik darjah itu ialah memastikan literasi kreatif ini dikembangkan dan dibangunkan secara terancang. Hal ini sangat penting kerana usaha yang bersungguh-sungguh  secara menyeluruh tidak mustahilkan akan melonjakkan nama Malaysia sebagai salah sebuah negara yang kreatif dalam 10 senarai yang akan dikeluarkan oleh Laporan Persaingan Global pada masa akan datang.

 

***

 

 

Date

04 Oktober 2020

Tags

Dron Pembelajaran

GARAPAN MINDA

Kita mungkin tidak dapat mengubah dunia, tetapi kita dapat melahirkan generasi yang akan mengubah dunia. - muna

 

Disclaimer

Kami menyediakan bahan dan maklumat berdasarkan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman kami. Pengguna dinasihatkan untuk memilih dan menilai sendiri mana-mana maklumat yang sesuai dan autentik, serta memasukkan daripada sumber mana dipetik. Kami tidak bertanggungjawab atas kerosakan atau kemudaratan atau seumpama dengannya, yang berlaku akibat menggunakan bahan dan maklumat yang kami kongsikan. Semoga ilmu ini dapat dimanfaatkan bersama demi kemaslahatan sejagat.

Pelawat

Hari Ini41
Semalam153
Minggu Ini818
Bulan Ini3128
Jumlah Pelawat143485

Who Is Online

1
Online

2024-04-20